Menyayangi, Meski Lahir dari Hasil Perzinaan

Mutakhir ini, banyak kedengaran kes-kes pembuangan bayi yang lahir dari proses perzinaan. Ya. Bayi-bayi yang baru lahir di letakkan di merata-rata tempat, di kawasan buangan sampah, di tong sampah, di kaki tangga masjid dan pelbagai tempat lagi.

Ini adalah rentetan dari asas keimanan yang terlalu tipis, ilmu yang kering dan ikutan nafsu yang tidak terkawal. Masalah ini di namakan ‘masalah sosial’ dan diterima pakai istilah itu secara umum dalam masyarakat tetapi bagi kami ia adalah ‘masalah keimanan’. Lahir dari keimanan yang tipis dan cara hidup yang jauh dari yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri.

Dalam banyak-banyak kesan dari masalah perzinaan, halaqah keluarga hanya ingin berbicara terkait satu sub-topik kecil sahaja, iaitu ‘menyayangi anak zina’. Ini kerana, secara umumnya, masyarakat Islam pada hari ini tidak dapat menerima pelaku zina, apatah lagi anak yang lahir dari proses perzinaan tersebut.

Si pelaku zina kekal dengan kekeringan imannya sedangkan disuatu sisi yang lain, anak zina juga tidak di terima oleh keluarga penzina dan masyarakat setempat. ‘Anak zina’ dijauhi malah dirasakan jijik oleh masyarakat Islam di Malaysia. Maka, hasil dari tindakan yang berasaskan ilmu yang salah, maka bilangan ‘anak zina’ yang dibunuh setelah kelahirannya semakin meningkat malah menggerunkan kita.

Dalam hal dan ketika yang kronik ini, kita harus melihat bagaimana sewajarnya seorang Muslim harus menerima anak zina malah menyayanginya bukan untuk menggalakkan berlakunya perzinaan tetapi untuk mengelakkan dosa zina yang besar bertukar menjadi dosa membunuh yang jauh lebih besar juga. Seterusnya, menyelamatkan bayi-bayi kecil yang dilahirkan itu.

Sunnah Rasulullah saw.
Seerah membuktikan bagaimana kasih sayang Nabi saw terhadap bayi yang lahir dari proses perzinaan. Sudah pasti Baginda tidak bersetuju dengan aktiviti zina si ibu tersebut tetapi tarbiyah Baginda jauh merentasi jiwa manusia hinggakan dapat menghubungkan kesalahan dan menukarnya menjadi sesuatu yang berharga di akhirat sana.

Di antara bukti yang menunjukkan belas kasihan Nabi saw kepada bayi dan keinginan Baginda yang kuat agar bayi dapat tumbuh menjadi besar dari airsusu ibu ialah kisah wanita dari Bani Ghamidiyah. Ketika wanita tersebut datang kepada Nabi saw dan mengaku bahawa dirinya telah mengandung dari perzinaan, Baginda saw bersabda kepadanya, “Pulanglah sampai kamu melahirkan”.

Setelah melahirkan, dia datang lagi kepada Rasul saw dengan mengendongkan bayinya dan berkata, “Wahai Nabi Allah, bayi telah saya lahirkan”. Akan tetapi, Baginda bersabda kepadanya, “Pulanglah, susuilah ia sampai kamu menyapihnya”.

Setelah wanita itu menyapihnya, ia datang dengan membawa bayinya yang sedang memegang sepotong roti di tangan. Ia berkata, “Wahai Nabi Allah swt, bayi ini telah saya sapih dan kini ia sudah mampu makan sendiri”. Baginda Nabi saw pun memerintahkan bayi tersebut diserahkan kepada salah seorang lelaki dari kaum Muslimin dan memerintahkan agar dibuatkan galian sebatas dada untuk menanam tubuh wanita tersebut. Kemudian, Baginda memerintahkan kepada orang yang hadir untuk merejamnya dan mereka pun segera merejamnya. [HR Muslim, no 3298].

Jika diperhalusi hadith ini, kita akan bertemu dengan ingatan yang menakjubkan, iaitu:-

i. Ketika Nabi saw yakin bahawa wanita tersebut mengandung dari hubungan zina, Baginda tidak memberikan isyarat apa pun terhadapnya agar menggugurkan janin yang dikandung, baik janinnya belum sempurna mahupun sudah sempurna. Berbeza dengan apa yang sering dilakukan oleh orang yang mengandung kerana berzina pada masa sekarang, iaitu menggugurkan kandungannya. Mereka telah membunuh jiwa tanpa alasan yang dibenarkan.

ii. Rasulullah saw memerintahkan agar wanita tersebut pulang dan tinggal di rumahnya sampai melahirkan kandungannya.

iii. Setelah melahirkan anak,  Rasulullah saw memerintahkan kepadanya agar pulang lagi untuk menyusui bayinya sampai masa penyapihan (putus susu). Wanita itu pun menyusuinya sampai tiba masa penyapihannya dan bayinya sudah mampu makan roti dengan tangan sendiri.

iv. Nabi saw menyerahkan bayi itu kepada salah seorang di antara kaum muslimin agar dirawat dan dididik.

Itulah kasih sayang Nabi saw dan kaedah yang sewajarnya dilakukan oleh setiap Mukmin dalam berhadapan dengan masalah anak zina dalam masyarakat. Baginda berkeinginan yang kuat agar bayi tersebut tidak terabai walaupun datang dari hasil perzinaan. Ini penting kerana bayi tersebut tidak mewarisi dosa yang dilakukan oleh kedua ibubapa dan wajar diselamatkan untuk menjadi generasi ummat yang baharu.

Oleh itu, amat penting untuk kita sama-sama memahami kaedah pengurusan kes-kes perzinaan dan menyayangi anak hasil perzinaan serta mencontohi bagaimana Rasul saw berhadapan dan menyelesaikan kes-kes sebegini.

Rasulullah saw telah mencontohkan kepada kita bagaimana seharusnya kita berbuat, maka terserah kepada kita bagaimana ingin beriman dengan sunnah Baginda saw.

Kami tidak bersetuju hubungan sosial yang bebas, perzinaan atau mana-mana pelanggaran syarak dalam hidup masyarakat tetapi pada masa yang sama kami juga tidak bersetuju jika anak-anak zina tidak diperlakukan sebaiknya dalam masyarakat. Mereka layak di kasihi, dibela dan disayangi.. Sayangilah mereka.

Halaqah Keluarga
16.09.2012

Disunting dari Islamic Parenting – Pendidikan Anak Metode Nabi saw.

Advertisements
This entry was posted in Islamic Parenting, PEMBANGUNAN KELUARGA, TARBIYATUL AULAD. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s