Apa Yang Aku Pelajari Dari Ikhwanul Muslimin – Muqaddimah

Dunia mengetahui, bahkan mengakui bahawa abad ke-empat belas hijrah adalah berbeza dengan abad-abad hijrah yang sebelumnya. Perbezaan ini adalah kerana berdirinya sebuah madrasah baharu yang telah lama ditunggu-tunggu oleh muslimin di Timur dan Barat sejak beberapa abad yang lalu. Madrasah baharu itu ialah harakah Al-Ikhwanul Muslimin yang bermula di Mesir. Ia telah di bentuk, ditegakkan, diatur programnya, disusun peraturannya, dijelaskan manhaj, tujuan dan caranya oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Beliau merupakan pengasas harakah dan mursyid pertamanya.

Al-Mujahid Ibnu Taimiyah dan murid-muridnya berjasa besar dalam fiqh Islam dan menjelaskan semua manhaj as-salaf. Jasa beliau itu dipandang sebagai bintang yang gemerlapan di pelipis fiqh Islam. Walaupun mereka telah dipenjarakan, diganggu dan diseksa tetapi mereka tetap berpegang teguh dengan pendirian mereka yang shahih. Madrasah dan aliran fikiran mereka itu tidak dapat dinafikan kebenarannya.

Sementara itu kami Al-Ikhwanul Muslimin pula memandang Al-Mujahid Ibnu Taimiyah dan murid-muridnya itu sebagai guru kami. Namun begitu kami mengakui dengan penuh keyakinan bahawa Madrasah Imam As-Syahid Hassan Al-Banna memberi kesan lebih mendalam dan pengaruh yang lebih kuat di dalam jiwa angkatan muda muslimin. Madrasah Ibnu Taimiyah telah melahirkan ramai fuqaha’ dan ulama’ yang unggul dan tulen. Madrasah Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pula telah melahirkan mujahidin di medan peperangan dan menjadi contoh yang baik dalam perjuangan. Madrasah Al-Mujahid Ibnu Taimiyah mempunyai pengaruh yang terbatas di Timur Tengah dan di sebahagian Negara Islam yang berdekatan. Sementara Madrasah Imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah berjaya mengembangkan segala ajarannya ke lima benua yang membentuk permukaan bumi yang di diami oleh manusia zaman ini.

Tantangan yang dihadapi oleh Al-Mujahid Ibnu Taimiyah hanyalah daripada pemerintah Negara Syam dan Mesir di zaman itu. Berbeza keadaannya dengan harakah Imam As-Syahid Hassan Al-Banna yang dimusuhi dan diperangi oleh semua kuasa dan kekuatan yang jahat, terdiri dari zionisme, kristian, komunisme dan kapitalisme di seluruh dunia. Mereka yang sangat terkenal dengan kekejaman, kebengisan, kekotoran dan kehinaan telah menyerang hakarah ini dengan serangan yang tiada tara ganasnya. Tidak cukup dengan itu, kuasa-kuasa taghut ini telah menghasut para pemerintah di dunia Islam yang bergantung rapat dengan kekuatannya yang zalim dan jahat itu, untuk menghancur leburkan Al-Ikhwanul Muslimin dan memburu ahli-ahlinya walau di mana sahaja mereka berada.

Sungguhpun semua kekuatan jahat itu telah mengganggu gugat dan menyerang Al-Ikhwanul Muslimin namun tetap teguh memelihara kewujudan mereka. Harakah ini sentiasa tegas, tangkas, berpegang teguh dengan pendirian dan ajaran mereka di samping menampilkan beribu syuhada dengan reda dan penuh kepuasan. Keberanian mereka mengkagumkan dunia seluruhnya. Mereka (taghut) terpaksa mengakui bahawa para pemimpin Al-Ikhwanul Muslimin itu merupakan teladan dan perumpamaan yang tidak ada tandingnya di zaman ini dalam keteguhan mereka berpegang dengan akidah mereka, jasa mereka harum mewangi menjadi sebutan sepanjang zaman.

Firman Allah:- “Dengan memurnikan ibadat kepada-Nya, meskipun orang-orang kafir tidak menyukai(Nya)” (al-Mu’min: 14)

Aku berkata demikian bukanlah untuk memandang rendah atau mengurangi jasa Al-Mujahid Ibnu Taimiyah dan madrasahnya di mata ummat Islam. Orang yang berbuat demikian bermakna menyangkal kebenaran dan orang yang mempertikainya adalah orang yang degil. Aku berlindung kepada Allah daripada adanya seorang muslim daripada kalangan orang-orang yang menafikan kebenarannya. Sesungguhnya kelebihan dan jasa Al-Mujahid Ibnu Taimiyah tidak dapat di sangkal lagi. Cuma Al-Mujahid Ibnu Taimiyah dan murid-muridnya kadang-kadang bersikap keras dan kasar terhadap para penentang mereka dan melemparkan kata-kata pahit dan keras. Aku hanya menyatakan demikian kerana mengakui satu hakikat yang tidak mahu diakui oleh hati yang sesat dan berpusat di sudut dada mereka. Kami tidaklah bertujuan mencari kelemahan Al-Mujahid Ibnu Taimiyah dan murid-muridnya. Cuma sikap keras yang sedemikian itulah yang sangat di jauhi oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Beliau melarikan diri daripadanya dan memberi pesan kepada murid-muridnya supaya tidak menyakiti seorang daripada penentang-penentang mereka yang mempunyai pandangan dan pendirian yang bertentangan dengan mereka. Beliau tidak pernah terlepas cakap walaupuan pada suatu hari atau terlanjur kata yang menyakiti seseorang. Bahkan beliau bersikap suci dan mulia serta lebih baik daripada itu. Beliau adalah seorang pemaaf dan segera memaafkan walaupun berkuasa membalas. Beliau sentiasa berpegang teguh dengan firman Allah yang Maha Agung dan Maha Tinggi:-

“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk urusan-urusan yang diutamakan” (as-Syura: 43)

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna merupakan orang yang sabar dalam menghadapi gangguan dan penyeksaan. Beliau adalah seorang yang pengampun kepada siapa yang mengganggu dan mencerobohnya.

Ada lagi satu perkara yang membawa kelainan dalam kelebihan dua tokoh ini iaitu dari segi tabiat zaman di mana mereka berdua hidup. Pada zaman Al-Mujahid Ibnu Taimiyah alat-alat komunikasi adalah terbatas, lanturan itu Al-Mujahid Ibnu Taimiyah tidak mencapai kemasyuran yang sewajarnya, keharuman namanya tidak tersebar luas dan tidak terkenal sebagai cendiakawan Islam zamannya ke seluruh dunia. Berlainan dengan kemasyuran yang dicapai oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Beliau amat di kenali oleh ramai manusia, berita tentangnya di tulis oleh para pengarang, wartawan sama ada di dalam buku, akhbar dan majalah di seluruh dunia. Semuanya itu adalah limpah kurnia daripada Allah, kedua-dua imam agung ini mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi kami.

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna tidak membawa agama baharu kerana beliau itu hanyalah muttabi’ (pengikut) dan bukan mubtadi’ (pembawa bid’ah atau sesuatu rekaan baharu). Beliau tidak membawa faham baharu di dalam Islam yang tidak dikenali oleh ummat Islam dari dahulu. Peranan beliau hanyalah sebagai pembawa peringatan dan kesedaran. Beliau hanya melaungkan suaranya yang lantang dan terus terang. “Bangkitlah wahai ummat Islam dan kembalilah semula kepada agamamu. Kamu sudah terlalu lama tidur dan kelalaian telah menghantui diri kamu. Perangai lekamu itu tidak sesuai dengan sifat seorang muslim yang cerdik dan pandai”

Jika kamu mahukan aku memberi bidalan yang lebih halus seperti bidalan yang digambarkan oleh peminat sastera dan kesenian, maka urusan itu tidak pernah aku lakukan dan aku tidak pandai berbuat demikian (aku bukanlah ahli sastera). Sesungguhnya peranan Imam As-Syahid Hassan Al-Banna umpama tiupan angin lembut dan basah kala dinihari, mengibas debu-debu semalam yang telah melekat pada daun-daun pokok bunga yang sedang dilamum mimpi yang enak pada kesepian akhir malam sehinggalah terbitnya matahari pada waktu pagi.

Pengajaran Imam As-Syahid Hassan Al-Banna menyedarkan orang-orang yang sedang tidur dan lalai. Beliau mendapat sambutan mesra dan hangat ibarat keindahan bunga Mawar ,bunga Jasmin, rerumput Aas dan Nasrin yang sedang mekar dan semerbak mewangi, mendatangkan keseronokkan kepada orang-orang yang bertasbih memuji keindahan ciptaan Allah swt dan yang sedang asyik merenungi kegemilangan ciptaan Allah al-mabdi’ dan Maha Mengetahui.

Da’wah Imam As-Syahid Hassan Al-Banna terus berjalan umpama jalan kehidupan yang menyegarkan kembali seluruh jasad tumbuh-tumbuhan beransur-ansur kembang dan subur padahal tadinya telah hampir layu dan berkecai. Beliau membawa kesedaran, kemuliaan dan kekuatan cahayanya yang bersifat toleransi menggerunkan musuh syariat Islam. Satu perkara yang paling menghairankan ialah belum pernah ada satu jamaah Islam pun (sebelum mereka) yang terdedah kepada gangguan seteruk gangguan yang menimpa Al-Ikhwanul Muslimin.

Sesungguhnya musuh-musuh Islam telah yakin (melalui kajian mereka) tentang betapa besarnya bahaya da’wah ini terhadap cita-cita mereka yang telah di rancang beratus tahun untuk direalisasikan. Sejak dari mula lagi mereka melaksanakan segala rancangan disertai dengan langkah-langkah yang tekun dan tanpa henti, dengan aman dan tenteram. Langkah-langkahnya yang penuh dengan kejahatan tipu daya itu tersembunyi dalam pelbagai rupa, bentuk dan warna yang berbeza-beza. Semuanya ini tidak disedari oleh kebanyakkan ummat Islam. Ummat ini tidak mengetahui apakah yang akan dibuat terhadap mereka atau ke manakah mereka akan diheret oleh musuh-musuhnya.

Lantaran itu, lahirnya da’wah Al-Ikhwanul Muslimin yang hebat di tengah gelanggang, musuh-musuh Islam dapat melihat betapa besarnya bahaya yang dibawa oleh Al-Ikhwanul Muslimin yang akan menghancurkan segala cita-cita mereka yang busuk terhadap ummat Islam. Oleh kerana itu, Al-Ikhwanul Muslimin telah menjadi sasaran dendam kesumat setiap orang yang benci kepada Islam dan harakah Islam.

Dalam makalah yang ringkas ini, aku tidak punya kesempatan untuk menceritakan segala bidang kerja, sama ada nama-nama atau orang-orang yang terlibat serta hasil-hasil yang lahir daripada kegiatan Al-Ikhwanul Muslimin. Namun bukan bermakna ia tidak penting, tetapi untuk menceritakan perkara itu secara terperinci memerlukan buku yang berjilid-jilid. nyatalah yang ringkas seperti ini tidak mampu memuatkannya.

Pembicaraanku di sini hanyalah berkisar sekitar kefahaman mereka terhadap agama, sejauh mana penglibatan mereka dan setakat mana kejayaan pelaksanaan cita-cita mereka. Aku juga cuba menjelaskan tentang sejauhmana mereka menikmati kemanisan ayat-ayat al-Quran yang mulia dan merasai kelazatan hadith-hadith Rasulullah saw masa ada hadith Hasan, Sahih, Mursal dan Marfu’. Bagaimanakah pula mereka membuat fatwa dari hati mereka yang suci dan bersinar (dengan iman), jauh sekali daripada memasuki perdebatan masalah khilafiah, kerana mereka mengikuti sirah agung Rasulullah saw, mengikuti kemampuan dalam segenap urusan hidup.

Mereka beriltizam dengan jejak langkah an-nabawiyyah yang mulia dan amal para sahabat r.a dan telah mengikuti jejak langkah Baginda kerana cinta dan taat. Pernah Abdullah bin Umar al-Khattab r.a lantaran satu cinta dan iltizamnya terhadap Baginda cuba memastikan bahawa tapak kaki untanya sentiasa memijak bekas tapak kaki unta Rasulullah saw pada waktu pergi dan pulangnya.

Aku telah hidup bersama Al-Ikhwanul Muslimin dan merasa susah dan senang bersama mereka selama berpuluh tahun. Aku bersama-sama mereka mengalami berbagai peristiwa yang menimpa mereka, sama-sama berwaspada terhadap intipan dan segala ancaman kejahatan dan kezaliman yang selalu mempersoalkan kewibawaan dan tindakan mulia Al-Ikhwanul Muslimin.

Daripada penelitian ini aku dapati bahawa apa yang dilahirkan oleh Al-Ikhwanul Muslimin adalah selaras dengan apa yang terkandung dalam batinnya dan mengotakan apa yang dikata. Aku dapati keserupaan ini dalam bentuk yang paling jelas. Oleh kerana itu untuk menunaikan kewajipan dalam menyempurnakan bai’ah kami, aku merasakan perlu menerangkan apa yang tidak dikenali oleh kebanyakan orang mengenai Al-Ikhwanul Muslimin.

Aku merasa perlu memperkatakan jurusan rohani Al-Ikhwanul Muslimin dan beberapa sifat dan sikap mereka yang tidak mampu dibuat sepertinya oleh kebanyakan orang, kerana mereka tidak menghayati agama mereka sebagaimana Al-Ikhwanul Muslimin menghayatinya. Namun begitu aku memohon kepada Allah, semoga aku dibersihkan daripada perasaan ta’asub kepada satu golongan daripada muslimin yang amat kami cintai dan kagumi, meskipun aku tidak dapat membalas budi mereka kepadaku sama ada dalam bentuk amal, ijtihad, kegiatan dan pengorbanan mereka. Aku minta maaf atas kecuaian ini, kerana aku lemah di dalam usaha ini, sedikit ilmu dan lemah tenaga. Betapa pun demikian aku tidak kesal atau merasa tidak puas atau tidak tenteram kerana aku telah memahami firman Allah. Itulah yang menjadi penyedap hati, pengakuan, doa dan rayuanku kepadanya.

Firman Allah:- “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampuni kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolonga kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (al-Baqarah: 286)

Sebenarnya aku tidak berani mengakui bahawa aku telah dapat memberi penjelasan yang cukup dalam semua urusan. Aku tidak menafikan bahawa aku selalu membuat salah dan silap seperti manusia lain, tetapi aku terus taubat apabila telah nyata kesalahanku. Aku sentiasa mengharapkan orang-orang yang berilmu menunjukkanku kesalahan-kesalahanku yang dilihatnya, kerana kami mengalu-alukan kritikan-kritikan yang membina terhadap pandangan ini tetapi kami menolak tuduhan yang menghentamnya dengan hentam keromo tanpa alasan yang konkrit.

Firman Allah:- “Dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman.”  (Al-Hasyr: 10)

Firman Allah:- “Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali.” (Al-Mumtahanah: 4)

Almarhum Syeikh Umar Al-Tilmissani
Mursyid Am Ikhwan ke-3

Advertisements
This entry was posted in MUTIARA DA'WAH, Syeikh Umar Tilmissani. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s