Apa Yang Aku Pelajari Dari Ikhwanul Muslimin – “Mengenali Erti Keyakinan”

Aku tahu benar mengenai Al-Ikhwanul Muslimin dan aku belajar daripada mereka secara amali atau praktis. Mereka hidup dengan rohani mereka bersama dengan Allah, di samping mengenali kekuasaan Allah yang tidak terbatas dan yang tidak dapat dibayangkan oleh akal makhluk yang lemah ini. Manusia cuba menggambarkannya kerana kesombongan, dikuasai tipu daya ilmunya, menyangka dengan kepandaian, bahawa mereka telah dapat mengetahui rahsia dan sekaligus hendak menguasai alam ini. Namun demikian, manusia masih tetap lemah sekalipun mereka merasa mereka sudah terlalu kuat dan telah maju meski itu hanya merupakan khayalan yang tidak berasas dan tidak berdasar.

Al-Ikhwanul Muslimin telah sampai kepada keyakinan ini kerana sesungguhnya mereka telah mengetahui kelemahan mutlak itu berada dalam diri mereka. Lantaran itu mereka telah sampai kepada tahap makrifatullah. Mereka mengenali dan mengakui sifat kudrat Tuhan mereka yang sempurna dan tidak terbatas.

Firman Allah:- “Dan tiada sesuatu pun yang dapat melemahkan Allah baik di langit mahupun di bumi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa” (Fathir: 44)

Di antara ciri-ciri kerohanian mereka ialah mengetahui bahawa Allah telah menentukan qada’ dan qadar setiap makhluknya sebelum dijadikannya lagi. Dia mengetahui tentang makhluknya terlebih dahulu sebelum memperlihatkan kepada makhluk itu sendiri menurut cara yang telah diketahui-Nya.

Hati mereka telah tetap memutuskan bahawa Allah mengetahui dengan ilmu yang Qadim, sentiasa tidak diperbaharui menurut perubahan alam, menurut perbezaan situasi dan keadaan. Barangsiapa yang telah memahami konsep ini dengan kefahaman yang mantap dan merasa puas hati, lantas dia menghayati dan mengamalkannya, maka dia telah mencapai darjat iman kepada Allah, sekaligus ini akan memperbaiki amalnya serta mententeramkan fikirannya. Dia tidak lagi bertanya kepada dirinya ataupun orang lain. Kenapakah ini terjadi? Dan bagaiamana? Disinilah lahirnya satu sifat yang tidak ada pada orang lain daripada kalangan Al-Ikhwanul Muslimin.

Mereka tidak pernah melupakan dan tidak ragu pada kudrat kuasa rabbaniyyah. Di samping itu, tetap beriman dengan sifat Allah dan mereka benar-benar yakin kepadanya, dan hanya bertanya tentang kaifiat bukan dzat-Nya. Mereka mengetahui, menyakini, beriman dan berpegang dengannya tanpa menambah atau menguranginya, dan sentiasa bersabar dalam menanggung segala tribulasi: landasan inilah yang diikuti oleh Al-Ikhwanul Muslimin. Kenyataan ini menolak sangkaan umum yang mengatakan bahawa muslim yang hakiki itu telah tidak lagi mempunyai kepercayaan yang sebegini kukuh terhadap rabbil alamin. Al-Ikhwanul Muslimin meninggalkan sebarang perbahasan tentang dzat Allah yang Maha Tinggi, kerana perbuatan itu adalah syirik. Sebaliknya sebarang perbincangan untuk mengetahui sifat-sifat Rabbaniyyah boleh membawa kepada pemahaman hakikat.

Mereka tidak suka mempersoalkan tentang al-iradah dan hikmat sesuatu perintah Allah kerana al-qudrah telah termaktub dan kekuasaan Allah adalah meliputi. Sesungguhnya mereka itu yakin bahawa Allah menghendaki satu urusan bukanlah untuk menyusahkan hambanya, malah untuk kebaikan mereka juga walaupun kelihatan memberatkan mereka. Antara keduanya adalah berlainan. Misalnya, kadang-kadang anda menyuruh anak anda supaya dia berpenat dan bersusah payah untuk mencapai sesuatu akan tetapi waktu itu juga anda tidak mahu dia bersusah payah.

Kefahaman Al-Ikhwanul Muslimin terhadap konsep yang rumit ini menyebabkan ramai manusia menjauhinya. Namun Al-Ikhwanul Muslimin tidak pernah ragu memegang teguh konsep qada’ dan qadar Allah. Bahkan mereka mengorak langkah beristiqamah membuat amal dan berusaha kerana menyahut perintah Allah dan menyerahkan pencapaian hasil usahanya kepada Allah. Allahlah sahaja yang berkuasa mengendalikan segala urusan.

Mereka itu telah membaca suruhan Allah dalam kitabnya yang banyak menyebut dan menekankan perkara ‘amal dan berusaha’ dan ‘katakanlah, beramallah’. Sebaliknya tidak ada satu ayat pun yang menyuruh seseorang muslim untuk mencapai natijah daripada apa yang telah dibuatnya. Sesunggunhnya mencapai natijah itu diserahkan kepada Allah sahaja. Barangsiapa yang telah sampai ke tahap pemahaman maksud ‘amal’ ini, ia tidak akan sesat dan tidak akan berdukacita. Ia tidak akan terlalu bergantung dan menaruh harapan kepada usahanya dan amal itu tidak dapat menyampaikan kepada cita-citanya kecuali Allah memberi pertolongan kepadanya dan melimpahkan rahmat kurnia. Semua telah aku pelajari daripada Al-Ikhwanul Muslimin secara praktikal. Setiap amal yang mereka lakukan semuanya tanpa banyak soal tentang natijah, penuh rela dan tanpa syarat. Mereka hanya berbekalkan tawakkal dan kesungguhan yang tebal.

Al-Ikhwanul Muslimin memulai sesuatu amal itu sedikit demi sedikit daripada perkara yang sekecil-kecilnya, kemudian Allah menyuburkan, mengembangkan dan memberkatinya. Kini semua boleh melihat projek-projek ekonomi, pelajaran, tarbiyah (pendidikan) dan urusan ibadat mereka terpampang di depan mata. Selain itu dapat mengikuti perkembangannya, bagaimana semua itu dimulakan dan bagaimana kesudahannya. Sekiranya tidak ada penganiayaan, penindasan ganas, penyiksaan, gangguan dan pencerobohan daripada musuh-musuh Allah dan musuh-musuh mereka yang berterusan, nescaya mereka mencapai tujuan mereka, nescaya Al-Ikhwanul Muslimin itu pada hari ini mempunyai kesan dan pengaruh yang nyata dalam segenap urusan hidup.

Namun begitu Allah telah memberi ganjaran kepada mereka kerana amal ikhlas itu dan Dia telah mencabut perasaan putus asa dan keraguan daripada hati mereka. Berbagai bentuk kekuatan yang ganas dan zalim tidak dapat menghalang mereka daripada melakukan amal mereka walaupun hanya satu ketika. Malah mereka semakin gigih meneruskan usaha dengan azam yang lebih kuat, cita-cita yang lebih mendalam dan langkah-langkah yang lebih maju ke hadapan. Mereka bangun semula serta mengumpulkan kembali serpihan-serpihan daripada usaha-usaha itu sebagaimana mereka berjanji kepada diri mereka dan kepada Allah. Setiap kali seorang pemimpin yang menyeru seruan Ilahi pergi, muncul pula seorang pemimpin baru, ibarat patah tumbuh hilang berganti dengan penuh harapan dan beramal sungguh-sungguh.

Sesuatu yang lebih menarik perhatian dan memberi kesan mendalam ialah pengetahuan mereka mengenai ilmu-ilmu sahih, yang hanya dapat digarap melalui pandangan yang celik, tajam dan terbuka, bukan merupakan pandangan sepintas lalu sahaja. Mereka melihat dengan basyirah, melihat dengan lebih jauh dan menembusi dasar-dasar yang orang lain tidak mampu melihat dan memahami. Dengan cara sedemikianlah dapat dicapai ilmu yang sahih. Pandangan mata kasar hanyalah sebagai jalan untuk mengenali zat ilmu itu, pandangan yang ditambah dengan mata hati yang celik dan akal yang mampu berfikir boleh membawa kepada nur ilmu itu.

Sebagai contoh, kemerduan suara burung kenari dan murai ketika menyanyi dan berlegar di atas kuntum-kuntum Melati tidak dapat di bezakan kecuali apabila telinga mendengar kemudian deria dengar menghantar kesan pendengaran itu ke otak dan ditafsirkan oleh mata hati. Justeru itu akal dan perasaan sahaja tidak dapat menolongnya untuk memahami satu hakikat yang nyata kecuali dengan adanya pertolongan padnangan mata hati yang celik. Dalam hal ini hanya Allah yang berhak mengurniakan sesuatu kerana Allahlah yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib, dengan ilmunya yang luas dan benar.

Almarhum Syeikh Umar al-Tilmissani
Mursyid Am Ikhwan ke-3

Advertisements
This entry was posted in MUTIARA DA'WAH, Syeikh Umar Tilmissani. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s