Apa Yang Aku Pelajari Dari Ikhwanul Muslimin – Aspek Kerohanian

Konsep kerohanian bukanlah satu kehidupan yang menenggelamkan diri di alam pertapaan dan pengasingan sehingga meninggalkan kehidupan dunia lalu orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya membolot segala harta kekayaan dunia. Sedangkan dunia perlu dibaiki.

Firman Allah:- “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia” (Al-Baqarah: 201)

Hidup di dunia ini adalah untuk berusaha, beramal, melakukan pemulihan dan beriltizam. Firman Allah:- “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’aruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan” (Al-Hajj: 41)

Bukan semata-mata berlagak sombong, melakukan kejahatan, bersukaria dan mengecapi keseronokkan.

Firman Allah:-“Yang demikian itu disebabkan kerana kamu bersukaria di muka bumi dengan tidak benar” (Al-Mu’min: 75)

Bukan juga untuk berperangai bongkak dan sentiasa suka berlumba-lumba dan cuba mengatasi orang lain.

Firman Allah:- “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung” (Al-Isra’: 37)

Kerohanian bukanlah dengan memakai pakaian yang bertampal-tampal dan meninggalkan makanan yang halal dan sedap.

Firman Allah:- “Katakanlah, Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkannya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik? Katakanlah, Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat” (Al-A’raf: 32)

Kerohanian bukan juga bererti beribadat semata-mata dan meninggalkan kerja dan usaha mencari rezeki lantaran menunggu langit menurunkan madu dan emas perak.

Firman Allah:- “Maka berjalanlah di segala penjurunya” (Al-Mulk: 15)

Kerohanian bukanlah menghina dan merendahkan diri kepada yang lain daripada Allah, ataupun berjalan tunduk serta mematikan diri. Kenyataan yang demikian tidak disukai oleh Umar al-Khattab, sehingga pernah satu ketika beliau mengkritik dengan kata-kata mutiaranya.

“Kerohanian bukanlah dengan membiarkan janggut tumbuh meliar, berwajah serius atau bermasam muka atau memegang tasbih sahaja, iaitu hanya Allah sahajalah yang tahu apa yang tersirat di hatinya”.

Kerohanian itu adalah kejernihan jiwa yang suci daripada segala kekotoran, Allahlah sahaja yang dapat melihat. Kerohanian itu bermaksud menyahut seruan Allah, taat kepada-Nya dan melaksanakan segala yang difardhukan oleh Allah.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim a.s menghampirkan diri kepada Tuhannya dengan kebersihan hatinya dan menunjukkan kepadanya tentang keselarasan lahir dengan batinnya lalu berkata:-“Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit” (Ibrahim: 38).

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah mengarahkan Al-Ikhwanul Muslimin kepada pengertian ini dalam memperkatakan rukun “al-fahm” yang merupakan salah satu daripada rukun-rukun bai’ah (aqidah itu asas amal, dan amal hati lebih penting daripada amal anggota badan). Menyempurnakan kedua-duanya adalah dituntut menurut syarak walaupun berbeza martabat tuntutannya itu.

Kerohanian itu adalah duniamu yang dikerjakan dengan mengharap keredhaan Allah semata-mata walau bagaimana bentuk amal itu.

Firman Allah:- “Katakanlah: Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku kepada jalan yang lurus (iaitu) agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus, dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang yang musyrik. Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam tiada sekutu bagi-Nya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)” (Al-An’am: 161 – 163)

Kerohanian itu bukanlah meninggalkan segala faktor-faktor penyebab atau usaha-usaha, kerana Tuhanlah yang menyuruh kita beriman dengan qada’ dan qadar, baik dan buruknya, manis dan pahitnya. Dialah juga yang Maha Tinggi dan Maha Mulia yang menyuruh kita mengambil faktor-faktor penyebab dan membuat usaha. Kita berbuat begitu bukan kerana tindakan dan kesannya, tetapi kerana semata-mata taat kepada yang menjadikan sebab-sebabnya. Dia menyuruh kita mengambilnya dalam segala amal dunia dan akhirat kita. Seandainya tidak, Allah yang Maha Mulia tidak perlu menjadikan solat itu umpamanya sebagai sebab dan wasilah untuk kita memasuki syuraga. Padahal Dia boleh (kalau Dia mahu) memasukkan sesiapa sahaja ke dalam syurga hanya dengan sekali perintah sahaja sebagaimana firman Allah:- “Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang dimukabumi seluruhnya” (Yunus: 99).

Kerohanian sebagaimana yang aku fahami (aku tidak berani mengaku mempunyai ilmu yang mendalam tentangnya) diambil dari kata akar perkataan ‘roh’, sedangkan roh itu hanyalah satu urusan yang sangat sedikit diketahui oleh manusia, demikian juga hal ehwal roh itu. Tiada siapa yang mengetahui bagaimana roh itu berjalan dan ke manakah perginya semasa kita tidur. Hanya Allah sahaja yang mengetahui tentang roh itu kerana itu adalah urusan-Nya.

Firman Allah:- “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, Katakanlah: Roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan, melainkan sedikit” (Al-Isra’: 85)

Urusan Allah tidak dapat diketahui oleh manusia kecuali yang lahiriah sahaja. Hanya Allah sahaja yang mengetahui tentang dzat, rahsia dan hakikatnya. Sekiranya Allah menjadikan sesuatu sebelum adanya sesuatu yang lain sama ada di atas atau di bawahnya, seseorang tidak berhak untuk bertanya kepadanya tentang hikmat dalam qada’ dan takdirnya. Misalnya dari roh itu adalah urusan Allah. Roh itu adalah tiupan rabbaniyyah kepada Adam lalu menjadikannya manusia yang sempurna tanpa bapa dan ibu, menjadikan Hawa tanpa ibu dan bapa dan Isa ibn Maryam a.s tanpa bapa. Semua manusia (kecuali tiga yang mulia itu) dijadikan daripada ibu dan bapa. Semuanya berasal dari tiupan pertama daripada rohnya.

Justeru itu, ia merupakan perintah iaitu wajib ditaati dan dihayati. Sekiranya kamu hendak menjadi rabbaniyyin, maka jalan kepada rabbaniyyin adalah jelas dan mudah, dengan cara menurut langkah-langkahnya dan mengambil sebab-sebabnya. Dalam perkara ini, kamu dapat menyempurnakan segala yang fardhu sebagai ibadat kamu kepada Allah, kamu tunaikan ibadat sunat untuk menghampirkan diri kepada Allah dan berusaha terus-menerus penuh kesungguhan menuju keredhaan Allah, sama ada dengan langkah perlahan-lahan atau berlari mengikut kemampuanmu. Kelak kamu dapat melihat bahawa Allah memang tidak memerlukan kamu sebaliknya kamulah yang sangat memerlukannya. Dia menghampiri kamu lebih dekat daripada kamu menghampirinya. Dia menghampirkan kamu dengan kudrat yang Maha Kuasa, yang Maha Kuat, al-muqtadirul qadir.

Dari sudut inilah, Al-Ikhwanul Muslimin dapat menjadi rabbaniyyin. Kehidupan kerohanian mereka sentiasa bersama dengan Allah. Bermula dengan beribadat yang khusyuk dan tunduk yang pasrah kepada Allah, kemudian mereka mengikuti sunah Rasulullah saw, dalam adab-adab pergaulan sesama manusia. Mereka sentiasa berbudi bahasa dan memuliakan orang dan seterusnya mereka mengenali hakikat diri mereka yang sentiasa memerlukan Allah yang mempunyai kekuasaan di langit dan bumi.

Almarhum Syeikh Umar al-Tilmissani
Mursyid Am Ikhwan ke-3

Advertisements
This entry was posted in MUTIARA DA'WAH, Syeikh Umar Tilmissani. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s