Detik-Detik Hidupku (Bahagian 8)

Munculnya Gerakan Pembebasan Kebangsaan.
Tahun 1919 M merupakan berlakunya pemberontakan di dalam sejarah Mesir. Ketika itu saya adalah penuntut sekolah rendah di Mahmoodiyah dan berumur 13 tahun. Saya masih ingat di hadapan mata saya tunjuk perasaan, mogok dan perarakan­perarakan yang berlaku di awal sehingga akhir. Begitu juga para pernimpin terkemuka yang terlibat di dalam gerakan penentangan tersebut. Merekalah yang memegang panji-panji perjuangan dan mereka juga berebut rebut dalam melaksanakan jihad. Di antara lagu-lagu (nasyid-nasyid) yang dinyanyikan oleh para penunjuk perasaan itu ialah:

‘Cinta pada tanah air ialah kehendak Islam, Ianya seruan malaikat Allah,

Jika kita gagal membawa kemerdekaan, Pasti bertemu kita di Syurga.’

Saya juga teringat kegiatan askar-askar British. Mereka di berbagai tempat di Mesir. Adalah menjadi kebiasaan askar-askar ini sering bertengkar dengan orang tempatan. Askar British akan mengejar orang-orang yang dimarahi dengan tali pinggang kulitnya. Apabila askar itu sampai ke satu tempat sunyi, orang tempatan tadi akan menyerang dan memukulnya kembali. Pulanglah dia ke perkhemahannya dalam keadaan rugi.

Orang-orang tempatan juga menubuhkan Pasukan Kawalan di kalangan mereka. Sukarelawan-sukarelawan di dalam pasukan ini bergilir-gilir berjaga di waktu malam kerana mengawal kediaman-kediaman dan para penghuninya dari serangan tentera British. Sebagai penuntut, peranan kami di dalam gerakan ini sangatlah terhad. Kadang kala kami juga turut menyertai mogok dan tunjuk perasaan serta mendengar syarahan-syarahan para pemimpin gerakan tersebut. Mereka bersyarah berkenaan masalah-masalah, perubahan dan perkembangan yang berlaku di dalam negara

Beberapa Kenangan Dan Sajak Yang Saya Karang.
Saya masih ingat lagi, pada satu hari guru kami, Syeikh Khalaf Nuh datang menemui kami. Air matanya sedang mengalir. Kami bertanya sebab dia menangis. Dia menjawab, ‘Farid Bik telah meninggal dunia hari ini.’ Lepas itu dia menceritakan riwayat hidup dan pengorbanan Farid Bik kepada negara. Gaya dia bercerita begitu terharu sekali sehingga kami semua menangis. Saya begitu terpengaruh dengan peristiwa ini sehingga saya menulis satu sajak mengingati Farid Bik. Kini saya masih ingat rangkap awal dan ayat pertama rangkap kedua sajak itu:

‘Farid, tidurlah engkau dalam aman dan Iman;

Janganlah engkau terpinga dengan tanah air mu;

Farid, semoga setiap ujian adalah pengorbanan untuk mu.’

Saya juga teringat perbincangan perbincangan dan pendapat-pendapat mengenai ‘Suruhanjaya Milner’. Seluruh negara memulau Suruhanjaya tersebut. Semangat yang kuat membangunkan seorang penuntut berumur 13 tahun, menulis satu sajak mengecam ‘Suruhanjaya Milner’ lantaran dorongan semangat cintakan tanah air yang tersemai di dalam dirinya. Sajak itu ialah seperti berikut:

‘Milner! Kembalilah kau mendapatkan pendapat sebenar dari perwakilan di Paris;

Kembalilah kau kepada rakyat negara mu dan beritahu mereka;

Duhai manusia kejam! Usah menipu rakyat Mesir.’

Sajak itu panjang tetapi saya mampu ingat dua rangkap itu saja. Saya menulis banyak sajak akibat dari kebangkitan semangat kenegaraan yang tiba-tiba itu. Kesemua sajak-sajak itu saya himpunkan ke dalam bentuk sebuah buku. Buku sajak itu kemudiannya saya bakar. Ketika itu saya telah terlibat di dalam amalan sufi semasa di Maktab Perguruan. Saya juga telah menulis beberapa buku mengenai ilmu Fiqh keempat-empat Mazhab Sunni. Saya juga turut menyumbangkan beberapa cereka (cerita rekaan). Saya menulis kesemuanya ini dengan kerjasama guru saya, Muhammad Ali Budair. Kesemua hasil penulisan tersebut hilang dan musnah dalam satu tempoh waktu yang digelar ‘zaman bertindak’ lantaran kelalaian saya sendiri. Ketika itu, saya yakin bahawa kecintaan kepada ilmu yang meluas menjadi rintangan kepada amalan yang membuahkan hasil dan juga amal ibadat untuk mengingati Allah (atau yang ditujukan kepada Allah). Sudah memadai bagi manusia memahami dasar dasar agama dan mencari sara hidupnya. Selepas itu, dia sepatutnya menumpukan sepenuh masanya mengingati serta beribadat kepada Allah dan juga disamping itu melakukan amal soleh.

Mogok Dan Tunjuk Perasaan.
Apabila saya memasuki Maktab Perguruan, kehangatan kegiatan gerakan pembebasan telah reda. Namun begitu, orang ramai cuba menghidupkan gerakan tersebut dengan melancarkan mogok, tunjuk perasaan dan pertempuran dengan pihak polis. Keseluruhan waktu kami di Damanhur berlalu di dalam suasana demikian. Di dalam keadaan begini, tanggungjawab terletak di atas bahu para pemimpin pelajar. Walaupun fikiran saya tenggelam di dalam alam sufi, namun begitu saya tetap yakin bahawa berkhidmat kepada negara adalah satu jihad yang dituntut. Oleh sebab saya adalah seorang ketua pelajar, maka menjadi kewajipan saya memainkan peranan utama di dalam gerakan pembebasan tanah air.

Saya tidak lupa pada pengetua Maktab kami, iaitu Syeikh Dusuki Moosa. Dia selalu bimbang akan kegiatan kegiatan kami. Pernah di satu ketika dia membawa kami bertemu Pengarah waktu itu, iaitu Syeikh Mahmood Pasya Abdur-Razzaq. Dia menganggap kamilah yang bertanggungjawab dan kamilah juga yang mampu menahan para penuntut dari terlibat di dalam tunjuk perasaan dan mogok. Mahmood Pasya gagal menasihati para penuntut menjauhkan diri dari terlibat di dalam kegiatan­kegiatan tersebut. Di dalam usahanya itu, dia menggunakan daya tarikan dan juga ancaman. Akhirnya dia membiarkan kami berfikir sendiri. Berikutan itu, kami pun menasihati para penuntut supaya bersurai di ladang-ladang pada 18 Disember yang merupakan ‘Hari Hitam’ pihak penjajah British di Mesir. Kemudian kami pergi ke Maktab dan menyerah diri kepada pihak berkuasa Maktab. Saya dan pihak Maktab menunggu kedatangan para penuntut tetapi seorang pun tidak muncul. Tidak lama kemudian, kami juga meninggalkan Maktab itu. Oleh itu, usaha melancarkan mogok telah berjaya dan Hari Hitam disambut dengan aman. Ada ketikanya para penuntut terlibat di dalam mogok waktu kekacauan berlaku. Jawatan Kuasa Pelajar telah mengadakan mesyuarat di rumah Hajjah Khizrah Sya’eerah di Damanhur. Tiba-tiba rumah itu diserbu polis. Mereka menyoal Hajjah Khizrah mengenai orang-orang yang terlibat. Hajjah menjawab, ‘Orang-orang itu telah keluar pada waktu pagi dan mereka tidak pulang lagi.’ Ketika itu, Hajjah sedang sibuk. Saya tidak puas hati dengan jawapan yang diberi oleh Hajjah. Saya mendekati pegawai polis yang sedang menyoal itu dan menceritakan perkara yang sebenar. Hajjah Khizrah jadi serba salah. Saya terus memberitahu pegawai tadi dengan penuh semangat bahawa kewajipannya pada negara ialah dengan memberi kerjasama kepada kami dan bukannya menggugat rancangan kami serta menahan kami. Rayuan saya itu telah berjaya. Pegawai polis tadi meminta kesemua anggota polis lain kembali ke balai. Dia pun turut meninggalkan tempat itu. Saya pun kembah memberitahu sahabat-sahabat yang sedang bersembunyi bahawa mereka telah selamat kerana kebenaran. Kita mestilah benar ketika memikul tanggungjawab. Kita tidak perlu berdusta walau apa pun cabaran yang datang.

Di antara Mahmoodiyah dan Damanhur.
Telah menjadi kebiasaan saya untuk tinggal di Damanhur pada hari hari persekolahan dan pulang ke Mahmoodiyah pada hari Khamis ketika waktu Zohor. Saya menghabiskan malam Jumaat dan malam Sabtu di Mahmoodiyah. Pada pagi Sabtu, saya kembali ke Damanhur untuk menghadiri kuliah pertama tepat pada waktunya. Banyak kerja yang dapat saya lakukan selama dua hari di Mahmoodiyah. Di samping itu, saya dapat juga bertemu anggota keluarga dan tinggal bersama mereka untuk beberapa waktu. Ahmad Afandi Sakri adalah sahabat baik saya. Kasih sayang antara kami begitu kuat sekali sehingga kami mesti bertemu sekurang­kurangnya sekali seminggu. Satu perhimpunan juga diadakan di rumah Syeikh Syalabi Ar-Rijal pada setiap malam Jumaat. Di dalam perhimpunan tersebut, kami mengkaji kitab tasawwuf iaitu Al Ihya’, mendengar cerita-cerita nabi dan sebagainya. Selepas itu, kami pun menghabiskan masa di dalam beribadat dan bersembahyang sehinggalah ke pagi. Kegiatan kegiatan ini merupakan sebahagian dari jadual hidup kami.

Saya juga menceburkan diri dalam bidang membaiki jam dan jilid buku. Pada waktu siang hari, saya menghabiskan masa membaiki jam di kedai dan pada waktu malam saya beribadat bersama-sama para anggota Tariqat Hasafiyah. Saya masih sempat melawat Mahmoodiyah pada setiap hari Khamis walaupun sibuk dengan kegiatan-kegiatan tadi. Saya turun dari keretapi mel dan terus ke kedai. Saya bekerja di kedai sehingga hampir waktu Maghrib. Kemudian saya pulang ke rumah kerana hendak berbuka puasa. Memang kebiasaan kami pada setiap hari Isnin dan Khamis. Kemudian saya mengikuti kuliah di masjid Sagheen. Selepas itu saya pergi ke rumah Syeikh Syalabi Ar-Rijal atau rumah Muhammad Afandi Sakri untuk rnengkaji dan berzikir. Kemudian saya bersolat subuh di masjid. Setelah itu, saya menunaikan solat Jumaat, makan tengahari dan terus ke kedai semula. Apabila Maghrib tiba, saya ke masjid dan kemudian pulang ke rumah. Saya kembali ke Maktab Perguruan Damanhur pada pagi esoknya. Inilah jadual mingguan saya. Sepanjang ingatan saya, tidak pernah saya gagal melawat Mahmoodiyah melainkan atas sebab-sebab atau tugas-tugas yang sangat mustahak.

Cuti Musim Panas.
Cuti musim panas sangat sesuai untuk melaksanakan jadual harian yang tersebut tadi. Di samping itu, kami ada kegiatan tambahan iaitu menghadiri majlis perbincangan ilmiah dari terbit matahari sehingga waktu Dhuha tua di rumah Syeikh Muhammad Khalaf Nooh. Di dalam majlis tersebut, kami menghafal kitab ‘Alfiya’ karangan Ibnu Malik dan juga kitab Syarah Ibn ‘ukail. Kami juga mengkaji ilmu Fiqh dan Hadith. Pengajian ilmiah tambahan telah banyak membantu saya melayakkan diri untuk memasuki Darul Ulum. Saya mungkin gagal memasuki Darul Ulum tanpa daya usaha ini.

Azan Subuh
Sambil menghabiskan cuti musim panas di Mahmoodiyah, kami telah menjalankan satu kegiatan khas pada setiap pagi hari Jumaat. Pada setiap pagi Jumaat, kami membahagi-bahagikan bandar Mahmoodiyah kepada beberapa kawasan. Kami berjumlah tiga orang tetapi kadangkala lebih dari itu. Saya bersama-sama dengan Muhammad Affandi Dimyati dan Abdul Mut’al Sankal pergi ke kawasan masing­masing untuk membangunkan orang ramai khasnya para anggota Tariqat Hasafiyah, lebih awal sikit dari waktu subuh. Saya mendapat kepuasan apabila dapat membangunkan para muazzin dari tidur untuk melaungkan azan subuh. Selepas membangunkan mereka, saya pun duduk di tebing Sungai Nil untuk menunggu laungan azan.

Masjid-masjid di Mahmoodiyah berdekatan antara satu sama lain. Azan yang dilaungkan dari masjid-masjid itu seolah olah berbunyi senada saja. Saya telah membangunkan banyak orang untuk menunaikan solat, lantaran itu saya akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan orang-orang yang melakukan solat tadi. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan Allah akan mendapat ganjaran. Dia juga akan mendapat ganjaran manusia yang telah rnengikut jalan kebenaran itu sehinggalah ke Hari Perhitungan. Ganjaran itu tidak akan berkurangan walau sedikit.”

Kegembiraan saya berganda apabila saya dapati diri saya adalah orang yang termuda sekali menunaikan solat di masjid. Ini semua lantaran rahmat Allah. Segala puji bagi Allah.

Kemasukan ke Darul Ulum.
Tempoh tiga tahun di Maktab Perguruan merupakan satu termpoh yang penuh dengan ibadat dan kegiatan sufi. Di samping itu, saya juga berkesempatan menuntut ilmu-ilmu yang lain. Dua perkara telah banyak membantu saya. Yang pertama ialah perpustakaan bapa saya. Bapa saya juga menggalakkan saya supaya gemar menuntut ilmu. Banyak buku yang dihadiahkannya kepada saya. Buku-buku yang banyak mempengaruhi saya ialah ‘Al Anwarul Muhammadiyyah’ oleh Nabhani, kitab Mukhtadarul Mawahib Al-Ddiniyyah oleh Qastalani dan ‘Noorul Yaqeen fi Seeratus Sayyidul Mursaleen’ oleh Syeikh Khudari. Tunjuk ajar dari bapa saya dan minat saya dalam menuntut ilmu telah mendorong saya menubuhkan perpustakaan saya sendiri. Saya telah mengumpul majalah-majalah lama, makalah makalah dan buku-buku untuk memenuhi perpustakaan saya. Saya berminat menuntut ilmu semenjak berada di Sekolah I’dadiyah rendah di Mahmoodiyah lagi. Saya sentiasa ternanti-nanti untuk meminjam beberapa buah buku dari Syeikh Hasan al-Kitabi. Tempoh pinjaman ialah seminggu dengan dikenakan sedikit bayaran. Selepas membaca buku-buku itu, saya pun mengembalikannya dan meminjam buku-buku lain pula. Hal ini berterusan begitu.

Saya sangat terpengaruh dengan cerita yang bertajuk ‘Puteri Yang Berani’. Buku itu mengingatkan saya kepada corak buku-buku cerita waktu itu. Buku-buku cerita waktu itu bersekitar mengenai rintihan, keberanian, sikap sanggup mempertahankan tanah air, berpegang kepada agama Islam, jihad pada jalan Allah dan perjuangan untuk mencapai kehidupan yang mulia. Sebaliknya, buku-buku cerita serta novel-novel sekarang penuh dengan kelucahan dan kekosongan. Terdapat perbezaan yang jelas antara perkembangan kebudayaan dahulu dan sekarang. Saya rasa sudah sampai masanya untuk menyiasat mengapa para penerbit menerbitkan bahan-bahan bacaan lucah yang berbentuk buku cerita, majalah dan akhbar dan kemudian dipaparkan kepada masyarakat lapis baru.

Perkara kedua yang mendorong saya berminat untuk menuntut ilmu ialah adanya para guru terpilih dan terkemuka di Maktab Perguruan Damanhur. Mereka ini ialah Abdul Aziz Atiya iaitu Pengetua Maktab Perguruan di Iskandariah dan Ketua Ikhwan di sana, Syeikh Farhat Salim, Syeikh Abdul Fattah Abu Alam, Haji Ali Sulaiman dan Syeikh Al Basiyooni. Mereka ini semua adalah orang orang yang wara’ dan bertaqwa. Semoga Allah merahmati mereka. Mereka sentiasa menggalakkan para penuntut mengkaji ilmu. Saya mempunyai hubungan rohani dengan mereka. Hubungan ini sentiasa menjadi satu dorongan kepada saya.

Abdul Aziz Atiya mengajar kami pendidikan amali. Setiap bulan dia mengadakan ujian untuk kami. Dia sangat suka kepada jawapan yang saya beri di dalam ujian tersebut. Dia menulis kata-kata berikut di dalam buku jawapan saya: ‘Awak telah memberikan jawapan yang baik. Jika boleh, saya akan memberi markah yang lebih tinggi dari yang tertinggi. Dia mengembalikan buku jawapan tadi sambil memberi kata kata pujian, nasihat dan galakan. Tidak lama kemudian, dia telah memilih saya untuk membaca proof buku bertajuk ‘al-Mu’alim’. Buku tersebut dicetak di Syarikat Percetakan Al-Mustaqbil, Damanhur.

Hal ini semua terbukti sangat berfaedah di dalam menambah ilmu dan membina peribadi saya. Di samping mengikuti kursus yang telah ditetapkan, saya juga mengkaji buku-buku umum yang lain. Saya berjaya menghafal kitab-kitab berikut:

  1. Mulhatul ‘Airab oleh Hariri,
  2. Alfiyah ibni Malik
  3. Al-Yaqootiyah
  4. Al-Jauhara
  5. kitab Ar Rajbiyah
  6. Saya juga menghafal sebahagian besar kitab-kitab Fiqh Mazhab Hanafi yang bernama Qadoori, Matan Qadoori dalam Fiqh Mazhab Abi Hanafi. Matan Al Ghayat wail Taqreeb oleh Abu Syuja dalam Fiqh Mazhab Syafie. Matan Manzooma oleh ibni Amir dalam Mazhab Maliki.

Saya masih ingat lagi nasihat bapa saya: ‘Sesiapa yang mengkaji matan, maka dia akan menguasai ilmu.’ Nasihat ini mempengaruhi saya. Saya cuba menghafal matan Asy-Syatibiyah dalam ilmu Qiraat. Walaupun saya tidak berapa kenal istilah istilahnya, namun begitu saya berupaya menghafal muqaddimah-muqaddimahnya. Saya masih lagi ingat sebahagian dari rangkap-rangkap di dalam kitab itu.

Satu hari, Inspektor Pelajaran telah melawat kelas kami ketika bahasa Arab sedang diajar. Waktu itu saya berada di dalam tahun Ketika itu saya hanya menghafal kitab ‘Milhatul Alrab’ oleh Hariri. Dia menyoal para penuntut mengenai tanda ‘isim’ (nama) dan ‘Fi’il’ (perbuatan) dalam ilmu nahu. Kemudian dia bertanya mengenai tanda huruf. Guru saya, Syeikh Muhammad Ali Al-Najar memilih saya untuk menjawab soalan itu. Sebagai jawapan, saya telah membaca serangkap dari Milhatul: ‘Huruf tidak mempunyai tanda/alamat. Sesiapa yang dapat berfikir mengenai penjelasan saya ini akan mendapat alamatnya/tandanya.’ Inspektor itu tersenyum sambil berkata: ‘Baiklah saya akan memikirkannya dan mendapat tandanya/alamatnya.’ Kemudian dia mengucap terima kasih kepada guru kami dan terus beredar dari situ.

Minat saya yang mendalam di segi menuntut ilmu telah menarik ramai kawan kami yang sedang membuat persiapan untuk masuk ke Darul Ulum. Mereka semua adalah guru-guru sekolah rendah yang sedang menuntut di Maktab Perguruan. Mereka mencadangkan diadakan pengajian secara bersama agar semua dapat masuk Darul Ulum. Syeikh Ali Naufal yang mencadangkan supaya berbuat demikian. Waktu itu, Darul Ulum terbahagi kepada dua Bahagian. Bahagian Tajheezi [Persediaan] terbuka kepada para penuntut Al-Azhar dan Maktab Perguruan. Bahagian Al-‘Ali al-Mu-aqit [Bahagian Pengajian Tinggi] menerima para penuntut yang lulus Sijil Pelajaran Menengah dari Al-Azhar. Jabatan Aali telah ditutup pada tahun akademik 1923-1924. Sebagai ganti, satu Jabatan yang lebih tinggi telah dirancangkan, yang akan diterima hanya para penuntut yang telah habis pengajian mereka di Jabatan Tajheezi. Sebahagian dari rakan-rakan kami dari Maktab Perguruan membuat keputusan memasuki Jabatan Tajheezi. Tetapi kebanyakan mereka memilih untuk memasuki Jabatan Aali Aarzi kerana ia merupakan peluang terakhir. Syeikh Ali Naufal mahu berbincang dengan saya. Syeikh Ali Naufal adalah seorang guru di Maktab Perguruan Pelajaran dan saya pula dalam tahun tiga dikehendaki mengambil peperiksaan untuk mendapat Diploma Perguruan Pelajaran Rendah. Lantaran itu saya pun tidak dapat menyertai kumpulan pengajian itu. Syeikh Ali Naufal dapat masuk menyambung pengajiannya melalui jalan persahabatan dan bantuan dari sahabat. Dia berkata kepada saya, ‘Persahabatan Mempunyai beberapa keistimewaan. Oleh itu adalah perlu sekali bekerjasama dengan para sahabat dan menerima nasihat mereka.’ Saya pun tidak ada pilihan lain selain dari menurut desakannya.

Pendapat Saya Mengenai Pendidikan dan Ijazah.
Saya mempunyai pendapat sendiri mengenai ilmu, pengajian ilmu dan ijazah. Ini adalah kesan dari kajian saya mengenai kitab Ihya’. Saya sangat minat terhadap ilmu. Saya terlalu cenderung kepada pembacaan dan dalam usaha untuk menambah ilmu. Saya yakin pada faedah ilmu secara perseorangan dan juga kumpulan. Saya juga rasa berkewajipan menyebarkan ilmu pada manusia. Saya pernah berusaha menerbitkan sebuah majalah bulanan bernama ‘Asy Syams’. Saya berjaya menyusun dua keluaran. Dari segi ini, saya menurut dasar-dasar Syeikh Muhammad Zahran yang menerbitkan majalah bulanan ‘Al-As’ad’. Corak yang serupa digunakan untuk majalah kegemaran saya, ‘Al- Manar’. Walaubagaimanapun saya sangat terpengaruh dengan pendapat dan gaya Imam Ghazali mengenai ilmu, dan usaha menuntut ilmu (adab menuntut ilmu). Saya begitu ingin meningkatkan pengajian saya tetapi saya dalam keadaan yang serba salah. Berlaku pertarungan antara keinginan menuntut ilmu dan pendapat Imam Ghazali. Menurut Imam Ghazali, manusia hanya perlu mendapat pendidikan setakat yang perlu untuk menunaikan kewajipan agama dan mencari nafkah hidup, kemudian membuat amal-amal ibadat dan jangan membuang waktu. Hal ini membuat saya bersikap menuntut ilmu setakat yang perlu saja. Timbul dalam fikiran saya hendak memasuki Darul Ulum dan pusat-pusat pengajian yang berkaitan dengannya. Para penuntut yang mendapat diploma pendidikan tinggi berpeluang dihantar ke luar negeri. Perkara ini semua membuat fikiran saya jadi serba salah. Saya selalu menyoal diri saya, ‘Mengapa awak hendak memasuki Darul Ulum? Adakah awak inginkan pendidikan yang lebih tinggi kerana mengejar kekayaan? Mungkin awak ingat dengan cara ini awak boleh mendapat banyak wang yang dapat membantu awak memakan makanan yang lazat, memakai pakaian yang mahal dan memandu kereta kereta yang mahal dan mewah?’ Tetapi sekali lagi saya diperingatkan bahawa fikiran begini sangat teruk dan manusia yang berfikir begitu sangat teruk dan manusia yang berfikir begitu tidak akan ke mana-mana. Allah berfirman di dalam Al-Quran (3:14) maksudnya:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak1 dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah lah tempat kembati yang baik (syurga).”

Saya menyoal diri saya ‘Adakah kerana kemegahan? Sehingga orang berkata engkau guru berijazah dan bukan guru sekolah rendah (ini haram). Menuntut kemegahan adalah penyakit dari penyakit-penyakit hati. Ia adalah keinginan nafsu yang perlu ditentang. Ini adalah satu kejahatan yang dilakukan manusia.

Sabda Rasulullah s.a.w; maksudnya; “Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba pakaian, celaka dan binasa.”

Saya menyoal diri saya, ‘Adakah awak hendak mendapatkan Khazanah ilmu kerana hendak menandingi para ulamak terkenal; atau kerana hendak bertengkar dengan orang-orang jahil; atau kerana hendak mengatasi orang lain agar hak-hak awak tertegak?’ Teringatlah saya bahawa sesiapa yang menuntut ilmu bukan kerana mencari keredhaan Allah dan dia juga tidak mengamalkan ilmu itu, maka dia akan menerima balasan api neraka. Allah akan mengenakan siksaan yang berat kepada para ulamak yang memiliki ilmu tetapi tidak beramai dengan ilmunya dan Allah tidak memberi manfaat ilmunya itu pada dirinya.

Saya juga berkata kepada diri saya sendiri, ‘Awak ingin menuntut ilmu kerana hendak menjadi berguna kepada orang lain. Allah dan para malaikat-Nya merahmati orang yang mengajar ilmu yang baik kepada orang lain. Rasulullah s.a.w. dihantar ke bumi sebagai pendakwah. Sekiranya awak hendak menuntut ilmu itu adalah ikhlas kerana Allah dan untuk faedah manusia, maka mengapa awak bertegas hendak memasuki Darul Ulum? Ilmu tersembunyi di dalam buku-buku dan di dalam hati para ulamak dan ulamak-ulamak sufi. Sijil (ijazah) ialah satu benda yang menimbulkan keburukan. Ia merupakan satu tunggangan kepada kehidupan dan kekayaan duniawi. Hasutan dunia mcrupakan racun yang membunuh rohani seseorang. Ia memusnahkan amalan amalan baik dan merosakkan hati kita. Oleh itu, jika awak hendak mendapatkan ilmu, maka kajilah buku-buku dan janganlah mengejar diploma serta sijil dari pusat pengajian.’

Fahaman ini telah menguasai saya. Lantaran itu, saya tidak belajar bersama­sama Ali Naufal, seorang guru. Tetapi guru saya, Syeikh Farhat Salim sangat menyayangi saya dan bersimpati dengan saya dalam berbagai keadaan dan saya pula sangat menyeganinya. Katanya, ‘Awak sudah hampir dengan diploma. Ilmu bukanlah sesuatu yang mencederakan. Persediaan peperiksaan Darul Ulum ialah satu ujian untuk merintis jalan kepada peperiksaan yang lebih tinggi. Jika awak lepaskan peluang ini, ia tidak akan kembali lagi di masa hadapan. Sertailah dan bertenang. Saya yakin awak akan berjaya. Lagi pun saya ada kaitan rapat dengan kemasukan serta pengajian awak. Awak bebas membuat keputusan menolak atau masuk.’ Syeikh Farhat Salim telah menggalakkan saya memasuki Darul Ulum. Ujian kemasukan dijangka diadakan sebaik saja selesai peperiksaan Diploma.

Dua Peribadi Yang Hebat.
Saya ingin mencatitkan ingatan saya kepada dua peribadi hebat yang bersemadi di dalam hati dan fikiran serta mempengaruhi saya untuk tempoh waktu yang lama. Yang pertama ialah Syeikh Ahmad Asy-Syarqawi Al-Huriyani. Saya berpeluang menemuinya hanya sekali sahaja. Dia telah datang ke Damanhur untuk menemui anak-anak lelakinya, para penuntut dan para pengikutnya. Dia melawat rumah rumah mereka untuk bertanya khabar. Dia sempat bersama dengan kami untuk satu malam. Sifat-sifatnya yang unggul itu mengagumkan saya. Dia sangat mencintai ilmu, oleh itu dia menasihati orang ramai mendapatkan pendidikan. Sesiapa yang tidak mampu menuntut ilmu kerana masalah pembiayaan, maka Syeikh Ahmad Asy‑Syarqawi akan menanggung perbelanjaan itu sehingga tamat pengajiannya. Kemudian dia hendaklah pula membiayai pengajian pelajar miskin yang lain sehinggalah sempurna pengajiannya.

Usahanya ini mendapat kejayaan besar. Di Huriyan, semua orang, termasuk yang miskin, berpeluang mendapatkan pendidikan. Kerjasama bentuk ini membantu semua orang mendapatkan pendidikan. Di samping itu, hal ini menjalinkan hubungan silaturrahim yang erat di antara mereka.

Hiburan Syeikh Ahmad Asy-Syarqawi di waktu musim panas ialah mengumpulkan para penuntut dari berbagai pusat pengajian untuk mengadakan perbincangan (muzakarah). Di dalam perbincangan tersebut, dia suka bercerita, mengemukakan teka teki, mendengar bangkangan bangkangan dari para penuntut dan kemudian membasuh fikiran mereka dengan ceramah-ceramahnya yang bernas itu.

Kegiatannya ini telah mengakibatkan kebanyakan penuntut di Maktab Perguruan terdiri dari mereka yang datang dari Huriyan. Dia datang untuk memberi galakan dan menaikkan semangat mereka. Dia menghabiskan lawatannya yang pendek itu membincangkan masalah-masalah mengenai pendidikan. Saya juga mendapat perhatiannya. Semoga Allah mengasihani dan menempatkannya di Syurga.

Orang yang kedua yang sangat saya ingati ialah Syeikh Sawi Daraz. Beliau merupakan seorang pemuda yang wara’. Syeikh Sawi Daraz seorang petani. Ketika itu umurnya lebih kurang 25 tahun. Tidak lama kemudian dia meninggal dunia. Beliau adalah seorang yang cerdik dan berpandangan jauh. Pernah di satu ketika kami berbincang kisah beberapa orang wali dan ulamak. Di antara tokoh-tokoh yang turut dibincangkan ialah Syed Ibrahim ad-Dasuqi yang dikuburkan di Damanhur dan Syed Ahmad Al-Badwi yang dikuburkan di Thantha. Syeikh Sawi Daraz bertanya, ‘Awak tahukah kisah Syed Ahmad Al-Badwi?’ Saya menjawab, ‘Ya, dia adalah seorang ulamak besar yang wara’ dan bertaqwa.’ Syeikh itu menyoal lagi, ‘Setakat itu saja yang awak tahu mengenainya?’ Saya menjawab, ‘Ya, setakat itu saja yang saya tahu.’ Syeikh itu berkata, ‘Dengarlah! Saya akan menceritakan lebih lanjut mengenainya. Syed Badwi meninggalkan Mekah, tempat asalnya dan datang menetap di Mesir. Beliau sebenarnya adalah rakyat Maghribi dan datang ke Mesir ketika di bawah kerajaan Mamalik. Mamalik berketurunan hamba dan pemerintahannya ialah sah. Syed Ahmad Al-Badwi pula berketurunan dari Saidina Ali r.a.. Syed Badwi berketurunan mulia, berilmu tinggi dan mempunyai hak dari segi pemerintahan. Golongan ‘Ahli Bait’, (yakni keturunan keluarga Rasulullah s.a.w.) menganggap jawatan Khalifah itu hak mereka. Daulah Abbasiah telah berakhir di Baghdad. Masyarakat Islam telah berpecah-belah kepada beberapa wilayah kecil yang diperintah oleh pemerintah-pemerintah yang telah berjaya merampas kuasa.

Salah seorang dari mereka itu ialah Mamalik, pemerintah Mesir waktu itu. Syed Badwi hendak memperjuangkan dua perkara. Yang pertama ialah menegakkan pemerintahan berkhalifah semula. Yang kedua ialah menggulingkan pemerintahan Mamalik yang dianggapnya tidak sah itu. Untuk menjayakan perjuangannya, dia telah mengatur satu rancangan khas. Dia telah mengumpul beberapa sahabat dan penasihat termasuk Syed Mujahid dan Syed Abdul ‘Aaal. Mereka mengambil keputusan untuk menyebarkan dakwah dan mengumpul orang ramai untuk membaca Al-Quran dan berzikrullah. Mereka juga menetapkan beberapa lambang untuk majlis anjuran mereka itu. Lambang-lambang itu ialah sebilah pedang-pedang dari kayu tongkat yang dianggap sebagai paksi perhimpunan mereka. Sehelai bendera khas dan sebuah perisai kulit diisytihar sebagai Syiar Ahmadiah. Apabila orang ramai berkumpul dan mempelajari perundangan Islam, mudahlah mereka menyedari bahawa masyarakat telah rosak lantaran kemungkaran kemungkaran yang ada di dalam kerajaan dan juga kerana pemerintahan secara berkhalifah telah berakhir. Dengan cara ini orang ramai akan berasa lebih bertanggungjawab kepada Islam. Hal ini juga akan mendorong mereka supaya melancarkan jihad untuk menghapuskan kemungkaran dan menegakkan kebaikan.

‘Para pengikut Syed Badwi mengadakan perhimpunan besar mereka setahun sekali. Tanta terpilih sebagai pusat kegiatan mereka kerana tempat itu terletak di tengah tengah kawasan yang mengandungi segala bandar-bandar termasyhur di Mesir, dan jauh dari pusat pemerintahan. Di dalam perhimpunan tahunan inilah Syed Badwi dapat mengukur kemajuan usahanya. Syed Badwi tidak muncul di hadapan khalayak ramai. Dia memencilkan dirinya di bilik atas dan menutup mukanya dengan serban kerana hendak menimbulkan kegerunan di kalangan orang ramai. Perkara ini adalah perkara biasa di waktu itu. Para pengikutnya menyebarkan khabar angin kononnya sesiapa yang melihat Syed Badwi akan menemui maut. Dengan demikian, gerakan Badwi kian terkenal dan banyaklah orang mendampinginya. Tetapi, keadaan di waktu itu tidak membantu kejayaan gerakan Syed Badwi kerana Az-Zahir Baibris Al-Band Qadari telah menaiki takhta kerajaan Mesir. Raja Az-Zahir telah berjaya mengalahkan tentera Salib di dalam banyak pertempuran. Dia juga berjaya mengalahkan kaum Monggol (Tartar) dengan bantuan Muzaffar Qataz. Kejayaan-kejayaannya ini telah membawanya ke kemuncak kemasyhuran. Banyaklah orang yang mendampinginya. Di samping itu, dia telah menjemput seorang putera Bani Abbasiah ke Mesir dan berbai’ah di tangannya. Tindakan Az-Zahir Baibris telah menggagalkan rancangan Syed Badwi.

Perkara ini tidak habis setakat ini saja. Az-Zahir telah memperbaiki hubungan politiknya dengan Syed Badwi. Dia masih lagi berhubung dengan Syed Badwi dan menaikkan pangkat serta kedudukan Syeikh tersebut. Az Zahir melantik Syed Badwi sebagai orang yang bertanggungjawab membahagi bahagikan tawanan perang di kalangan keluarganya. Tugas ini dianggapnya mulia. Hal ini wujud sekian lama sebelum Syed Badwi sempat menyempurnakan cita-citanya. Kerajaan terus berada di tangan Mamalik dan peranan sistem berkhalifah tetap kecil saja. Hal ini berterusan untuk tempoh yang lama.’

Saya terus mendengar kisah riwayat hidup Syed Badwi dari Syeikh Sawi. Saya sungguh kagum dengan kecerdasan Syeikh Sawi Daraz, seorang petani muda yang hanya mendapat pendidikan rendah di kampungnya. ‘Berapa banyakkah terdapat orang-orang yang bijak di Mesir seandainya ada orang yang boleh mencari dan menggerakkan mereka.’ Kata-kata Syeikh Sawi masih lagi bergema di telinga saya hingga sekarang. Kata-katanya itu sungguh mulia dan penuh dengan pengajaran. Nasib seluruh manusia berada di tangan Allah. Allah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya bumi ini diwarisi kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hambanya. Kesudahan yang baik itu bagi orang-orang yang bertaqwa.”

insyaAllah bersambung…

Advertisements
This entry was posted in Detik-Detik Hidupku, MUTIARA DA'WAH. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s