Detik-Detik Hidupku (Bahagian 7)

Di Maktab Perguruan Damanhur.
Saya telah menunaikan janji saya kepada bapa dengan menghafal kitab Al­Quran sehingga ke surah Yasin. Lembaga Pengarah Mahmoodiyah mengambil keputusan memansuhkan sistem Madrasah Adadiyah dan menggantikannya dengan sistem sekolah rendah. Selepas keputusan ini dibuat, saya hanya ada dua pilihan. Iaitu sama ada memasuki pusat pengajian agama di Iskandariah dan menjadi seorang Syeikh Al-Azhar atau memasuki Maktab Perguruan Damanhur dan menjadi seorang guru selepas tiga tahun. Saya memilih pilihan kedua iaitu memohon memasuki Maktab Perguruan Damanhur. Ada dua halangan yang perlu saya atasi. Yang pertama ialah had umur paling rendah ialah 14 tahun sedangkan saya berumur tiga belas setengah tahun ketika itu. Yang kedua ialah bakal calon ke Maktab itu perlu menghafal seluruh Al-Quran dan ujian lisan mengenai hal ini adalah wajib. Pengetua Maktab Perguruan Damanhur ialah Basyir ad-Dusuqi Moosa. Kini beliau adalah seorang pesara. Beliau adalah seorang yang baik dan bersopan. Permohonan saya diberi pertimbangan yang baik olehnya. Dia menerima juga permohonan saya dengan melonggarkan had umur dan setelah saya berjanji akan menghafal seluruh kitab suci al-Quran secepat mungkin. Beliau membenarkan saya mengambil ujian lisan dan ujian bertulis. Saya berjaya dalam kedua-dua ujian itu dan jadilah saya seorang penuntut di Maktab Perguruan Damanhur.

Minat Saya Di Dalam Tariqat Sufi Hasafiyah
Saya telah lihat ahli-ahli Tariqat Hasafiyah di dalam sebuah masjid kecil. Setiap hari selepas solah Isya’, mereka terus berzikir kepada Allah. Saya selalu menghadiri kuliah-kuliah Syeikh Muhammad Zahran antara solah Maghrib dan Isya’. Halaqah zikir yang diadakan itu disertai pula dengan nasyid yang merdu, menarik minat saya. lanya dihadiri oleh ulamak-ulamak dan pemuda-pemuda yang soleh. Mereka juga memberi layanan yang baik kepada kanak-kanak di situ untuk menyertai dalam halaqah zikir itu.

Lama-kelamaan hubungan saya dengan ‘Ikhwan Al-Hasafiyah’ semakin erat. Di antara orang-orang yang paling kuat mempengaruhi saya ialah Syeikh Syalbi Ar­Rijal, Syeikh Muhammad Abu Syousyah dan Syeikh Syed Uthman. Begitu juga dengan pendakwah-pendakwah muda seperti Muhammad Afandi Dimyatee, Sowi Afandi as-Sowi, Abdul Mut’al Afandi Sankal dan yang lain-lain lagi adalah hampir sebaya umur mereka dengan saya. Di sinilah saya bertemu dengan Ustaz Ahmad Sakri buat pertama kali, Beliau adalah wakil Ikhwanul Muslimun waktu itu. Pertemuan tersebut meninggalkan kesan yang hebat kepada kehidupan kami. Sejak itu, nama Syeikh Hasafi terus mempengaruhi saya dan saya berasa sangat gembira bila mendengar nama itu. Saya pun semakin kempunan hendak bertemu Syiekh itu dan mendapat faedah dari kuliah yang diberinya. Saya mula mengamal ‘Wazifah ar­Ruzooqiyyah’ di waktu subuh dan petang. Saya mula berminat dengan wazifah ini apabila bapa saya memberitahu bahawa kalimah di dalam wazifah tersebut diambil dari hadith-hadith sahih. Risalah ini dinamakan risalah (menerangkan hati untuk menjadi suci dengan zikir Ruzooqiyyah). Wazifah ini tidak melebihi dari ayat-ayat al­Quran dan hadith-hadith. Walaupun begitu tidak kedapatan padanya perkataan‑perkataan yang ganjil, fahaman-fahaman dan ibadat-ibadat yang bertentangan dengan Islam.

Ketika ini saya berjumpa dengan sebuah kitab bertajuk ‘Almanhal as-Safi fi Manaqib Hasnain al-Hasafi’. Hasnain al-Hasafi adalah pengasas dan pemimpin pertama Tariqat Hasafiyah (Ikhwan Al-Hasafi). Kini pemimpin Tariqat tersebut ialah Syeikh Abdul Wahab Hasafi, iaitu anak Syeikh Hasnain al-Hasafi. Semoga Allah merahmati Syeikh Abdul Wahab dan memberi kejayaan kepada segala usahanya. Saya tidak sempat menemui Syeikh Hasnain Al-Hasafi kerana dia telah meninggal dunia pada hari Khamis, 17 Jamadil Akhir, 1328 Hijrah. Saya berumur 4 tahun ketika itu. Walaupun dia kerap melawat negeri saya, tetapi saya tidak berpeluang menemuinya.

Melalui kitab tersebut, saya mendapat tahu bahawa Syeikh Hasnain adalah seorang ulamak Universiti al-Azhar yang alim. Beliau pakar dalam Ilmu Fiqh Mazhab Syafi’e dan Ulumud Din. Dia juga seorang ulamak yang luas pembacaannya. Beliau bersolat tepat pada waktunya dan banyak masanya habis dalam berzikir kepada Allah. Dia adalah seorang yang wara’ dan bertakwa. Dia juga menunaikan umrah dan Haji banyak kali. Para sahabatnya tidak dapat mencari orang lain yang lebih bertakwa yang mematuhi ajaran Allah, menunaikan segala perkara perkara yang wajib serta sentiasa memelihara perkara-perkara sunat.

Syeikh Hasnain Al-Hasafi tidak lalai dari mematuhi dan melaksanakan perkara-perkara tersebut sehinggalah ke akhir hayatnya. Beliau berumur 60 tahun tetapi umurnya yang tua itu tidak menyekat dia dari menjalankan dakwah Islamiah. Dia menentang amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam dan menggalakkan amalan-amalan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Beliau selalu menentang bida’ah-bida’ah yang menyusup masuk ke dalam amalan-amalan Tariqat Sufi. Dia menyeru manusia kepada perbuatan maaruf dan melarang manusia dari melakukan perbuatan yang haram. Beliau membawa perubahan yang hebat kepada masyarakatnya dengan membanteras banyak amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam. Pemikiran dan amalannya mengagumkan saya. Dalam usaha menegakkan yang maaruf dan mencegah yang mungkar, beliau tidak takut kepada sesiapa pun. Ada banyak peristiwa yang menggambarkan keberaniannya.

Pernah Syeikh Hasnain pergi menemui Perdana Menteri Mesir, Riyadh Basya. Pada waktu yang sama seorang ulama lain telah datang menemui Riyadh Basya. Ulama tersebut telah tunduk memberi hormat kepada Riyadh Basya. Syeikh Hanain naik radang dan terus menampar ulamak tadi sambil berkata, ‘Berdiri tegaklah engkau! Tidak dibenarkan ruku’ dalam Islam melainkan di hadapan Allah S.W.T. Janganlah engkau mencemar Islam dan ilmu yang ada padamu, nanti kelak Allah akan mencemarmu.’ Perdana Menteri Riyadh Basya dan ulamak tadi pun terpegun. Tidak seorang pun yang berani mengambil tindakan terhadap Syeikh Hasnain.

Apabila Syeikh Hasnain duduk, seorang pembesar pun tiba. Beliau adalah sahabat Riyadh Basya. Salah satu jarinya tersarung sebentuk cincin emas dan di samping itu dia juga membawa sebatang tongkat yang berkepala emas. Syeikh Hasnain pun menasihatinya, ‘Saudara ku! Kaum wanita diharuskan memakai perhiasan emas dan kaum lelaki diharamkan memakai emas. Lebih baik kau serahkan barang-barang emas yang ada padamu itu kepada kaum wanita di dalam keluargamu.

Jauhkan dirimu dari bertindak bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Sebelum pembesar tadi membangkang, Riyadh Basya masuk campur dan memperkenalkan mereka berdua. Namun begitu, Syeikh Hasnain masih bertegas supaya cincin emas dan emas di hujung tongkat ditanggalkan agar amalan yang bertentangan dengan Islam dapat dihentikan.

Satu hari Raja Mesir, iaitu Taufiq Pasya, telah menghadiri satu perhimpunan khas para ulamak. Syeikh Hasnain juga turut hadir di majlis itu. Apabila Syeikh Hasnain bertemu Taufiq Pasya, dia pun mengucap ‘Assalaamu’alaikum’ dengan kuatnya. Taufiq Pasya hanya membalas salam itu dengan mengangkat tangan saja. Tanpa rasa gentar, Syeikh Hasnain pun dengan lantang berkata, ‘Jawablah salam dengan cara yang sama atau dengan cara yang lebih baik lagi. Menurut Islam, tidak harus menjawab salam dengan tangan. Jawapan salam perlulah diberi dengan sepenuhnya iaitu ‘Wa a’laikumus-Salaam wa rahmatullahi wa barakatuh’. Taufiq Pasya berterima kasih pada Syeikh Hasnain kerana pendiriannya dan pegangannya dalam hal agama.

Satu hari Syeikh Hasnain pergi berjumpa salah seorang muridnya di Jabatan Ukur. Beliau lihat ada patung kecil di atas meja dalam pejabat muridnya itu. Syeikh Hasnain bertanya, ‘Apakah benda ini?’ Muridnya menjawab, ‘Patung ini perlu untuk kerja-kerja kami’. Syeikh itu menjawab, ‘Benda ini dilarang (diharamkan) Allah.’ Beliau pun mematahkan leher patung tersebut dengan tangannya sendiri. Di waktu itu, seorang Inspektor bangsa Inggeris masuk ke dalam pejabat itu. Dia bertanyakan Syeikh Hasnain mengenai perkara patung tadi. Dengan sopan santun, Syeikh itu menerangkan bahawa Islam datang untuk menegakkan Tauhid (Keesaan Allah) di atas muka bumi dan juga untuk menghapuskan berbagai bentuk penyembahan berhala. Islam telah mengharamkan patung agar ia tidak menjadi sumber penyembahan. Penerangan dasar-dasar Islam yang diberi oleh Syeikh Hasnain begitu elok sehingga dapat menyakinkan Inspektor tadi. Dia sangat tertarik dengan hujah-hujah Syeikh Hasnain sebab selama ini dia sangka penyembahan berhala wujud di dalam Islam. Dia menerima kebenaran Islam dan memuji Syeikh Hasnain.

Satu hari Syeikh Hasnain dan murid muridnya menziarahi Masjid Saidina Hussain (r.a.). Dia berdiri di hadapan kubur dan mengucapkan kalimah berikut:

Maksudnya: “Sejahtera ke atas mu ahli kubur yang Mu’min.”

Sementara itu seorang dari muridnya memohon, ‘Tuan! Beritahu Saidina Hussain agar dia memberkati aku.’ Syeikh Hasnain Al-Hasafi memandangnya dengan penuh marah dan berkata, “Semoga Allah memberkati kita dan dia (yakni Saidina Hussain). Kemudian dia, meminta semua murid-muridnya berhimpun di situ kerana dia hendak memberi syarahan. Dalam perhimpunan tersebut beliau menghurai secara terperinci adab dan peraturan menziarahi kubur. Beliau juga menjelaskan perbezaan antara bidaah dan syara’ dalam persoalan menziarahi kubur.

Bapa saya pernah menceritakan bahawa dia, Syeikh Hasnain dan para anggota Tariqat Hasafiah yang lain telah berkumpul di rumah Hasan bin Abu Syed Hasnain. Seorang pelayan wanita yang masih muda masuk ke dalam majlis untuk menghidangkan kopi. Kepala dan tangannya terdedah. Syeikh Hasnain memandang wanita tadi dengan marahnya dan dia menyuruh wanita itu keluar. Syeikh Hasnain juga enggan minum kopi yang dihidangkan. Beliau telah berjumpa dengan tuan rumah itu dan memberinya satu pengajaran mengenai kewajipan terhadap gadis-gadis walaupun mereka merupakan pelayan, tidak seharusnya dipamerkan kepada lelaki ajnabi.

Inilah di antara nilai-nilai akhlak Syeikh Hasnain Al-Hasafi yang banyak mempengaruhi saya. Para anggota Tariqat Hasafiah selalu memuji ajaran Syeikh Hasnain, tetapi saya lebih tertarik dengan ajaran-ajaran yang diamalkannya. Saya yakin Allah telah memberinya kuasa istimewa untuk menyebarkan Islam. Beliau telah berusaha mencegah kemungkaran dan menegakkan kebenaran dengan tabahnya. Saya mula mengenal Syeikh Hasnain Al-Hasafi ketika saya berumur 12 tahun. Pengenalan saya dengan Syeikh itu kian teguh lantaran satu peristiwa aneh. Saya telah membaca buku beliau berulang kali. Satu hari saya telah bermimpi. Dalam mimpi itu, saya sedang berada di sebuah tanah perkuburan. Saya lihat salah satu kubur bergegar dan bergerak. Gegaran berterusan untuk tempoh waktu yang lama. Akhirnya kubur tadi pecah. Api memancut keluar darinya dan menjulang ke langit. Api itu bertukar membentuk satu lembaga manusia lelaki. Lembaga itu adalah satu lembaga panjang yang menggerunkan. Orang ramai berkumpul di sekelilingnya. Gergasi itu berteriak sambil berkata kepada orang ramai yang berkumpul di sekelilingnya, ‘Wahai manusia! Perkara perkara yang diharamkan Allah kepada kamu kini telah dihalalkan. Sekarang kamu buatlah apa yang kamu suka.’ Saya pun muncul dari khalayak ramai dan berkata, ‘Kau pendusta.’ Orang ramai pun berpaling melihat saya dan saya memberitahu mereka, ‘Wahai manusia yang dikasihi! Dia adalah syaitan yang dilaknat. Dia telah datang untuk menyesat dan menghasutkan kamu. Jangan dengar kata katanya! Jika tidak, kamu akan sesat.’ Gergasi tadi naik marah dan berkata, ‘Sekarang kita akan berlumba lari di hadapan orang ramai. Jika kau menang, kau dianggap benar. Jika aku menang, akulah yang benar.’ Saya menerima cabarannya itu. Saya pun berlari sepantas yang saya mampu. Malangnya kaki saya tidak dapat bersaing dengan kaki gergasi yang besar itu. Belum sempat gergasi tersebut menangkap saya, Syeikh Hasnain Al-Hasafi muncul dan memeluk saya. Beliau memegang saya dengan tangan kirinya sambil tangan kanannya diangkat dan dihalakan kepada gergasi yang sedang pantas bergerak itu. Beliau berteriak dengan kuat, ‘Nyahlah engkau wahai syAltan yang terkutuk!’ Gergasi tadi cabut lari dan menyembunyikan dirinya. Syeikh Hasnain pun turut lesap.

Saya pergi bertemu orang ramai tadi dan berkata, ‘Awak semua telah saksikan sendiri usaha syaitan hendak menyesatkan awak dari jalan kebenaran yang ditunjukkan Allah.’ Selepas itu saya pun terkejut jaga. Semenjak hari itu, saya pun begitu kempunan hendak bertemu Syed Abdul Wahab Al-Hasafi, iaitu putera Syeikh Hasnain Al-Hasafi kerana hendak belajar dasar dasar Akhlak Islam darinya tetapi dia tidak muncul.

Berhubung dengan peristiwa di perkuburan itu, saya teringat kepada saudara seagama saya, iaitu Syeikh Muhammad Abu Syousya, seorang saudagar di Mahmoodiyah. Saya terhutang budi kepadanya kerana dia banyak memberi bimbingan rohani kepada saya. Dia mengumpul lapan hingga sepuluh orang budak lelaki termasuk saya dan membawa kami ke tanah perkuburan. Kami menziarahi kubur sambil berzikrullah di masjid Syeikh Najeeli. Syeikh Muhammad Abu Syousya menceritakan kisah kisah para wali dan orang-orang soleh kepada kami dengan cara yang begitu menarik sehingga air mata kami mengalir. Kemudian dia menunjuk kepada kami kubur-kubur yang terbuka dan mengingatkan kami bahawa satu hari nanti kami juga akan berada di tempat yang gelap dan mengerikan itu (yakni kubur). Syeikh Muhammad Abu Syousya menangis teresak-esak dan kami juga turut menangis. Kami semua pun bertaubat dan memohon keampunan Allah atas segala kesalahan yang kami lakukan. Kadangkala dia mengikat benang di pergelangan tangan kami Sebagai lambang peringatan taubat yang telah kami lakukan. Beliau menerangkan bahawa jika fikiran kami diselubungi kejahatan atau syaitan cuba menghasut kami, maka hendaklah kami menyentuh benang tersebut sambil mengingati janji yang telah kami buat untuk mematuhi Allah serta menjauhi perbuatan mungkar. Kami mendapat banyak faedah dari nasihat serta tunjuk ajar beliau yang baik dan berguna itu. Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas beliau.

Hati saya sentiasa teringat Syeikh Hasan sehinggalah saya memasuki Maktab Perguruan Damanhur. Makam Syeikh Hasan berada di Damanhur. Masjid beliau yang belum siap itu juga berada di Damanhur. Ketika itu hanya asas masjid saja yang siap. Masjid itu dapat disiapkan kemudiannya. Saya menziarahi makam Syeikh Hasan setiap hari. Saya bergaul rapat dengan para anggota Tariqat Hasafiyah. Setiap malam saya menghadiri syarahan-syarahan yang diberi di Masjid At-Taubah. Saya bertanya berkenaan ketua Tariqat Hasafiyah di situ dan mendapat tahu namanya ialah Syeikh Basiyooni Alatt. Beliau adalah seorang peniaga yang bertaqwa dan wara’. Saya memohon kepada beliau supaya memperkenaikan saya dengan Syeikh Syed Abdul Wahab Al-Hasafi. Syeikh Basiyooni pun berjanji hendak memperkenalkan saya dengan Syeikh tersebut apabila dia melawat Damanhur. Sebelum ini saya belum pernah menyatakan bai’ah (sumpah setia) dengan sesiapa pun. Menurut para anggota Tariqat Hasafiyah, saya masih di peringkat ‘Muhib’ (orang yang kasih kepada orang orang wara’ dan soleh) dan bukannya murid (pengikut).

Satu hari Syed Abdul Wahab melawat Damanhur. Para anggota Tariqat Hasafiyah menyampaikan berita kedatangannya itu kepada saya. Alangkah gembiranya saya. Saya pergi bertemu Syeikh Basiyooni dan meminta beliau membawa saya kepada Syeikh Abdul Wahab Al-Hasafi pada hari Ahad, 4 haribulan Ramadhan, 1341 Hijrah, lepas solat Asar. Saya pun menyatakan bai’ah saya dengan meletakkan tangan saya di atas tangan Syeikh Syed Muhammad Abdul Wahab. Dengan demikian, rasmilah saya sebagai salah seorang anggota Tariqat Hasafiyah. Syed Muhammad Abdul Wahab membenarkan saya menggunakan segala kemudahan kemudahan yang dikhaskan kepada para anggota Tariqat Hasafiyah.

Semoga Allah merahmati Syeikh Syed Muhammad Abdul Wahab. Saya beruntung banyak dapat bergaul dengannya. Setiap usaha beliau adalah kebaikan semata. Beliau adalah seorang yang wara’ dan berakhlak mulia. Beliau tidak mengejar pangkat dan kekayaan orang lain. Setiap masalah dihadapinya dengan penuh bijaksana. Hayatnya habis dalam mengajar orang dan beribadat kepada Allah. Beliau memimpin para anggota Tariqat Hasafiyah dengan penuh kebaikan dan kejayaan.

Di antara ajarannya yang menarik ialah Syeikh Syed Abdul Wahab tidak membenarkan para anggota Tariqatnya yang terpelajar berbincang masalah-masalah khilaf dan meragukan dan menyebut-nyebut percakapan orang-orang Mulhid dan Zindiq di hadapan para anggota Tariqat biasa. Katanya kepada mereka, ‘Berbincanglah perkara perkara itu di dalam perjumpaan perjumpaan khas awak. Ketika berdakwah kepada orang awam, hendaklah menyentuh perkara-perkara yang mudah dan berkesan yang dapat mengarahkan mereka kepada taat kepada Allah. Jika perkara-perkara yang rumit tadi dibincangkan, mungkin mereka tidak memahami kamu dan hal ini boleh membuat mereka ragu terhadap agama mereka sendiri. Lantaran itu awaklah yang menjadi punca salah faham mereka terhadap Islam.’ Saya masih ingat kata katanya kepada saya dan Ahmad Sakri. Saya lihat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Allah akan membuka hati orang ramai kepada kamu. Ramai dari mereka yang akan menyertai gerakan kamu. Fahamilah bahawa Allah akan menyoal kamu mengenai orang-orang yang mendatangi kamu sama ada kamu telah menggunakan masa mereka dengan baik atau tidak. Jika masa mereka digunakan dengan baik, maka Allah akan memberi ganjaran baik kepada mereka dan kamu. Andainya masa mereka tidak digunakan dengan baik, maka kamu akan dihukum. Dengan cara inilah Syeikh tersebut mendorong kami menjalankan kewajipan kami kepada Allah. Kami dapati peribadi beliau dipenuhi kebaikan.

Pada waktu itu, kami berpakat hendak menubuhkan satu pertubuhan di Mahmoodiyah. Pertubuhan itu digelar ‘Persatuan Kebajikan Hasafiah’. Seorang peniaga/saudagar Mahmoodiyah terkenal yang bernama Ahmad Afandi as-Sakri telah dilantik Sebagai yang Di Pertua dan saya pula dilantik Sebagai Setiausaha. Kegiatan persatuan tertumpu kepada dua bidang yang penting. Bidang pertama menyebarkan dakwah untuk pembinaan akhlak orang ramai dan membanteras kemungkaran di kalangan masyarakat. Bidang kedua melibatkan usaha menentang kegiatan risalah Kristian. Para anggota ini yang paling gigih terdiri dari tiga orang wanita. Mereka berusaha menyebar agama Kristian dengan bertopengkan kursus jahitan serta tekat menekat dan juga dengan memberi perlindungan kepada anak-anak yatim dan rawatan perubatan.

Persatuan Kebajikan Hasafiyah ‘menghadapi gerakan Kristian’ ini habis­habisan. Usaha ini mendapat penghargaan dari orang ramai. Kemudiannya, usaha ini diteruskan oleh Ikhwanul Muslimin.

Hubungan kami dengan Syed Abdul Wahab Al-Hasafi tetap baik sehinggalah tertubuh dan berkembangnya gerakan Ikhwanul Muslimin di seluruh negara Mesir. Selepas itu, pendapat beliau dan pendapat kami mengenai Ikhwanul Muslimin berubah. Namun begitu, kami masih menyimpan rasa terhutang budi dan rasa hormat kepadanya. Beliau adalah seorang ahli ibadat yang baik dan wara’.

Pendapat Saya Mengenai Tasawwuf.
Saya rasa sangat berfaedah jika saya mencatit di dalam diari (buku harian) ini beberapa aspek mengenai peranan tasawwuf dan tariqat di dalam sejarah dakwah Islam. Bagaimana tasawwuf boleh wujud? Apakah kesan dan hasilnya? Sejauh manakah ia memberi faedah kepada masyarakat Islam? Saya tidak bercadang hendak membincangkan perkara ini secara ilmiah dan mendalam. Saya hanya ingin mencatit apa yang saya ingat berkenaan persoalan itu. Jika pendapat saya terbukti benar, ianya diperolehi dengan rahmat Allah jua. Puji-pujian bagi Allah andainya saya benar. Jika pendapat saya terbukti salah, maka kebaikanlah yang saya cari. Bagi Allah segala sesuatu.

Pada awal abad pertama, sempadan negara Islam telah kian meluas dan juga mencapai banyak kemenangan. Manusia memeluk Islam dari berbagai tempat. Orang

Islam menjadi pemilik kekayaan dan harta yang banyak. Orang Islam pun mula cenderung kepada dunia dan segala ciri-cirinya yang menarik itu. Apabila masyarakat Islam telah meninggalkan kesederhanaan hidup dan kerajinan yang pernah wujud di zaman Rasulullah s.a.w.; apabila mereka mula terlibat di dalam keburukan dan kemewahan duniawi, maka muncullah tokoh-tokoh Islam yang wara’ dan berperibadi mulia untuk membawa peringatan dan pembaharuan kepada mereka. Tokoh-tokoh ini berusaha membersihkan masyarakat dari cintakan kebendaan. Mereka memperingati masyarakat supaya bersedia untuk kehidupan akhirat. Di antara tokoh-tokoh yang terkemuka ini ialah Imam Hasan al-Basri. Banyak lagi para pendakwah lain yang menjejaki beliau. Orang-orang ini menyeru manusia agar mencintai dan mengingati Allah, takutkan Hari Perhitungan dan bersikap berpuas hati dengan apa yang dapat. Mereka menekankan betapa pentingnya tarbiyah diri, kepatuhan kepada Allah dan bersifat taqwa. Cara mereka bertindak dan berfikir berkembang seperti caban-cabang ilmu Islam serta corak pemikiran Islam yang lain. Ianya melalui proses yang sama. Jadilah ia ilmu yang menekankan pembinaan akhlak dan corak hidup tertentu. Tahap­tahap ilmu tassawuf ini ialah zikrullah, ibadat dan ilmu ketuhanan (makrifat). Matlamat mereka ialah mencari keredhaan Allah dan mendapat syurga. Saya menggelar ilmu tasawwuf Sebagai ilmu pendidikan dan akhlak. Sebenarnya ilmu tasawwuf adalah intisari pengajian Islam. Para ahli sufi mencapai tahap yang tinggi rnelalui ilmu (yakni ilmu tasawwuf) ini dalam mendekati Allah. Orang lain tidak boleh mencapai sebagaimana yang dicapai oleh golongan sufi. Mereka memimpin manusia agar menta’ati dasar dasar Islam dan menjalankan kewajipan mereka kepada Allah. Dari masa ke semasa, berlaku keterlaluan dalam ilmu tasawwuf.

Hal ini berlaku di dalam amalan berdiam diri, puasa, menahan diri dari tidur dan beruzlah (yakni berseorangan kerana hendak (beribadat). Islam telah meletakkan peraturan-peraturan yang jelas mengenai perkara perkara (amalan amalan) ini. Tujuan berdiam diri (tidak bercakap) ialah mengelakkan diri dari perkara sia-sia. Tujuan berlapar ialah berpuasa sunat. Tujuan mengurangkan tidur ialah untuk memudahkan beribadat di waktu malam. Tujuan beruzlah ialah menjauhkan diri dari perkara perkara yang merosakkan diri sendiri. Jika amalan-amalan ini dilaksanakan sepenuhnya menurut dasar-dasar Islam, maka hasilnya adalah berfaedah sekali.

Walau bagaimanapun, ilmu permikiran tasawwuf ini tidak terhad setakat yang tersebut tadi. Andainya ilmu sufi terhad setakat itu, ianyakan akan berguna pada manusia dan juga dirinya sendiri. Namun begitu, ilmu tasawwuf telah melewati sempadan itu dan telah bercampur aduk dengan ciri-ciri khayalan (intuition), falsafah, logik dan warisan daripada umat-umat terdahulu. Dengan cara ini ilmu tassawuf tadi tidak dapat mengekalkan ketulenannya. Ia pun menjadi satu campuran berbagai bida’ah yang asing dari Islam. Ia membuka peluang yang tidak terhad kepada kaum kafir, kaum murtad dan para ahli bidaah untuk menyelewengkan Islam atas nama atau laungan Islam tulen. Ilmu tasawwuf begini membolehkan kegiatan-kegiatan menentang Islam dijalankan dengan bertopengkan kerohanian. Oleh itu, apa yang diperkatakan mengenai tasawwuf ini perlu dikaji oleh para pengkaji dan orang-orang yang cintakan kemurnian agama agar dapat dipisahkan kepalsuan dari kebenaran.

Kemudian datang pula zaman pemeringkatan ilmu tasawwuf. Wujudlah berbagai kempulan sufi. Setiap ahli sufi mempunyai cara tarbiyah tersendiri dan mencipta kumpulan (tarikat sufi) sufi baru. Selepas itu ciri politik mula masuk ke dalam gelanggang tasawwuf. Ahli-ahli politik menggunakan ahli-ahli tasawwuf untuk tujuan politik mereka. Kumpulan-kumpulan sufi ini disusun menurut susunan para pejuang dan kadang kala disusun Sebagai persatuan-persatuan yang tertutup (atau persatuan-persatuan sulit). Dengan cara ini amalan sufi tulin telah melalui berbagai peringkat perubahan. Akhirnya, ia begitu berbeza sekali dari rupa asalnya. Amalan sufi sekarang telah hilang ketuhanannya. Bentuknya kini telah bercampur baur sehingga hari ini. Ini semua kesan dari sejarahnya yang panjang. Contoh yang dapat kita lihat ialah di Mesir sendiri dari segi ketua ketua tariqat sufi dan murid-muridnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu tasawwuf dan tariqat telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam di pelusok dunia yang jauh. Penyebaran Islam tidak mungkin tercapai tanpa semangat berdakwah ahli-ahli sufi ini. Islam tersebar luas lantaran usaha usaha mereka ini. Bahkan Islam masih tersebar di pelbagai bandar Afrika dan di kawasan tengah Afrika melalui ahli-ahli sufi. Begitu juga halnya dikebanyakan kawasan Asia. Memang benar amalan sufi mempunyai pengaruh yang besar terhadap hati dan batin seseorang, namun begitu, percampurannya dengan fahaman-fahaman lain telah menjadikannya mendatangkan kerosakan lebih banyak dari kebaikan bahkan kadang-kadang boleh menghancurkan terus.

Adalah menjadi tanggungjawab Muslimin untuk membuat satu rancangan bagi memulihkan kumpulan-kumpulan sufi yang telah menyeleweng. Mereka boleh dipulihkan dengan senang kerana mereka mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Bahkan merekalah yang paling mudah menerima pemulihan dan pembetulan jika pendekatan yang sesuai digunakan.

Para ulamak dan pendakwah perlu meluangkan masa untuk menumpukan perhatian kepada usaha memulihkan kumpulan-kumpulan sufi ini. Para ulamak ini sepatutnya meneliti segala kitab-kitab berkenaan ilmu tasawwuf yang ada. Mereka sepatutnya mengkaji segala masalah dan keadaan yang menyentuh ilmu ini kemudian menapis pencemaran dan kepalsuan yang ada di dalamnya. Kemudian mereka perlu memberi kepimpinan yang penuh ketaqwaan kepada golongan sufi tersebut. Saya teringat kepada Syed Taufiq Al-Bahri (r.a.) yang begitu bersusah payah mengkaji masalah-masalah dan hal ehwal golongan sufi ini. Kemudian beliau menulis buku yang menyentuh perkara tersebut. Tetapi rancangan beliau tidak terlaksana kerana sesiapa pun tidak memberi perhatian mengenai perkara tersebut selepasnya.

Syeikh Abdullah Afifi juga sangat berminat dalam perkara ini. Tetapi minatnya hanyalah dari segi teori dan bukan amali. Andainya ketiga kekuatan ini iaitu kekuatan ilmiah Al-Azhar, kekuatan rohani para sufi dan kekuatan amali gerakan Islam dapat bertindak secara berpadu, maka satu ummat Islam yang sempurna akan wujud di seluruh dunia. Umat begini menjadi pemandu dan bukan pengikut. Umat begini akan menjadi contoh kepada kaum-kaum lain. Umat begini boleh menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliah. Tetapi semua perkara ditentukan oleh Allah SWT.

Hari-hari Di Damanhur
Kehidupan saya di Damanhur adalah dalam kehidupan beribadat dan amalan sufi (tasawwuf). Kehidupan manusia terbahagi kepada beberapa peringkat (tahap). Salah satu peringkat itu ialah zaman selepas pemberontak Mesir iaitu dari tahun 1920 sehingga 1923 M. Saya berumur tidak lebih dari 14 tahun ketika itu. Ia merupakan tahap kehidupan di mana saya tenggelam dalam ibadat dan amalan sufi. Namun begitu hal ini tidak menyekat saya dari terlihat dalam kegiatan yang menyentuh kepentingan negara.

Apabila saya tiba di Damanhur, saya terpengaruh dengan Tariqat Sufi Hasafiah. Kubur pengasasnya, iaitu Syed Hasnain Al-Hasafi berada di Damanhur. Ketua kami di situ adalah Haji Hilmi Sulaiman, seorang yang bertaqwa dan wara’. Kerana itulah di antara saya dan beliau ada satu hubungan rohani yang khas. Sahabat Haji Hilmi ialah Syeikh Hasan Khiz Bik, seorang guru di Damanhur. Syeikh Hasan mengadakan majlis-majlis ilmu agama di rumahnya. Beliau memberi kuliah mengenai kitab Ihya’ Imam Ghazali di masjid Al-Jaisy sebelum solat subuh, dalam bulan Ramadhan. Haji Hilmi selalu membawa saya ke majlis-majlis tersebut. Saya mendapati diri saya seorang yang kerdil dibandingkan dengan mereka yang hadir di majlis itu kerana mereka terdiri daripada alim ulamak.

Usia saya yang sangat muda tidak menghalang saya dari selalu mendampingi para ulamak terkemuka termasuklah guru guru Maktab saya dan juga beberapa ulamak lain. Para ulamak terkemuka ini selalu mendorong para pemuda seperti saya ini supaya jalan kebenaran Islam dan supaya sentiasa bertawakkal kepada Allah. Inilah di antara sebab-sebab yang menimbulkan minat dan mendorong saya kepada amalan amalan sufi.

Saya tidak lupa perbincangan-perbincangan panjang lebar antara kami dengan guru kami, Syeikh Abdul Fattah Abu Alam. Beliau kami ilmu Fiqh, tafsir Al-Quran dan Hadith. Perbincangan berlaku apabila ada bangkangan terhadap amalan-amalan sufi. Syeikh Abdul Fattah akan senyum apabila sesuatu perbincangan sudah selesai. Beliau selalu mengesyorkan supaya mendalami ilmu Fiqh, sejarah dan ilmu Tasawwuf agar saya sendiri dapat memahami kebenaran. Kebenaran tidak bolch didapati tanpa perbincangan dan pengajian. Walaupun pendapat saya dan Syeikh Abdul Fatah kerap kali berbeza, namun begitu beliau tetap baik kepada saya dan membimbing saya dengan ikhlas. Perbincangan perbincangan kami terhad kepada sudut mencari kebenaran dan mengemukakan dalil-dalil yang logik (munasabah).

Bermalam di Masjid Al-Jaish (atau Surau Khathathibah).
Peristiwa bermalam di Masjid Al-Jaish (di Damanhur) atau Masjid Khathathibah (di kawasan Fulaqah) tetap abadi dalam kenangan. Saya menghadiri ceramah-ceramah yang disampaikan sebelum solat subuh, oleh Syeikh Hasan Khazdak di dalam bulan Ramadhan di masjid tersebut. Di masjid itu, kami menghabiskan banyak waktu malam kami dalam beribadah dan berzikir kepada Allah bersama-sama para anggota Tariqat Hasafiyah. Lepas solat Isya, kami makan bersama Syeikh Muhammad Amir atau Hussain Fauzee Afandi yang sekarang ini berada di Kaherah. Selepas itu, kami pun beribadat dan berzikir dalam separuh waktu malam dan kami tidur untuk tempoh waktu yang sedikit sahaja. Apabila waktu sudah sampai tengah malam, kami pun bangun untuk menunaikan solat Tahajjud. Hal ini berterusan sehingga waktu solat subuh tiba. Selepas amalan-amalan tertentu, dan juga berzikrullah, kami pun pergi Maktab. Para penuntut menumpukan masa mereka untuk menuntut ilmu dan sibuk dengan urusan masing-masing.

Kerap kali kami bangun sebelum waktu subuh, bahkan sebelum pintu masjid Al-Jaish dibuka. Oleh itu, kami pun pergi ke surau Khathathibah yang terletak di tebing tali Air Khathathibah. Di sini kami menghabiskan masa dalam ibadat. Kemudian kami akan kembali ke Masjid Al-Jaish untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Berziarah Berhubungan.
Apabila kami berada di Damanhur pada setiap kali hari Jumaat, kami akan menziarahi kubur-kubur para wali Allah. Kadang-kadang kami melawat Dasuk. Selepas solat subuh, kami berjalan kaki ke Dasuk dan sampai di sana pada pukul 8.00 pagi. Jaraknya ialah dua puluh kilometer dan memakan masa tiga jam untuk sampai. Kami menghadiahkan Fatihah di kubur wali di situ. Selepas itu, kami menunaikan solat Jumaat. Kemudian kami makan dan berehat sebentar. Selepas solat Asar, kami pun memulakan perjalanan pulang dan sampai ke Damanhur ketika hampir waktu Maghrib. Kadangkala kami pergi ke Azbatul Nawam untuk menziarahi makam Syeikh Syed Saniar. Beliau adalah seorang anggota Tariqat Hasafiyah yang terkemuka. Dia terkenal sebagai seorang yang bertaqwa dan wara’. Kami berada di sana seharian dan pulang pada waktu malam.

Hari Untuk Berdiam Diri (Mengasingkan Diri)
Kami menetapkan beberapa hari tertentu untuk kami bersenyap dan menjauhkan diri dari manusia. Dalam tempoh tersebut, kami tidak akan bercakap antara satu sama lain kecuali untuk berzikir atau membaca ayat-ayat suci al-Quran saja. Ketika amalan ini berjalan, para penuntut lain mengambil peluang mengusik kami. Kerap kali mereka pergi bertemu Pengetua atau beberapa orang guru lain untuk melaporkan bahawa ada penuntut telah menjadi bisu. Guru yang menerima laporan akan datang untuk menyiasat keadaan kami Sebagai jawapan, kami pun membaca beberapa ayat suci al-Quran. Beliau pun berpuas hati dan beredar dari situ. Guru kami, Syeikh Farhat Salim menghormati tindakan kami bersenyap diri dan beliau memarahi penuntut-penuntut yang cuba mengusik kami. Dia juga mengarah guru-guru lain supaya jangan mengganggu kami dengan soalan-soalan ketika kami sedang bersenyap diri. Para guru sedar bahawa kami melakukannya bukan untuk mengelakkan diri dari pengajian atau peperiksaan kerana kami selalu berjaya mengatasi para penuntut lain ketika menuntut dan dalam menghadapi peperiksaan. Kami menjalankan amalan itu untuk beberapa waktu tanpa menyiasat pendapat Syara’ mengenainya. Kami melaksanakan amalan tersebut untuk tempoh tertentu kerana hendak mengelakkan diri perkara sia-sia dan untuk membina kecekalan diri.

Kadangkala perkara ini meruncing dan menimbulkan kebencian di kalangan manusia sehingga mendorong kami untuk bersendirian. Saya sendiri menerima banyak pucuk surat dari rakan-rakan semaktab tetapi saya tidak berani membaca surat surat itu. Saya bimbang nanti surat-surat itu mengandungi sesuatu yang boleh melukakan hati saya. Seorang ahli sufi sepatutnya bebas dari kebimbangan sedemikian rupa. Dia berkewajipan memutuskan hubungan dari semua benda kecuali Allah. Dia mesti berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan dasar ini.

Bentuk-bentuk Syi’ar di Maktab.
Saya selalu bersemangat dalam usaha menyebarkan Islam. Ketika waktu solat Zohor dan Asar, saya akan melaungkan azan di surau Maktab. Saya terpaksa meminta kebenaran guru apabila hendak melaungkan azan kerana waktu itu bertembung dengan jadual waktu pelajaran. Sebenarnya saya sangat hairan dengan perkara ini. Sekolah-sekolah seperti Maktab kami ini adalah sekolah Islam, memiliki nama-nama berciri Islam tetapi tidak ada peruntukan waktu untuk solat di dalam jadual waktu mereka. Sebahagian guru memberi kebenaran untuk bersolat dengan senang tetapi sebahagian lagi begitu tegas sekali dengan jadual waktu yang telah ditetapkan. Kepada guru-guru yang bertegas (tidak begitu setuju membenarkan para penuntut pergi bersolat ketika waktu solat telah tiba) dengan jadual waktu, saya ingatkan mereka bahawa tidak ada kepatuhan terhadap makhluk terhadap perkara yang melibatkan penderhakaan terhadap Allah. Saya kerap kali terlibat dalam perbincangan hangat dengan mereka mengenai perkara tersebut. Para guru tadi akhirnya membenarkan saya bersolat agar saya cepat beredar dari situ.

Ketika waktu Zohor, saya tidak pulang ke rumah. Saya duduk di surau atau di perkarangan maktab. Saya selalu mengajak para penuntut menunaikan solat. Selepas solat Zohor, kami duduk bersama guru kami, Muhammad Syarif untuk membaca Al­Quran. Apabila saya membaca, dia mendengar. Apabila dia membaca, saya pula mendengar. Kami meneruskan amalan ini sehingga waktu pengajian Maktab berjalan semula.

Masalah Pakaian Sekolah.
Saya masih ingat, satu hari saya pergi berjumpa pengetua kerana hendak memberi senarai nama-nama penuntut yang tidak hadir ke kuliah. Saya bertugas dalam kelas itu. Saya dapati Pengarah Pelajaran, iaitu Syed Raghib berada di pejabat Pengetua. Syed Raghib merenung pakaian saya. Ketika itu saya sedang memakai baju tup (baju labuh) dan kepala saya berserban. Kasut yang saya pakai ialah jenis sepatu yang dipakai oleh orang yang menunaikan fardhu Haji. Pengarah tersebut menyoal saya, ‘Mengapa awak memakai pakaian yang begini?’ Saya menjawab, ‘Kerana pakaian ini menepati sunnah.’ Dia bertanya lagi, ‘Adakah awak telah mengamalkan sunnah-sunnah yang lain dan hanya sunnah ini saja yang tetap dilakukan?’ Saya membalas, Tidak, sunnah-sunnah lain saya masih tidak amalkan kerana saya sangat cetek dalam perkara ini. Namun begitu, ini adalah usaha saya untuk mengikuti sunnah.’ Pengarah Pelajaran itu pun berkata, ‘Awak telah melanggar peraturan tata tertib Maktab dengan berpakaian begitu.’ Saya pun menyoal kembali, ‘Bagaimana tuan boleh menuduh saya melanggar peraturan tatatertib? Tatatertib Maktab menghendaki saya hadir ke kelas tepat pada waktunya. Dari segi ini, saya tidak pernah ponteng pun. Tatatertib mewajibkan para penuntut berakhlaq baik. Di segi ini pun semua guru berpuas hati dengan saya, Insya Allah. Sementara dalam kemajuan pelajaran dan kerajinan saya selalu mendapat nombor satu dalam kelas. Kalau begitu, bagaimanakah saya boleh dituduh melanggar peraturan tatatertib Maktab?’ Pengarah itu pun berkata, ‘Jika awak bertegas hendak memakai pakaian itu apabila awak menamatkan pengajian di Maktab ini, maka Jabatan Pelajaran tidak akan melantik awak sebagai guru atas alasan awak berpakaian tidak senonoh di hadapan para penuntut.’ Saya menjawab, ‘Walaubagaimanapun, masa itu belum tiba lagi. Apabila ia tiba, Jabatan Pelajaran bebas mengambil tindakannya dan saya juga bebas membuat keputusan saya. Rezeki saya tidak berada di tangan Pengarah Pelajaran atau pun di tangan Kementerian Pelajaran.’ Pengarah Pelajaran senyap tidak menjawab. Pengetua Maktab pun mencelah dan memperkenalkan saya kepada Pengarah tersebut. Kemudian dia menyuruh saya kembali ke kelas. Peristiwa itu pun berakhir dengan baik.

insyaAllah bersambung…

Advertisements
This entry was posted in Detik-Detik Hidupku, MUTIARA DA'WAH. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s