Detik-Detik Hidupku (Bahagian 6)

BAB 2 – KENANGAN-KENANGAN AS-SYAHID HASSAN AL-BANNA

Kenangan di Madrasatur Rasyad ad-Deeniyah
Pemilik dan mudir Madrasatur-Rasyad-ad-Deeniyah ialah Syeikh Muhammad Zahran. Beliau adalah seorang ulama yang wara, bertakwa dan cerdik. Sepanjang hayatnya, ia berusaha menyebarkan ilmu pelajaran dan pendidikan di merata-rata tempat. Sistem pengajarannya tidaklah sampai ke tahap (martabat) ulamak yang resmi. Kecerdikan dan kesungguhannya itu telah dapat mengatasi mereka yang lain di segi pengetahuan dan pengalaman.

Beliau menyusun kuliah kuliah pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di masjid masjid untuk kaum lelaki dan di rumah rumah untuk kaum wanita. Pada tahun 1915, beliau mengasaskan Madrasatur-Rasyad-ad-Deeniyah untuk faedah pendidikan para pemuda. Sekolah ini diasaskan menurut corak sekolah-sekolah yang wujud di kampong-kampung. Sekolah-sekolah ini ditadbir atas pembiayaan sumbangan derma dari rakyat. Namun begitu, sekolah Syeikh Muhammad Zahran mempunyai mutu pengajian yang setaraf dengan pusat-pusat pengajian bermutu yang lain. Madrasatur – Rasyad-ad-Deeniyah adalah pusat pengajian dan pendidikan (tarbiyyah).

Cara-cara mengajar dan menyusun pelajarannya sangat menarik. Pengajiannya dimasukkan pelajaran menghafal dan mentafsir hadith-hadith Rasulullah sebagai tambahan kepada pelajaran yang telah ada. Semua penuntut diwajibkan mempelajari satu hadith pada setiap hari Khamis. Hadith diterangkan secara meluas agar mereka dapat menanggap tujuan serta maksudnya. Para penuntut mempelajari hadith secara kumpulan dan dengan demikian mereka berupaya menghafal hadith itu. Mereka sentiasa mengulang kaji hadith yang dipelajari seminggu sebelum itu. Dengan cara ini, seorang penuntut boleh mempelajari jumlah hadith yang banyak sebelum tahun berakhir. Hadith-hadith yang saya pelajari ketika menuntut di Madrasatur-Rasyad-ad­Deeniyah masih segar dalam ingatan. Mata-mata pelajaran lain yang diajar ialah karang-mengarang, nahu, latihan amali, kajian kesusasteraan, latihan bacaan dan kajian sajak serta pepatah. Sekolah-sekolah jenis ini yang lain tidak mengajar mata­mata pelajaran tadi.

Cara Syeikh Muhammad Zahran mengajar dan mendidik adalah sangat berkesan dan begitu berhasil sekali. Walaupun beliau tidak pernah terlatih dalam ilmu psikologi atau menjalani latihan ilmu pendidikan, namun begitu beliau selalu berusaha menjalin hubungan yang selesa dengan para penuntutnya. Dia mengawasi para penuntutnya tanpa mereka merasa diawasi. Dia memberi galakan dan sokongan kepada para penuntut yang melakukan kebajikan. Dia memberi ganjaran kepada mereka yang berbuat baik. Dia juga menghukum mereka yang melakukan kesalahan.

Syeikh Muhammad Zahran juga adalah seorang ahli sajak. Beliau akan berdo’a untuk para penuntutnya yang baik atau pun dihadiahkannya sebuah sajak. Saya masih ingat satu sajak yang dihadiahkan kepada seorang penuntutnya. Penuntut tersebut telah menulis satu jawapan yang sangat disukainya. Syeikh itu pun menyuruh penuntut tadi menulis sajak berikut di akhir jawapannya yang berbunyi berikut: ‘Kau memberi jawapan yang baik.
Jawapan mu menunjukkan kesempurnaan. Semoga Allah meredhai dan memberi petunjuk kepada mu.’

Kepada seorang penuntut lain yang memberi jawapan yang tidak memuaskan hatinya, dia menulis sajak berikut: ‘Duhai genggaman Allah, Percepatkan cengkaman-Mu terhadap lelaki ini.’

Sajak itu kemudian menjadi buah mulut dan penuntut tersebut pun digelar ‘Gharatullah’ sejak hari itu. Kami selalu mengusik penuntut tadi dengan gelaran tersebut. Syeikh Muhammad Zahran adalah seorang yang buta, namun begitu, aqalnya bersinar dengan kebijaksanaan dan keilmuan. Dia selalu. menyuruh para penuntutnya mencatit pelajaran yang diajarkannya secara lisan itu. Walaupun matanya buta, kefahamannya adalah lebih baik dari orang yang tidak buta tetapi ‘tidak boleh melihat’ (yakni tidak faham). Sesungguhnya penglihatan itu tidak buta tetapi yang buta itu ialah hati yang terletak di dalam dada.

Kini saya sedar bahawa hubungan rohani mendatangkan kesan yang positif antara para penuntut dan guru. Saya sangat sayang pada guru saya walaupun dia membuat saya bekerja keras. Syeikh Muhammad Zahran membina semangat saya. Dia mengajar saya bersikap suka belajar dan mengkaji. Kerap kali dia membawa saya ke perpustakaannya. Perpustakaannya mengandungi himpunan buku-buku yang sangat berfaedah. Sayalah yang memilih buku-buku yang dia perlukan dan membaca bahagian bahagian yang berkaitan dengan masalah yang sedang dikaji. Kadang kala beberapa orang ulama datang dan kami semua pun mengadakan perbincangan yang berfaedah. Saya selalu mengikuti perbincangan-perbincangan itu dengan penuh minat. Hubungan mesra dan rapat antara guru dan murid yang begini meninggalkan kesan yang begitu indah. Para guru dan penaung yang menitik beratkan hubungan begini ketika mendidik murid-murid akan memberi banyak kebaikan. Saya menuntut di sekolah ini dari umur lapan sehingga umur dua belas tahun.

Beberapa tahun kemudian, Syeikh Muhammad Zahran meninggalkan Madrasah tersebut kerana terlibat dalam kerja lain. Pengurusan sekolah itu diserahkan kepada satu Lembaga Pengurus yang baru. Malangnya lembaga pengurus yang baru ini tidaklah sebaik yang lama. Saya pun berdamping dengan guru-guru baru. Saya masih tidak menghafal keseluruhan kitab Al-Quran sedangkan ibu bapa ingin saya berbuat demikian. Namun begitu saya telah menghafal surah Al-Baqarah sehinggalah surah Al-Isra iaitu lebih kurang separuh dari kitab Al-Quran.

Pernah saya nyatakan kepada ibu bapa saya bahawa saya tidak tahan lagi menuntut di sekolah tersebut dan ingin melanjutkan pengajian ke sekolah menengah. Waktu itu, sekolah menengah ditadbir menurut corak sekolah rendah. Perbezaannya ialah bahasa asing tidak diajar di sekolah rendah. Dimasukkan juga ilmu perundangan dan pertanian disamping meluaskan lagi pengajian agama dan bahasa kebangsaan.

Bapa saya menentang cadangan saya itu kerana dia ingin saya menjadi hafiz (penghafal al-Quran). Setelah saya berjanji akan menghafal Al-Quran di rumah barulah bapa saya memberi kebenaran. Minggu itu juga saya mendaftarkan diri ke sekolah menengah. Lepas kembali dari sekolah, saya belajar membaiki jam sehingga waktu Isya. Saya sangat gemar dengan kerja ini. Lepas solah Isya, saya mengulang kaji pelajaran sehingga waktu tidur. Selepas menunaikan solah subuh sehinggalah waktu hendak ke sekolah, saya menghafal Al-Quran.

Jam’iyyah Akhlaqul Abadiah (Pertubuhan Membina Akhlaq).
Salah seorang guru sekolah kami ialah Muhammad Afandi Abdul Khaliq. Dia mengajar kami Ilmu Hisab dan latihan jasmani. Beliau adalah seorang yang berilmu tinggi dan berakhlak baik. Ia menyuruh penuntut tahun tiga mengasaskan di kalangan mereka satu persatuan sekolah yang di namakan ‘Jam’iyyatul Akhlak al-Abadiah’. Beliau sendiri merangka undang-undang persatuan tersebut dan juga menjadi setiausahanya. Beliau mengarah penuntut penuntut melantik Jawatankuasa Kerja. Tujuan dan peraturan tersebut ialah seperti berikut:
‘Sesiapa yang menyakiti saudaranya, dia akan didenda satu Milyam. Sesiapa yang memburukkan bapanya sendiri akan didenda dua Milyam. Sesiapa yang kurang sopan terhadap ibunya sendiri akan didenda satu Qursh. Sesiapa yang bercakap bertentangan dengan agama didenda dua Qursh. Sesiapa yang bertengkar dengan sahabatnya sendiri didenda dua Qursh. Denda yang dikenakan kepada Yang Dipertua dan ahli-ahli jawatankuasa adalah dua kali ganda lebih dari ahli biasa. Penuntut yang melanggar peraturan persatuan akan dipulau oleh para anggota yang lain sehinggalah dia patuh semula. Jumlah denda yang dikumpulkan digunakan untuk kebajikan orang ramai. Setiap ahli persatuan dikehendaki menasihati sesama mereka supaya berpegang teguh pada agama, menunaikan solah pada waktunya, mematuhi Allah, mentaati ibu bapa dan menghormati orang orang tua.’

(Pengalamannya semasa di Madrasatur-Rasyad ad-Deeniyah dulu telah membuat Hasan al Banna terpilih sebagai ketua oleh para penuntut. Dia menjadi tumpuan para penuntut sehingga akhirnya dia terpilih sebagai Yang Dipertua Jam’iyyah Akhlak al-Abadiah).

Persatuan ini terus menjalankan kerja. Banyak penuntut dipanggil untuk menjelaskan sebab mereka tidak patuh kepada peraturan persatuan. Mereka didenda dan banyak wang yang terkumpul. Sebahagian dari wang tersebut dibelanjakan untuk jamuan perpisahan seorang sahabat bernama Labib Iskandar. Beliau adalah adik seorang doktor di Kementerian Kesihatan. Apabila doktor itu ditukar ke tempat lain, dia terpaksa ikut. Sebahagian lagi dari wang itu digunakan untuk membiayai pengkebumian seorang lelaki miskin yang mati lemas di Sungai Nil dan mayatnya terdampar dekat pagar sekolah. Tidak dapat dinafikan bahawa persatuan seperti ini lebih berjaya dalam pembentukan akhlak daripada pelajaran-pelajaran yang semata‑mata teori. Pusat pusat pendidikan dan agama patut sangat memberi perhatian yang lebih kepada persatuan persatuan begini.

Di Tebing Sungai Nil
Persatuan ini banyak mempengaruhi golongan belia. Saya masih ingat saya pernah berjalan di tebing Sungai Nil di tempat para buruh membuat kapal layar. Perusahaan ini banyak dijalankan di pelabuhan Mahmoodiyah. Di situ, saya dapati seorang pelaut telah menggantung sebuah patung kayu bogel di tiang kapalnya. Perkara itu menggambarkan ketiadaan akhlak lebih-lebih lagi kerana kaum wanita dan para gadis mengambil air sungai di situ. Saya merasa sangat tersinggung. Saya terus pergi ke pusat kawalan (ketika itu) dan menceritakan hal tersebut. Seterusnya dia (pelaut) dipanggil ke balai polis. Pegawai polis yang bertugas tadi mendengar lapuran saya dan terus pergi ke tempat kejadian. Beliau memarahi pelaut tadi dan mengarahnya menurunkan patung bogel tersebut. Pelaut tadi mematuhi arahan dan menurunkan patung itu. Bukan saja pegawai polis tersebut menyokong saya, bahkan pada keesokan harinya, dia menemui pengetua sekolah saya dan menyatakan penghargaannya terhadap tindakan saya.

Pengetua sekolah saya bernama Mahmood Rusydi. Beliau adalah seorang yang alim. Kini dia adalah seorang yang berjawatan tinggi di Kementerian Pelajaran. Beliau amat gembira mendengar berita mengenai tindakan saya itu. Pada keesokan paginya, beliau menceritakan hal tersebut kepada para penuntut dalam satu perhimpunan dan menekankan agar mereka semua mencontohi saya. Mereka juga patut turut menghapuskan kemungkaran dari masyarakat. Kini, zaman menitikberatkan tugas nampaknya telah berlalu. Ketua-ketua jabatan dan para pegawai polis telah mengabaikan kewajipan mereka. Keadaan ini sangat menyedihkan sekali.

Di Atas Tikar Masjid Kecil.
Adalah menjadi kebiasaan para penuntut sekolah saya menunaikan solah lebih lebih lagi solah zohor di masjid kecil. Masjid tersebut terletak berhampiran kawasan sekolah. Setelah makan tengahari, mereka akan duduk di dalam masjid pada masa rehat. Masjid itu tidak berada di bawah pengawasan Jabatan Wakaf. Saya masih ingat satu kejadian lucu yang menarik. Imam masjid tersebut ialah Syeikh Muhammad Sa’id. Satu hari, beliau datang ke masjid setelah seorang penuntut melaungkan azan. Kemudian solah berjemaah pun dilakukan dengan diimamkan oleh salah seorang yang berada di situ. Para penuntut yang bersolah ketika itu berjumlah tiga atau empat barisan semuanya. Dia tidak mahu mengganggu para penuntut yang.bersolat itu kerana pada fikirannya, jika mereka diganggu, air yang mereka guna akan sia-sia dan tikar masjid akan tercemar. Oleh itu, dia menunggu sehingga mereka selesai sembahyang. Kemudian dia pun memaksa para penuntut tadi bersurai. Dia juga memarahi dan mengancam mereka sebagai satu ingatan.

Sebahagian penuntut lari dan sebahagian lagi tidak lari dari situ. Saya pun mengambil keputusan hendak bertindakbalas terhadap Syeikh Muhammad Sa’id. Saya menulis sepucuk surat kepadanya dan menyebut ayat Quran berikut yang maksudnya:
“Dan janganlah kamu mengusir orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi hari dan di petang hari, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya. Kamu tidak memikul tanggungjawab sedikit pun terhadap perbuatan mereka dan mereka pun tidak memikul tanggungjawab sedikitpun terhadap perbuatan mu, yang menyebabkan kamu (berhak) mengusir mereka, (sehingga kamu termasuk orang-orang yang zalim) (Al-Anaam: 52)

Penjelasan:
Ketika Rasulullah s.a.w. sedang duduk-duduk bersama beberapa orang Mu’min yang dianggap rendah dan miskin oleh kaum Quraisy, datanglah beberapa pemuka Quraisy hendak berbicara dengan Rasulullah s.a.w., tetapi mereka enggan duduk bersama-sama dengan orang Mu’min itu, dan mereka mengusulkan supaya orang-orang Mu’min itu diusir saja, sehingga mereka dapat berbicara dengan Rasulullah, lalu turunlah ayat ini.

Saya poskan surat tersebut dan menetapkan denda sebanyak satu Qursh sebagai hukuman kesalahan beliau itu. Apabila dia menerima surat itu, serta merta dia dapat mengagak orang yang menghantarnya. Beliau menemui bapa saya dan membuat pengaduan mengenai tindakan saya itu. Walau bagaimanapun, bapa saya menasihatinya supaya berlemah lembut dan berbuat baik kepada para penuntut. Selepas itu, beliau berubah sikap dan melayani kami dengan lemah lembut dan kasih sayang. Namun begitu, beliau telah meletakkan syarat kepada kami mengenai penggunaan masjid tersebut. Iaitu kami mesti mengisi air ke dalam kolah sebelum meninggalkan masjid dan mengutip derma membeli tikar baru apabila tikar masjid telah koyak. Kami setuju dengan syarat tersebut. Semenjak itu, hubungan kami dengan beliau tidak menghadapi kekeruhan lagi.

Jamiyyatul Man’i Al-Muharramat (Persatuan Mencegah Perkara Haram)
Beberapa pemuda nampaknya tidak berpuas hati dengan kegiatan kebajikan yang terhad di sekolah saja. Mereka berpakat untuk meluaskan kegiatan tersebut. Mereka ini ialah Ustaz Muhammad Ali Budayyar (seorang guru di Jabatan Pelajaran), Ustaz Abdul Rahman Sa’ati (Pegawai Jabatan Keretapi) dan Ustaz Sa’id Budayyar (jurutera). Dalam satu mesyuarat, mereka bersepakat untuk menubuhkan satu persatuan Islam yang bernama Jam’iyyatul Man’i Muharrammat’. Yuran keahliannya ialah 5 hingga 10 Milyam seminggu. Tugas-tugas persatuan pun dibahagi-bahagikan di kalangan ahli-ahli persatuan. Sebahagian dari mereka ditugaskan untuk menyediakan perkataan dan khutbah-khutbah. Sementara yang lain pula ditugaskan untuk menulis khutbah-khutbah itu dengan jelas dan terang (edit). Selain itu mereka juga ditugaskan untuk mencetaknya dan selebihnya ditugaskan untuk mengedar pada yang lain. Seorang ahli lagi bertugas dalam kerja-kerja penerbitan. Ahli-ahli yang bakinya bertugas menghantar surat-surat yang telah siap disusun. Surat-surat ini dihantar kepada orang-orang yang pihak persatuan dapati telah terlibat dalam kegiatan maksiat atau pun melakukan ibadat dengan tidak sempurna lebih-lebih lagi solah.

Apabila ada ahli yang melihat orang tidak berpuasa ketika bulan Ramadhan, dia akan memberitahu pihak persatuan dan akan menghantar sepucuk surat mengingatinya tentang kesalahan itu. Begitu juga bagi mereka yang mempermudahkan solah serta tidak khusyuk dan tenang ketika melakukan ibadat itu. Orang lelaki yang memakai perhiasan emas juga dinasihati melalui surat kerana Islam melarang lelaki memakai perhiasan emas. Apabila seseorang wanita meratap sesuatu kematian dengan memukul mukanya sendiri atau dia mengeluarkan kata-kata yang berlawanan dengan dasar-dasar Islam, maka suaminya atau penjaganya akan menerima surat supaya bertindak melarang wanita tersebut dari terus melakukan kesalahan itu. Ringkasnya, pihak persatuan menghantar surat kepada orang-orang yang begini tanpa mengira tua atau muda.

Ahli-ahli persatuan adalah muda-muda belaka, oleh itu mereka dapat mengelakkan diri dari disyaki atau dikesan. Orang ramai pun tidak mengambil hirau terhadap mereka. Bahkan orang ramai menyangka kegiatan ini dijalankan oleh Syeikh Muhammad Zahran. Mereka pun pergi menemuinya dan menyatakan betapa tersinggungnya mereka. Mereka meminta Syeikh Zahran menasihati mereka secara lisan dan bukannya melalui surat. Walaubagaimanapun Syeikh tersebut menafikan sebarang penglibatan dalam kegiatan itu dan dia cuba memberi alasan yang memuaskan hati mereka.

Mereka hamper-hampir tidak mempercayainya apabila pada satu hari Syeikh Muhammad Zahran sendiri menerima sepucuk surat dari persatuan tersebut. Beliau dikatakan menunaikan solah zohor antara dua tiang dan amalan ini dianggap makruh. Oleh sebab beliau seorang ulama’ terkenal, maka dia sepatutnya menjauhkan amalan makruh agar orang ramai dapat menjauhi perkara perkara yang haram.

Saya masih ingat lagi di mana Syeikh Zahran telah memanggil saya ketika itu. Saya masih lagi berhubung dengannya dalam pengajian umum walaupun saya telah pun meninggalkan sekolah atau perpustakaannya, untuk sama-sama menyelesaikan masalah tadi. Beliau mengesyorkan agar saya dapat bekerjasama mencari jawapan kepada masalah tadi di dalam kitab ‘Fathul Bari’. Tajuk perbahasan ini masih segar lagi dalam ingatan saya hingga kini. Saya pun membaca rangkap-rangkap dari kitab ‘Fathul Bari’ sambil tersenyum. Sementara itu Syeikh tersebut terus bertanya saya mengenai orang yang menghantar surat teguran kepada beliau. Selepas bertungkus­lumus membaca kitab tersebut akhirnya didapati bahawa nasihat yang diberi dalam surat teguran tersebut adalah betul. Saya kemudian memberitahu hal ini kepada para anggota persatuan dan mereka sangat sukacita mendengarnya.

Persatuan tersebut meneruskan kegiatan mereka selama lebih dari enam bulan. Orang ramai berasa terkejut dan takut dengan kegiatan ini. Akhirnya, rahsia kegiatan persatuan itu telah terdedah melalui seorang pemilik kedai kopi. Dia telah menjemput seorang penari dan penyanyi ke kedai kopinya untuk mengadakan tarian dan nyanyian. Lantaran itu, dia menerima surat dari persatuan. Surat-surat ini tidak dihantar melalui pos untuk menjimatkan wang. Surat-surat begini diletakkan di tempat tempat yang mudah dilihat dan diambil orang yang berkenaan.

Pemilik kedai kopi itu ialah seorang Muallim. Dia sangat bijak kerana berjaya menangkap pembawa surat tersebut. Pembawa surat itu dicela di hadapan khalayak ramai dalam kedai kopi itu. Dengan demikian, terbongkarlah rahsia kegiatan persatuan tersebut. Berikutan peristiwa itu, para anggota persatuan tadi mengambil keputusan mengurangkan kegiatan mereka yang berbentuk surat menyurat itu. Mereka berusaha mencari cara-cara lain untuk menghadapi kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan Islam.

insyaAllah bersambung…

Advertisements
This entry was posted in Detik-Detik Hidupku, MUTIARA DA'WAH. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s