Bab 9 – “Memasuki Malam Zafaf” (Bahagian 1C)

Memasuki Malam Zafaf

Masa setelah akad nikah adalah saat yang peka. Hari itu seorang jejaka baru sahaja menjadi suami, dan seorang gadis memulai kehidupannya sebagai isteri. Perasaan mereka  sangat  sensitif  ketika  pertama  kali  bertemu  dan  berdekatan.  Ada  salah tingkah,  tapi   ada   perasaan  ingin  dekat.  Ada   rasa   bahagia,  tapi   tak   sedikit canggungnya. Agak takut, tapi juga agak terbuka.

Malam zafaf memang malam yang peka. Kekecewaan di malam ini, boleh membawa pengaruh bagi kehidupan selanjutnya. Kebahagiaan atau sentuhan perasaan yang dalam sangat membantu keduanya untuk hidup bersama menuju keluarga barakah. Keindahan di malam zafaf menjadi jalan untuk saling menerima, saling percaya dan rasa cinta yang diliputi kerinduan-kerinduan halus. Adapun salah tingkah dan canggung, itu adalah rahmat Allah Ta’ala. Maha Besar Allah dengan segala rahmatNya. InsyaAllah ini akan kita bicarakan nanti.

Lalu, apakah malam zafaf itu? Inilah malam ketika seorang wanita pertama kali memasuki rumah suaminya setelah ia dinikahkan. Ini adalah malam ketika ia pertama kali berdekatan dengan suami dalam satu kamar –yang meskipun luas, rasanya sempit sahaja.  Ringkasnya,  malam  zafaf  adalah  malam  pemboyongan  isteri  ke  kamar suaminya.  Pada  masa  sekarang,  malam  zafaf  adalah  malam  ketika  pertama  kali mereka bermalam bersama.

Yang tidak mudah adalah bagaimana menghabiskan malam zafaf itu. Yang demikian  ini  agar  Anda  dapat  menikmati  keindahan  agung  sebagai  suami isteri. Mudah-mudahan dengan demikian malam zafaf Anda akan penuh barakah. Sehingga hari-hari berikutnya Anda merasakan ketenteraman jiwa (sakinah), kecintaan yang tulus (mawaddah) dan rahmah.

Ada beberapa hal yang diajarkan oleh agama kita agar pengantin baru memperoleh kenikmatan yang mesra di malam zafaf. Jika Anda akan memasuki malam zafaf, kesampingkan dulu salah tingkah Anda. Mari kita perhatikan beberapa hal yang mudah-mudahan dapat membawa rumahtangga Anda penuh rasa cinta dan harmonis (ulfah).

Kelengkapan Zafaf

Pengantin baru perlu melakukan beberapa persiapan sehingga malam zafaf terlaksana dengan penuh barakah dan keindahan yang tak dapat dilupakan. Persiapan ini meliputi fizikal,  kebendaan, mahupun persiapan psikologi dan ruhiyyah. Persiapan-persiapan fizikal inilah yang saya sebut sebagai kelengkapan zafaf, semata-mata agar tulisan ini hanya dibaca oleh mereka yang telah memerlukan.

Seorang laki-laki mahupun wanita perlu memperhatikan kelengkapan zafaf ini. Mudah-mudahan  Allah  melimpahkan  barakah  bagi  kedua  mempelai  di  malam pertama mereka.

Kelengkapan Laki-laki

Seorang  lelaki,  kata  Ustadz  Abduh  Ghalib  Ahmad  ‘Isa,  hendaklah  berhias dengan mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, membersihkan janggutnya,  menggunting  kukunya,  mandi  dengan  air  dan  sabun,  dan  memakai pakaian yang baru jika mampu. Jika tidak, maka hendaklah ia memakai pakaian yang bersih.

Seorang lelaki dianjurkan untuk berhias di malam itu. Sebab, hubungan seksual di malam itu mempunyai kesan yang sangat dalam untuk jangka waktu yang sangat lama, kata Mahmud Al-Shabbagh. ‘Aisyah r.a. pernah ditanya, “Pekerjaan apa yang mula-mula dilakukan oleh Nabi pada saat beliau memasuki rumahnya?” ‘Aisyah menjawab, “Menggosok gigi.” (HR Muslim).

Ada kemungkinan, kata Al-Shabbagh, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melakukan hal itu untuk menyambut isteri beliau dengan ciuman. Alangkah manisnya jika seorang suami mencium isterinya bila hendak meninggalkan rumahnya pada pagi hari, dan jika bertemu lagi dengan isterinya pada petang harinya, agar tetap awet muda.

Sebelum memasuki malam zafaf, seorang lelaki hendaklah memotong misainya dan merapikan janggutnya. Janggut bukan untuk dicukur, kerana memanjangkan janggut  merupakan  sunnah.  Sedang  wangian  akan menyempurnakan kelengkapan fizikal sehingga lebih indah bagi Anda berdua. InsyaAllah.

Kelengkapan Wanita

Wanita  hendaklah  melakukan  beberapa  hal  untuk  memasuki  malam  zafaf. Wanita hendaklah memotong kuku-kukunya terutama kuku jari-jemari tangan. Yang demikian ini agar tidak menjadikan malam zafaf kurang enak di hujungnya, kerana ketika wanita mencapai puncak kenikmatan dalam berhubungan intim, wanita banyak mengenakan jari-jemari tangannya pada suami dengan cengkaman yang kuat.

Mengenai bulu, wanita hendaknya dalam keadaan bersih ketika memasuki malam zafaf. Ia telah mencukur bulu ketiaknya sehingga bersih. Juga mencukur bulu kemaluannya. Yang demikian ini termasuk perkara-perkara sunnah.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah, ia berkata, “Kami pernah bersama-sama Nabi s.a.w. dalam suatu perang. Pada saat kami telah selesai, kami bergegas menunggangi unta yang lambat jalannya, sehingga aku tersusul oleh seorang penunggang dari belakangku. Lalu aku menoleh, dan tiba-tiba aku bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Beliau bertanya, ‘Apa yang membuatmu tergesa-gesa?’

Aku menjawab, ‘Baru saja aku menikah (menjadi pengantin).’ Beliau bertanya, ‘Gadis atau janda yang engkau nikahi?’

Aku menjawab, ‘Janda!’

Nabi bersabda, ‘Hendaklah engkau menikah dengan seorang gadis agar engkau dapat bermain dengannya dan ia dapat bermain denganmu.’

Jabir berkata, ‘Maka pada saat kami tiba, kami berangkat untuk masuk (ke kawasan tempat tinggal – pent).’

Beliau lantas berkata, ‘Bersabarlah! Masuklah (ke kawasan tempat tinggal – pent) kalian pada waktu malam atau waktu Isya’ agar wanita yang rambutnya kusut dapat menyisirnya dan wanita yang ditinggal pergi dapat mencukur bulu kemaluannya.’(HR Bukhari).

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Lima perkara dari fithrah; mencukur bulu kemaluan, berkhitan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak, dan memotong kuku.” (HR Jama’ah).

Dari  Anas  bin  Malik  r.a.,  berkata,  “Telah  dijangkakan  waktu  untuk  kami terhadap urusan menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, yakni jangan lebih dari empat puluh hari sekali.” (HR Muslim dan Ibnu Majah).

Inilah perkara-perkara sunnah yang berkenaan dengan kebersihan. Melaksanakannya insyaAllah akan dirahmati. Sehingga kita mendapatkan kemanisannya kelak setelah hari perhitungan. Apalagi untuk malam zafaf. InsyaAllah ada hikmah yang sangat besar di dalamnya. Sebagian kecil dari hikmah itu adalah agar di malam zafaf itu pengantin wanita memiliki askhanu aqbalan.

Apa yang dimaksud dengan askhanu aqbalan? Askhanu aqbalan adalah lebih hangatnya vagina pada seorang wanita. Sebahagian sahabat Nabi menganjurkan kita agar tetap menikahi gadis-gadis kerana lebih hangat vaginanya (askhanu aqbalan). Mereka lebih hangat dibanding janda. Dan seorang gadis dapat mencapai yang lebih hangat lagi dengan mencukur rambut kemaluannya sehingga bersih.

Dalam sebuah hadis disebutkan,

“Kahwinilah oleh kalian perawan sebab perawan itu lebih segar mulutnya, lebih subur rahimnya, lebih hangat vaginanya, dan lebih rela dengan nafkah yang sedikit.”
(HR Abu Na’im melalui Ibnu Umar r.a. Periksa Mukhtarul Ahaadits).

Manfaat mencukur bulu kemaluan bagi wanita, agar ia lebih dapat terdorong gairahnya untuk menikmati hubungan seksual pertama bersama suaminya. Sementara suaminya belum begitu ia kenal. Kalaupun sebelumnya sempat mengenal, tak pernah sedekat  ini.  Sehingga  ada  salah  tingkah,  canggung,  sekaligus  perasaan  malu bercampur rindu dan takut.

Kalau  ghairahnya tumbuh  dan  perasaannya terbangkitkan, insyaAllah malam zafaf akan menjadi malam yang sangat mengesankan dan sukar untuk dilupakan. Adapun bagi lelaki, bersihnya kemaluan wanita dan askhanu-aqbalan dapat membuatnya lebih bersemangat sekaligus memudahkannya melaksanakan tugas sucinya dengan baik, sekalipun ia masih gugup dan berkeringat cemas. Mudah-mudahan mereka memperoleh kenikmatan yang sempurna dan penuh barakah. Mudah-mudahan dari pertemuan pertama di malam zafaf itu lahir keturunan yang memberi bekas kepada bumi dengan kalimah laa ilaha illaLlah.

Malam itu pengantin perempuan juga perlu memakai wangi-wangian, agar malam zafafnya dipenuhi malaikat rahmat dan menjadikan suami terkesan kerana bau yang pertama kali tercium dari isterinya adalah yang sedap. Wewangian ini terutama dipakai pada daerah-daerah lipatan, iaitu lipatan telinga, lipatan jari-jemari, ma’athif (antara leher dan geraham), kening, lipatan payudara serta kemaluan, iaitu pada dinding-dindingnya serta permukaannya, bila perlu. Khusus pada daerah lipatan, kalau pun tidak sempat memberi wewangian, cukuplah dalam keadaan bersih.

Dari ‘Aisyah r.a., berkata, “Sepuluh perkara dari fithrah; menggunting misai, menurunkan sedikit janggut, menggosok gigi, berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh lipatan-lipatan anak jari, lipatan-lipatan telinga, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinja, dan saya telah lupa yang kesepuluh, mungkin berkumur-kumur.” (HR Ahmad, Muslim, An-Nasa’i dan At-Tirmidzi).

Dalam   sebuah   hadis   sahih   ‘Aisyah   menceritakan   kepada   kita   tentang wangian wanita. Katanya, “Kami keluar bersama Nabi s.a.w. ke Makkah. Maka kami ikatkan pada dahi pembalut yang diberi wangian ketika kami berihram. Ketika salah seorang dari kami berpeluh dan mengalir di wajahnya, lalu Nabi s.a.w. melihatnya, maka beliau tidak melarangnya.” (HR Abu Dawud, shahih).

Dari Umainah binti Rafiqah, bahawa isteri-isteri Nabi s.a.w. membuat pembalut-pembalut yang di dalamnya terdapat wars dan za’faran, lalu mereka mengikatkan pada bagian bawah rambut mereka dari dahi mereka, sebelum mereka berihram. Kemudian mereka berihram dalam keadaan seperti itu. (HR Ath-Thabrani)3.

Mengharumkan kemaluan setelah membersihkan dengan kapas, terdapat pada tuntunan bersuci dari haid. Di malam zafaf, ada baiknya wanita memasukinya dalam keadaan telah memberi wangian pada kemaluannya.

‘Aisyah menerangkan bahwa Asma’ bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang mandi haid. Nabi menjawab, “Hendaklah seseorang kamu mengambil air beserta daun bidara, lalu bersuci dengan sebaik-baiknya. Kemudian sesudah itu, hendaklah menyiramkan air atas kepalanya dan menggosok-gosoknya, hingga sampailah air ke pangkal rambutnya. Sesudah itu, baru menuangkan air ke dalamnya. Sesudah itu, hendaklah ia mengambil sepotong kapas yang sudah dikasturikan (diberi minyak wangi), lalu ia membersihkan diri dengan dia.”

Kala itu Asma’ bertanya, “Bagaimana ia membersihkan diri dengan kapas yang dikasturikan itu, ya Rasulullah?”

Nabi menjawab, “Subhanallah, kau bersuci dengan itu.”

Ketika itu ‘Aisyah dengan suara yang halus berkata, “Kau menggosok-gosokkan dengan dia tempat-tempat bekas darah (pada dinding kemaluan) yang telah kotor dengan darah haid.”

Dan Asma’ bertanya lagi tentang mandi janabah. Maka Nabi menjawab, “Hendaklah ia mengambil air, lalu bersuci dengan sebaik-baiknya. Kemudian barulah ia menuangkan air atas kepala dengan menggosok-gosokkan kepalanya sehingga air itu sampai ke pangkal rambutnya (ke tulang kepala). Sesudah itu barulah ia menuangkan air atas badannya.”

Di  akhir  pembicaraan,  ‘Aisyah  berkata,  “Sebaik-baik  wanita  ialah  wanita Anshar. Mereka tidak malu bertanya tentang hal-hal agama.” (HR Muslim, sahih).

Berkenaan dengan berhias dan wangian bagi wanita, ada baiknya kita mengingat hadis dari Abu Hurairah.

Wangian lelaki adalah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Dan perhiasan wanita adalah apa yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya. (HR An-Nasa’i dan At-Tirmidzi. Muhammad Nashiruddin Al-Albani menilai hadis yang dikeluarkan At-Tirmidzi sebagai hadis sahih).

Perhiasan seorang lelaki adalah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Ini adalah perhiasan yang terpuji bagi lelaki. Sedangkan bagi wanita, perhiasan yang terpuji adalah yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya. Maksud perkataan ini adalah, wangian yang dipakai seorang wanita tidak boleh tercium harumnya oleh orang lain kecuali dengan betul-betul berdekatan. Dan tidak ada lelaki yang diperbolehkan untuk berdekatan dengan seorang wanita dengan kedekatan yang rapat kecuali suaminya. Wallahu A’lam bishawab.

Kelak ketika tak ada mata yang melihat kecuali mata suaminya, wanita boleh memakai ghumrah (pemerah pipi dari minyak za’faran). Juga boleh menggunakan perhiasan lain. Wanita-wanita dewasa dapat menghias pengantin wanita sehingga menjadi wanita tercantik dan paling anggun di malam itu, sebagaimana para wanita dahulu juga menghias ‘Aisyah sebelum dipertemukan dengan Rasulullah s.a.w.

Selain itu, wanita ada baiknya bercelak. Dari Ibnu ‘Abbas r.a., berkata, “Nabi s.a.w. bersabda, ‘Hendaklah kamu selalu bercelak, kerana celak itu menumbuhkan bulu mata, menghilangkan kotoran-kotoran pada mata dan membersihkan penglihatan’.(HR Ath-Thabrani).

Tapi terlarang baginya untuk mencukur alisnya. Mencukur alis merupakan salah satu cara berhias untuk memperoleh kesan   mata lebih ayu. Mata yang terkesan terlalu lebar –menurut pemilik mata bersangkutan– dapat diubah kesannya menjadi lebih sepet dengan cara mencukur sebagian alis. Tetapi Rasulullah s.a.w. melarang cara ini.

Nabi  s.a.w.  melaknat  cara  ini.  Kerana  itu,  tidak  ada  tempat  bagi  wanita  untuk mempercantik diri dengan mencukur alis. Kata Ibnu Mas’ud r.a. :

Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang membuat tahi lalat, perempuan yang minta dibuatkan tahi lalat, perempuan yang menipiskan alis mata dan perempuan yang mengikir giginya supaya menjadi baik yang mengubah ciptaan Allah. Kemudian ada seorang perempuan yang bertanya kepadanya tentang itu. Maka beliau berkata, “Bagaimana  aku  tidak  melaknat  orang  yang  dilaknat  oleh  Rasulullah  s.a.w., sedangkan di dalam kitab Allah, Allah Ta’ala berfirman, “Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.”

Di malam itu, wanita juga boleh menggunakan cincin untuk berhias. Masih ada pembahasan lain yang lebih khusus berkenaan dengan persiapan untuk melakukan hubungan intim. InsyaAllah kita akan membicarakan dengan tenang masalah ini pada bab Keindahan Suami isteri. Adapun untuk memasuki malam zafaf, insyaAllah pembahasan ini telah cukup.

Kelengkapan Tambahan

Ada  kelengkapan  tambahan  yang  boleh  dilakukan  oleh  suami.  Sebelum memasuki malam zafaf, suami boleh menata tempat tidur dengan baik. Ia menutupnya dengan cadar yang bersih. Cadar yang baru diseterika insyaAllah lebih baik, kerana lebih memberikan kenyamanan dan kehangatan. Juga, suami dapat memberi wangian pada permukaan cadarnya sehingga harum dan sedap.

Pada masa sekarang, malam pertama umumnya di rumah orang tua isteri. Kerana itu, sebaiknya isteri yang menata tempat tidur dan memberikan cadar yang hangat. Seorang wanita insyaAllah dapat memilih perfume untuk tempat tidurnya yang bagus, tidak terlalu harum dan tidak menyengat baunya. Ia boleh memilih bau-bau yang lembut, jika memungkinkan. Adapun kalau sukar dilakukan, cadar yang bersih telah cukup.

Berkenaan dengan pakaian pada malam zafaf, seorang lelaki hendaklah tetap menjaga agar pakaian yang dikenakan tidak memperlihatkan aurat. Sebab yang demikian itu makruh, kata Abduh Ghalib Ahmad ‘Isa menjelaskan. Ia boleh mengenakan pakaian yang menarik, tetapi tetap sederhana.

Pengantin perempuan boleh mengenakan pakaian-pakaian yang bagus dan menarik, sehingga ia terlihat anggun di malam itu. Wanita juga bisa mempertimbangkan untuk menggunakan pakaian yang tidak menyukarkan tugas suami. Mungkin suami Anda termasuk yang masih canggung dan rikuh.

Catatan Kaki:

1.      Membersihkan rambut-rambut yang tumbuh pada daerah kemaluan, baik pada laki-laki maupun perempuan, lazim disebut dengan istilah istihdaad. Istihdaad boleh dilakukan dengan menggunting atau memotong habis dan dengan mencabutnya, atau dengan cara melumurinya dengan obat perontok rambut. Tetapi lebih utama dengan cara mencukur, membersihkan dengan menggunakan pisau cukur. Demikian penjelasan dari Muhammad ‘Athiyah Khumais dalam Fiqih Wanita tentang Thaharah. Saat ini banyak tersedia pisau cukur yang higienis, praktis, aman dan nyaman. Syekh Ibnu Daqiqil ‘Aid mengatakan, “Sebagian mereka cenderung menguatkan wanita mencukur, karena dengan cara mencabut dapat merusak kulit. Hal itu dikuatkan pula oleh Imam Nawawi dan lain-lain dengan katanya: Menurut Sunnah, mencukur bulu ari-ari dengan pisau cukur, itulah yang lebih baik bagi laki-laki dan perempuan.”
2.      Yang dimaksud dengan bulu ari-ari adalah rambut yang tumbuh pada bagian atas zakar laki-laki dan yang tumbuh di sekitar vagina (faraj) perempuan. Demikian penjelasan Muhammad ‘Athiyah Khumais.
3.      Abdul Halim Abu Syuqqah menjelaskan, Ath-Thabrani menjelaskan dalam Al- Kabir dan di dalamnya terdapat Haki-mah binti Umaimah. Ibnu Juraij meriwayatkan darinya, tetapi tak seorang pun berbicara tentangnya. Abu Dawud berhujjah dengan riwayatnya, dan sisa rijalnya adalah rijal shahih.

insyaAllah bersambung…

Mohammad Fauzil Adhim
(Kado Pernikahan)

Advertisements
This entry was posted in Kado Pernikahan, PERNIKAHAN. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s