“Mumayiz dan Akil Baligh di kala 40 tahun?”

Mumayiz adalah istilah bagi anak kecil yang telah boleh memilih antara yang baik dan yang buruk. Atau yang betul dan yang mana salah. Akil Baligh pula diertikan dari sudut bahasa adalah ‘akal sudah sampai’ atau ‘kesampaian akal’. Dan di sini adalah awal permulaan seorang manusia itu menanggung sendiri dosa dan pahalanya mengikut apa yang telah kita fahami dalam Islam.

Waktu Persediaan
Apabila telah lahir seorang anak itu di hari pertama hinggalah ke waktu telah mumayiz dan akil baligh – mereka di bawah tanggungjawab kedua ibubapa mereka. Dalam tahap ini WAJIB bagi kedua ibubapa untuk mendidik, menegur, memberitahu, mengajar serta menunjuk ajar mereka supaya mereka kenal yang mana baik, buruk, dosa dan pahala bahkan yang lebih besar dari itu adalah makrifatullah, yakni mengenal Allah swt.
Ini adalah waktu kritikal. Malah, di dendangkan dalam peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ yang bermaksud rebung atau fasa awal adalah penting untuk kita lenturkan mereka.

Jika Dibiarkan.
Boleh aje. Ya!, tiada masalah jika mana-mana ibubapa dalam dunia ini ingin membiarkan atau berbuat tidak kisah dan endah terhadap tarbiyah anak-anak mereka ketika kecil dan sebelum mereka baligh. Terpulang. Cuma, suka diingatkan bahawa disana ada bahaya besar yang menanti kita.

Bahaya Besar
Yang kami maksudkan adalah, jika anak-anak tidak betul ditarbiyah hinggalah mereka mencapai usia baligh. Kita menzalimi mereka. Terutama jika mereka telah mula ditanggungjawabkan untuk memikul dosa sendiri, mereka masih ‘kosong’ dengan ilmu yang sebenar untuk mengenal dan merasai apa itu dosa dan apa itu pahala. Mereka akan melakukan banyak kesalahan dan kesilapan hingga menyebabkan dosa terhimpun tanpa mereka sedari.  Kita? Ya! kita tetap dengan diri dan umur kita yang menuju mati… manakala mereka masih baru membuka mata melihat dunia dan bertatih mengumpul pahala atau pun dosa.

Panduan Ibubapa
Sebab itulah Islam amat menitik beratkan tarbiyah anak-anak ketika masih kecil waima sebelum mereka lahir ke dunia lagi. Ianya adalah sesuatu yang dharuri (penting) hinggakan sentiasa di ingatkan bahawa perbuatan ibubapa akan mencorakkan bagaimana anak-anak itu membesar. Di awal umur 3 – 10 tahun, mereka telah mula memahami yang mana betul atau yang mana salah. Jika salah ‘input’ yang dimasukkan kepada mereka atau terbalik kefahaman yang disalurkan. Mereka akan menerima sesuatu yang salah sebagai benar dan yang benar sebagai salah. Nanti, ilmu warisan songsang ini akan berterusan hingga mereka baligh. Setelah baligh nanti, mereka akan menanggung dosa atas ‘ilmu salah’ yang kita didik ketika mereka kecil. Kesian sangat.

Jangan Biarkan baligh di umur 40 tahun
Oleh itu, jika kita sayangkan anak kita. Bukan hanya membeli mainan yang disukai mereka, baju yang cantik dipakai, susu terbaik untuk fizikal tetapi jauh lebih penting dari itu adalah memberikan tarbiyah yang terbaik buat mereka. Tarbiyah yang paling penting adalah terkait ‘kefahaman agama Islam yang benar’ (faqih fid Deen) kerana itulah hadiah kebaikan dari Allah swt (“Barangsiapa diberikan kebaikan oleh Allah, difahamkan kepadanya terkait agama”). Jika sayang dan cintakan mereka. Pastikan kita dapat memastikan mereka benar-benar baligh dan mumayiz pada umur yang tabie dan bukan ketika umur 40 tahun baru mereka sedari yang mana betul dan salah. Yang mana dosa dan pahala. Jika tidak. Rugi bagi kita dan mereka.

Ada Ke Yang Baligh 40 tahun?!
🙂 Lawakkan soalan sebegini. Tetapi, jika dilihat makna mumayiz dan baligh. Jawapannya, Ya!, ada. Jika di lihat sekelilng kita. Ramai orang-orang dewasa yang telah lama meninggalkan tahap umur baligh tabie (belasan tahun), tetapi masih lagi bergelumang dengan dosa, masih lagi jahil, masih lagi perangai keanak-anakkan, masih lagi tidak berakhlak, masih itu dan ini. Lihat aje nanti. Ketika PRU-13, Parlimen dibubarkan – akan kelihatanlah ‘kematangan kebudak-budakkan‘ orang-orang tua dan dewasa dalam mengharungi perjalanan PRU-13 nanti. Malah yang amat mengejutkan tindakan sesetengah yang telah bergelar YB masih juga berperangai jauh dari sikap anak-anak yang mumayiz dan baligh. Ini yang akan kita temui. Tunggu aje nanti.

Tugas Kita Besar
Benar. Dengan kecuaian dan kelemahan yang ada. Jika di hitung beban tanggungjawab yang ada. Tiada jawapan melainkan kita akan rasa terbeban dengan peranan yang besar terutama bagi yang bergelar ibubapa. Anak merupakan asset berharga dan boleh sahaja bakal menjadi liabiliti sengsara kepada kita. Asset berharga bilamana anak yang soleh yang kita lahirkan berfungsi dalam agamanya dan anak yang sama, boleh menjadi liabiliti sengsara yang mengheret kita bersamanya ke neraka di sana jika cuai dalam kehidupan mereka.

Oleh itu, marilah sama-sama bagi kita yang masih mempunyai anak-anak kecil, bayi dan sebagainya untuk memastikan didikan kita mematangkan dan melayakkan mereka berada di posisi mumayiz yang benar dan akil baligh yang sepatutnya. Jangan sampai kita terlewat dan masa mendekat, rupanya anak kita masih belum mumayiz dan baligh dalam erti kata sebenar hinggalah umur mereka telah mencecah 40 tahun rupanya… Amat rugi bagi kita dan mereka.

Wallahu’alam.

Halaqah Keluarga. 02 April 2012.

Advertisements
This entry was posted in Coretan Halaqah Keluarga. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s