Detik-Detik Hidupku (Bahagian 3)

Peranan keluarga Hasan Al-Banna dalam membina ketokohannya.

Seseorang yang dipilih Allah untuk menegakkan agama (ad-Din)-Nya akan diberi-Nya nilai-nilai peribadi yang melayakkan orang itu melaksanakan tugas berat tadi. Nilai-nilai peribadi itu akan dipupuk semenjak peringkat kanak-kanak lagi. Di antara contoh terbaik di zaman kebelakangan ini ialah As-Syahid Imam Hasan Al­Banna. Semenjak beliau kanak-kanak lagi, beliau sudah memiliki peribadi yang mulia dan wara’. Nilai peribadi ini semakin matang setelah beliau meningkat dewasa. Beliau benci kepada maksiat dan kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan Islam sejak di peringkat awal lagi.

Imam Hasan Al-Banna dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mulia. Keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana dan mengamalkan Islam di segenap sudut kehidupan mereka. Mereka hidup bebas daripada gejala maksiat yang terdapat di bandarayanya. Bapanya berkelulusan Universiti Al-Azhar dan sangat alim dalam Hadith dan ilmu Fiqh. Imarn Hasan Al-Banna menerima pendidikan bercorak agama dan moden. Adiknya, Abdur-Rahman Al-Banna menyebut mengenainya seperti berikut:-

‘Abangku yang dihormati. Ketika kau berumur sembilan tahun, saya baru menjangkau umur tujuh tahun. Kita mengaji Al-Quran dan belajar menulis di sekolah. Apabila kau berjaya menghafal dua pertiga Al Quran saya mampu menghafal sehingga Surah At-Taubah. Ketika kita pulang dari sekolah, bapa kita menyambut dengan penuh kasih sayang. Bapa kita yang dikasihi mengajar kita sirah (riwayat hidup) Rasulullah (s.a.w.), ilmu Fiqh dan nahu. Bapa kita telah menyediakan jadual pengajian kita ketika di rumah. Kau belajar ilmu Fiqh Imam Abu Hanifa manakala saya belajar ilmu Fiqh Imam Malik. Di segi ilmu nahu, kau belajar kitab ‘Alfiyah’ dan saya pula belajar kitab ‘Malhamatul Arab’.

Corak pengajian kita itu memerlukan kita mengulangkaji pelajaran bersama­sama dan bekerja keras. Justeru itu, kita terpaksa menyediakan jadual dan senarai kerja harian. Duhai abangku! Dalam hidupku, tidak pernah saya melihat orang yang begitu banyak berpuasa dan bersolah seperti kau. Kau bangun waktu sahur dan bersolah. Kemudian kau mengejutkan saya daripada tidur untuk menunaikan solah subuh. Selepas solah, kau membaca senarai kerja harian. Suara kau yang manis dan penyayang itu masih bergema di telinga saya. Kau pernah berkata, ‘Pukul lima hingga enam pagi ialah masa mengaji Al-Quran; pukul enam hingga pukul tujuh pagi ialah masa untuk belajar tafsir Al-Quran dan Hadith; pukul tujuh hingga lapan pagi ialah masa untuk belajar Fiqh dan Usul Fiqh.’ Itulah kerja rumah kita. Selepas itu kita pun pergi ke sekolah.

‘Terdapat banyak buku di dalam perpustakaan bapa kita. Kita telah sama-sama meneliti buku-buku tersebut sendiri. Nama buku-buku tersebut dicetak dengan huruf­huruf berwarna emas. Kadangkala kita meneliti kitab ‘Nisapur’; kitab ‘Qustalani’; dan kitab ‘Nail Al-Authar’. Bukan saja bapa kita telah membenarkan kita membaca buku buku diperpustakannya, bahkan beliau juga menggalakkan kita berbuat demikian. Kau selalu mengatasi saya dari segi ini. Saya cuba mengikut jejak langkahmu tetapi saya tidak mampu. Kau adalah seorang yang luar biasa. Walaupun perbezaan umur kita hanya dua tahun, tetapi Allah telah menyediakan engkau untuk pencapaian yang luar biasa.’

‘Bapa kita selalu mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmiah. Kita kerap mengikuti dengan teliti perbahasan ilmiah antara beliau dengan para ulama yang lain. Majlis-majlis tersebut dihadiri olch Syeikh Muhammad Zahran dan Hamid Muhsin. Pernah kita mendengar perbahasan mereka mengenai ‘Arasyh Allah’ di langit tinggi. Di antaranya ialah adakah ‘Istiwa’ bermaksud duduk atau tinggal? Apakah pendapat Imam Ghazali dalam hal ini? Apa pula kata Zamakhshari mengenai perkara ini? Apakah pula tafsiran Imam Malik bin Anas? Kita mendengar perbahasan-perbahasan ini dengan penuh minat. Segala apa yang kita fahami telah bersemadi di dalam ingatan kita. Segala masalah dan perkara yang sukar difahami telah kita rujuk kepada bapa kita ataupun kepada kitab-kitab tafsir dan As-Sunnah.’

‘Saya tidak lupa hari di mana halaman rumah kita dipenuhi kanak-kanak kecil. Mereka adalah penuntut-penuntut sekolah yang diiringi oleh ketua darjah dan guru mereka. Isteri guru mereka juga turut sama sambil mendukung anaknya. Setiap kanak­kanak membawa ranting-ranting kurma sambil bersyair: ‘Berselawatlah kepada Rasulullah (s.a.w.).’

Guru mereka pula bersyair demikian: ‘Kami tidak akan bergerak sehingga kami menerima kepingan perak di dalam pinggan yang bersih dan berkilat.’

‘Selepas syair ini, kanak kanak tadi mengulangi rangkap pertama semula. Ibu kita pun keluar membawa kepingan perak di dalam sebuah pinggan yang bersih dan berkilat. Dia mengisi beg isteri guru tersebut dengan kek dan kuih-kuih manis. Guru itu pun pulang ke rumah selepas acara tersebut. Acara itu diadakan kerana kau telah habis menghafal Al-Quran.’ (Petikan daripada buku Al-Imam as-Syahid Hasan al- Banna.)

Yang di Pertua pertama ‘Jamiat-usy-Syubbanul Muslimin’ Mesir, Jeneral Muhammad Saleh Harb Pasya, menulis mengenai suasana di rumah Imam Hasan Al­Banna: ‘Saya berpendapat suasana di rumah memainkan peranan penting dalam memina peribadi Imam Hasan Al-Banna. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang ‘alim, wara’ dan berpegang kuat kepada agama dan ini memberi kesan yang ketara kepada peribadi Imam Hasan Al-Banna.’

‘Pendidikan yang diterimanya telah mencorakkan roh dan akhlak Islam yang sebenar ke dalam dirinya. Beliau terlibat di dalam amalan Sufi di peringkat awal lagi. Guru rohaniahnya (atau guru Sufinya mahir dalam ilmu Al-Quran, as-Sunnah dan Fiqh. Ilmunya seumpama sungai yang mengalir tanpa halangan untuk selama­lamanya. Ilmunya ini telah banyak membantunya ketika beliau menyampaikan syarahan dan ceramah. Dengan demikian, beliau berjaya memuaskan dirinya sendiri dan juga orang lain.’(Al Imam-As-Syahid Hasan Al-Banna.)

Hasan Al-Banna sebagai pendakwah keell di kampungnya.
Allah telah menyemai ke dalam Hasan Al-Banna kecintaan dan kesungguhan untuk menjalankan usaha dakwah Islamiah, membawa pembaharuan kepada mesyarakat dan melancarkan jihad. Setiap sudut hidupnya dipenuhi ciri-ciri tadi. Walaupun Hasan Al-Banna menubuhkan Al-Ikhwanul Muslimin dalam bulan Mac, 1928, namun begitu, beliau telah menunjukkan ketokohannya sejak kanak-kanak lagi. Mutu peribadinya melambangkan ketokohan yang ada padanya. Akhirnya beliau berjaya menjadi Imam bagi seluruh Dunia Arab.

Ketika Imam Hasan Al-Banna menuntut di sekolah kampungnya, beliau telah menubuhkan sebuah persatuan yang bernama ‘Jami’atul Akhlaqui Adabiyah’. Beliau telah dipilih menjadi Yang Di Pertuanya. Persatuan tersebut bertujuan memupuk akhlak yang baik di kalangan para penuntut. Walau bagaimanapun, beliau tidak puas hati dengan kegiatan persatuan tersebut yang terhad itu. Lantaran itu beliau menubuhkan sebuah persatuan lain di luar sekolah. Ia diberi nama ‘Jami’at Insidad Muharramat’.

Persatuan ini berusaha melarang para penduduk kampung daripada terlibat di dalam amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam. Di antara kegiatan mereka ialah menulis surat kepada orang-orang kampung supaya mengamalkan cara hidup Islam agar mereka bahagia di dunia dan akhirat. Suatu hari, ketika Hasan Al-Banna masih menjadi penuntut di Mahmoodiah, beliau telah berjalan di tepi.sungai. Ada sebuah kapal berlabuh, di situ. Sebuah patung kayu bogel terpaku di tiang kapal tersebut. Tempat itu merupakan kawasan lalu lalang kaum wanita. Apabila beliau melihat patung tersebut, hatinya tidak dapat bersabar lagi. Beliau terus pergi ke balai polis untuk membuat pengaduan mengenai perkara tersebut. Pegawai Polis tadi pergi bertemu kelasi itu dan menyuruhnya menurunkan patung bogel tersebut dari tiang kapal. Pada hari berikutnya, pegawai polis tadi melawat sekolah Hasan Al-Banna dan memujinya di hadapan pengetua sekolah.

Berdakwah di Sekolah Latihan Perguruan Damanhur.
Imam Hasan Al-Banna berpeluang melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Latihan Perguruan Damanhur. Berkobar di dalam dirinya semangat ingin membawa pembaharuan. Tumpuan pertamanya ialah masjid. Beliau menyusun solah berjamaah di masjid. Di sinilah beliau bertemu para anggota Tariqat Hasafiyah dan turut menghadiri majlis mereka. Penglibatan ini memberi galakan kepadanya untuk berusaha menyebar kebaikan dan mencegah kemungkaran. Allah memberinya peluang untuk mendalami ilmu rohani.

Imam Hasan Al-Banna berkenalan dengan seorang saudagar ahli sufi, Syeikh Muhammad Abu Syousya. Saudagar ini menjadi kawan rapatnya. Dia membawa Imam Hasan Al-Banna dan rakan-rakannya menziarahi tanah perkuburan seminggu sekali untuk mengingatkan mereka kepada maut. Dia menceritakan kepada mereka kisah-kisah orang Islam yang saleh dan wara’. Kisah-kisah ini membuat mereka menangis dan mendorong mereka mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Akhirnya mereka menubuhkan sebuah persatuan yang diberi nama ‘Jamia’tul Hissafiyah Khairiyyah’. Persatuan ini mempunyai dua tujuan. Yang pertama ialah mengajak manusia supaya membina akhlak mulia dan menjauhkan diri daripada amalan yang bertentangan dengan Islam. Yang kedua ialah menyekat kegiatan dakyah (zending) Kristian yang berusaha menyebarkan agama mereka dengan berlagak sebagai pendidik dan pekerja­pekerja kebajikan masyarakat.

Di Damanhur, tanggung jawab Imam Hasan Al-Banna kian bertambah. Beliau bangun sebelum subuh dan menunaikan solah Tahajjud di masjid. Selepas itu, beliau membangunkan para muazzin daripada tidur mereka. Apabila para muazzin ini melaungkan azan, Imam Hasan Al-Banna begitu gembira sekali mendengar suara mereka yang sayup-sayup memecah kesepian waktu subuh.

Di Damanhur juga, Imam Hasan Al-Banna belajar mengawal diri dan bersabar. Nilai-nilai peribadi ini banyak membantunya ketika beliau menjalankan usaha dakwahnya.

Imam Hasan Al-Banna di Kaherah.
Apabila Imam Hasan Al-Banna memasuki Darul Ulum, Kaherah, beliau dapati struktur masyarakat di sini lebih rumit daripada yang pernah dihadapinya sebelum ini. Keadaan hidup di Kaherah berbeza daripada di Mahmoodiyah dan Damanhur. Kaherah ialah pusat kegiatan politik, pendidikan dan kebudayaan. Keadaan manusia yang berbagai ragam di Kaherah menguatkan cara hidup Islam walaupun terpaksa menghadapi kesukaran yang hebat.

Imam Hasan Al-Banna menganggotai sebuah pertubuhan yang bernama ‘Jamaiatul Makarimul Akhlaq’. Inilah satu satunya pertubuhan yang sanggup menentang kemungkaran dan membawa pembaharuan kepada masyarakat Kaherah. Imam Hasan Al-Banna selalu menghadiri mesyuarat atau perjumpaan yang diadakan oleh pertubuhan tersebut.

Dakwah Islamiah di Kedai-kedai Kopi.
Keruntuhan akhlak, kekacauan dan kebudayaan Barat telah merebak di Kaherah. Imam Hasan Al-Banna sedar mengenai perkara ini. Beliau berpendapat ceramah dan khutbah di masjid sahaja tidak cukup untuk menyekat arus kemungkaran yang kian menular itu. Beliau pun menubuhkan sebuah pertubuhan yang menggabungkan tenaga para penuntut Darul Ulum dan Al-Azhar dan menyusun satu rancangan dakwah. Mereka yang terlibat ini menjalankan usaha dakwah Islamiah di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat awam. Beliau sendiri, sebagai ketua pertubuhan tersebut dan dengan bermodalkan Ilmu Al-Quran dan Hadith yang ada padanya, telah menyampaikan ceramah di kedai-kedai kopi. Beflau menasihati para pelanggan yang mengunjungi tempat tempat itu supaya meninggalkan kegiatan yang sia-sia dan mengajak mereka menunaikan kewajipan agama. Cara dakwahnya ini mendapat tentangan daripada para ulamak. Namun begitu, usahanya ini mendapat kejayaan. Bahkan cara berdakwah itu telah merebak ke Bandar-bandar dan kampong-kampung. Pertubuhan tersebut telah melantik satu jawatankuasa untuk menguruskan kegiatan dakwah Islamiah.

Pertubuhan tersebut memperhebatkan kegiatannya apabila tiba cuti musim panas. Sebaik saja cuti musim panas bermula, para anggotanya pun melawat Bandar­bandar dan kampong-kampung untuk berdakwah. Imam Hasan Al-Banna mendapat dua keuntungan daripada cara berdakwah tadi. Yang pertama ialah beliau dapat membina keyakinan diri sendiri dan yang kedua ialah beliau dapat mengkaji sifat dan corak pemikiran orang awam.

Seruan kepada para ulamak dan pemimpin.
Hasan Al-Banna mendapati gerakannya itu lebih lemah jika dibandingkan dengan gerakan sekular Turki yang mempunyai pengaruh yang kuat di Mesir. Hasan Al-Banna pun mula merancang untuk melancarkan satu gerakan yang lebih kuat, yang mampu menghadapi kegiatan gerakan-gerakan yang menggugat Islam. Beliau mendekati para ulamak dan mengingatkan mereka kepada kewajipan-kewajipan mereka terhadap Islam. Beliau menemui Syed Rasyid Ridha dan ulamak Al-Azhar yang terkenal, Syeikh Yusuf as-Dajwi. Dia mengingatkan mereka kepada kewajipan yang perlu mereka lakukan untuk Islam. Hasan Al-Banna menekankan betapa perlu diterbitkan sebuah majalah Islam yang berkesan untuk membalas serangan daripada majalah-majalah golongan mulhid (atheis) yang menghentam Islam. Seterusnya beliau menghubungi pemilik syarikat penerbitan ‘Al-Maktaba-tus-Salfiyah’; membuat pengaduan kepada Canselor Universiti Al-Azhar dan menghadiri majlis-majlis perjumpaan yang diadakan oleh Farid Wajdi. Mereka ini semua adalah orang-orang alim terkemuka Mesir. Beliau menemui mereka seorang demi seorang tetapi hasilnya kurang memuaskan. Namun begitu, Muhibuddin Al-Khatib menerbitkan majalah mingguan bernama ‘Al Fatah’ yang memainkan peranan penting dalam menghadapi kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan Islam.

Imam Hasan Al-Banna mempunyai nilai peribadi yang melayakkan beliau menjadi seorang pendakwah dan tokoh pembaharuan yang baik. Syeikh Muhammad Al Ghazali iaitu salah seorang sahabatnya, menulis mengenai beliau seperti berikut: ‘Seorang pemimpin yang mampu menggunakan segala sumber bahan yang ada dengan teratur adalah seorang pemimpin yang berjaya. Seorang pemimpin yang lebih berjaya adalah seorang pernimpin yang berupaya mengadakan sumber bahan. Imam Hasan Al-Banna termasuk di dalam golongan pemimpin yang boleh mengadakan sumber bahan.’

Di dalam peperiksaan di Darul Ulum, Imam Hasan Al-Banna pernah diminta menulis sebuah karangan bertajuk, ‘Apa yang akan anda buat selepas menamatkan pengajian dan apakah cara yang anda gunakan?’ Imam Hasan Al-Banna menulis seperti berikut: ‘Saya ingin menjadi seorang guru dan pendakwah. Saya akan mendidik para pemuda pada waktu siang, malam dan waktu cuti. Saya akan mengajak keluarga mereka mengamalkan cara hidup Islam dan menunjukkan kepada mereka jalan untuk mendapatkan kegembiraan dan kebahagiaan hidup yang sebenar. Saya akan menggunakan cara-cara yang paling baik yang termampu oleh saya untuk mencapai tujuan ini melalui syarahan, penulisan dan pengembaraan di jalan raya dan lorong­lorong.’

Begitulah semangat yang ada pada seorang pendakwah muda bernama Hasan Al-Banna. Adiknya, Abdur-Rahman Al-Banna menulis mengenainya: ‘Ketika kami masih kanak-kanak, Hasan Al-Banna memegang tangan saya sambil berkata: “Bukankah kita telah menghafal suruhan Allah di dalam ayat 104, Surah ketiga (Ali Imran)?”

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung.”

Penjelasan: ‘Ma’ruf; segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah, sedangkan munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita daripada-Nya.

InsyaAllah bersambung

Advertisements
This entry was posted in Detik-Detik Hidupku, MUTIARA DA'WAH. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s