Fiqih Islam Wa Adillatuhu (thaharah)

HAID, NIFAS DAN ISTIHADHAH.

sambungan…

Warna Darah
Sebagaimana disepakati oleh seluruh ahli Fiqih,[1] darah haid yang keluar pada hari-hari biasa setiap bulan, ialah adakalanya, hitam, merah, kuning atau keruh (pertengahan antara hitam dengan putih). Darah yang berwarna kuning dan keruh apabila keluarnya setelah masa biasa keluar haid, maka ia tidak dianggap sebagai haid. Berhentinya haid dapat di ketahui dengan adanya warna putih, iaitu dengan cara perempuan berkenaan memasukkan kain yang bersih atau kapas ke dalam kemaluannya, untuk melihat apakah masih ada sisa darah atau tidak.

Pendapat ulama Hanafi juga mengatakan, bahawa warna darah haid ada enam iaitu hitam, merah, kuning, keruh, kehijauan, dan warna seperti tanah. Ini menurut pendapat yang ashah. Sewaktu haid jika dilihat ada darah dengan warna-warna tersebut, maka ia adalah darah haid sehingga ia mendapati warna putih; yang bererti darah haid sudah berhenti. Ini dapat di uji sendiri oleh perempuan iaitu dengan cara memasukkan kapas ke dalam kemaluannya, dan jika didapati berwarna putih, maka dia telah suci dari haid.

Kehijauan (khudhrah) adalah sejenis warna keruh. Darah ini keluar pada wanita yang makan makanan tertentu sehingga merosak warna darahnya. Orang tua yang sudah putus haid juga akan mendapati darah yang berwarna kehijauan.

Ulama Madzhab Syafi’i menyusun daftar warna darah haid menurut kekuatannya. Mereka mengatakan bahawa warna darah haid ada lima iaitu (yang terkuat) hitam, mereka, warna coklat (warna seperti tanah), kuning, darah keruh. Sifat darah haid ada empat, yang terkuat adalah kental dan busuk, kemudian busuk, kemudian kental, kemudian tidak kental, dan tidak busuk.

Dalil yang menunjukkan bahawa warna-warna ini dianggap sebagai haid jika keluar pada masa datangnya haid ialah keumuman firman Allah swt, “Dan mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang haid….” (al-Baqarah: 222)

Masalah ini juga terdapat dalam beberapa hadith. Di antaranya adalah kata Aisyah, “Perempuan dibagi kapas (yang dimasukkan ke dalam kemaluannya untuk menguji apakah masih ada darah atau tidak). Jika terdapat warna kuning dan keruh, maka itu adalah dari darah haid.” Lalu Aisyah berkata lagi, “Tunggulah hingga engkau mendapati air putih,”[2] maksudnya ialah hingga suci dari haid.

Bukti yang mengatakan bahawa warna kuning dan keruh setelah masa haid tidak di anggap haid ialah kata-kata Ummu Athiyah, “Kami tidak menganggap apa-apa terhadap darah berwarna kuning dan keruh setelah suci dari haid.”[3]

Masa Haid dan Suci
Darah tidak dianggap sebagai haid, kecuali apabila mempunyai warna-warna yang telah disebutkan di atas. Darah haid tersebut hendaklah didahului oleh sekurang-kurangnya masa suci yang paling minimal (iaitu lima belas hari menurut jumhur ahli fiqih). Dan ia hendaklah mencapai jumlah masa haid yang paling minimal. Namun, para ahli fiqih berbeza pendapat mengenai masa ini.[4] Darah yang keluar kurang dari masa minimal haid atau lebih dari masa maksimanya, di anggap darah mustahadhah.

Ulama Hanafi berpendapat bahawa masa minima haid ialah tiga hari tiga malam. Jika darah keluar pada masa kurang dari itu, maka ia bukanlah haid tetap darah istihadhah.

Biasanya darah haid keluar selama lima hari, dan masa maksimanya ialah sepuluh hari dan sepuluh malam. Jika darah keluar lebih dari masa itu, maka ia dianggap sebagai darah istihadhah.

Dalil mereka ialah hadith:- “Maa minimal haid bagi seorang gadis dan janda ialah tiga hari, dan masa maksimalnya adalah sepuluh hari”[5].

Darah yang keluar lebih dari masa itu ialah darah istihadhah. Kerana, penetapan yang telah di buat oleh syara’ menyebabkan hitungan selain darinya tidak dapat dianggap sama dengan apa yang telah ditetapkan syara’.

Ulama Mahzhab Maliki berpendapat bahawa tidak ada batasan minima haid, apabila dinisbatkan kepada hukum-hukum ibadah. Haid sekurang-kurangnya ialah satu titisan. Darah itu di anggap sebagai haid dan hendaklah wanita tersebut mandi jika darah itu berhenti. Puasanya juga menjadi batal dan dia wajib mengqadha’ puasa tersebut sebanyak hari yang ditinggalkan dalam masa haid. Adapun jika dihubungkan dengan masalah ‘iddah dan pembuktian tidak hamil (istibraa’), maka darah haid sekurang-kurangnya ialah satu hari atau separuh hari.

Masa maksima haid berbeza bagi tiap wanita. Umumnya di bahagi kepada empat kategori, iaitu perempuan yang baru mulai mengalami haid, perempuan yang sudah terbiasa haid, perempuan hamil, dan perempuan yang keadaannya bercampur.

Perempuan yang baru mengalami haid masa maksimanya adalah lima belas hari.Darah yang lebih dari masa itu dianggap darah penyakit.

Perempuan yang biasa didatangi haid, masa maksimalnya ditambah tiga hari melebihi masa biasa (al-‘adah). Dan untuk menentukan masa biasa (al-‘adah), cukup dengan mengamatinya ketika berlaku haid selagi ia tidak melebihi setengah bulan.

Perempuan hamil, sesudah dua bulan setelah mengandung masa haid yang paling maksima baginya ialah dua puluh hari. Dan setelah enam bulan atau lebih, masa maksima adalah tiga puluh hari.

Adapun yang dimaksud dengan perempuan yang bercampur-campur keadaannya ialah wanita yang mendapati haid selama sehari atau beberapa hari, dan mengalami suci satu hari atau beberapa hari, sehingga ia tidak mengalami masa suci yang sempurna. Dalam kes sebegini, maka masa-masa datangnya darah digabungkan dan dihitung sehingga mencukupi kadar masa yang maksima, iaitu lima belas hari. Sedangkan masa-masa suci yang ada di tengah-tengahnya tidak perlu di hitung. Jika didapati dara keluar lebih dari masa maksimal iaitu lima belas hari, maka itu adalah darah istihadhah.
Pada setiap hari di mana tidak ada darah keluar, hendaklah dia mandi dengan anggapan bahawa, masa sucinya telah sempurna. Dan pada setiap hari di mana dia melihat darah, maka itu adalah darah haid. Oleh kerana itu, dia harus menjauhkan diri dari hal-hal yang dilarang sewaktu haid.

Ulama Syafi’i dan Hambali perpendapat, bahawa masa haid sekurang-kurangnya ialah satu hari satu malam, iaitu dua puluh empat jam dan darah tersebut keluar terus-menerus menurut kebiasaan. Iaitu kira-kira jika diletakkan kapas, maka kapas tersebut akan kotor dengan darah. Kuatnya darah haid yang keluar secara berterusan tidaklah menjadi syarat. Berdasarkan pendapat ini, maka darah haid tersebut pada zahirnya keluar secara terus-menerus, meskipun pada saat-saat tertentu berhenti. Tetapi, pada kenyataannya darah haid itu kewujudannya memang ada.

Ada atau tidaknya darah haid dapat di ketahui dengan memasukkan kapas atau semacamnya ke dalam kelamin perempuan dan didapati ia berlumuran darah. Jika seorang wanita itu melihat darah kurang dari satu hari satu malam, maka itu adalah darah istihadhah, bukan darah haid.

Adapun menurut kebiasaan (al-‘adah) adalah enam atau tujuh hari. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah saw kepada Himnah binti Jahsh semasa beliau ditanya olehnya, “Engkau berada dalam keadaan haid menurut ilmu Allah swt, selama enam atau tujuh hari. Kemudian hendaklah kau mandi dan solat selama dua puluh empat hari, serta malamnya atau dua puluh tiga malam, kerana itu sudah cukup bagimu”[6].

Adapun masa haid, paling banyak adalah lima belas hari-lima belas malam. Jika darah itu keluar melebihi dari lima belas hari, maka itu ialah darah istihadhah.

Darah haid berbeza dengan darah istihadhah dari segi warna, kekentalan, dan baunya yang busuk. Dalil pendapat ini adalah berdasarkan penelitian (iaitu dengan mengajukan pertanyaan kepada kaum wanita dan mengkaji keadaan sebahagian wanita dalam masa-masa tertentu) yang telah dilakukan oleh Imam asy-Syafi’i dan orang lain pada zamannya. Tindakan ini dilakukan kerana tidak ada panduan yang pasti mengenai hal ini, baik dari prespektif bahasa (al-lughawi) ataupun syara’. Oleh kerana itu, masalah ini dikembalikan kepada kebiasaan (adat), iaitu dengan cara penelitian. Jadi, dalam masalah ini dasar di pegang ialah al-urf dan adat sama seperti kes-kes penetapan tentang penerimaan, pemilikan, dan perpisahan antara dua pihak yang bertransaksi dalam kes transaksi.

Mereka menguatkan dalil mereka dengan kata-kata sahabat Ali r.a, “Masa haid sekurang-kurangnya ialah satu hari satu malam. Adapun yang melebihi lima belas hari, adalah istihadhah”.

Juga, kata-kata Atha’, “Aku dapati ada wanita yang didatangi haid sehari da nada yang lima belas hari”.

Adapun kaedah yang digunakan madzhab Syafi’i sebagaimana yang diterangkan oleh Imam an-Nawawi dalam al-Minhaj adalah, “Wanita yang sudah umur haid jika melihat darah keluar dari kemaluannya, maka itu adalah darah haid, baik wanita itu sedang mengalami haid untuk pertama kalinya atau sudah biasa mengalami haid. Namun jika darah keluar kurang dari sehari semalam atau melebihi dari masa haid (lebih lima belas hari), maka darah itu dianggap sebagai darah istihadhah, bukannya darah haid.”

insyaAllah bersambung…


[1] Fathul Qadir ma’a Hasyiyah al-‘Inayah, Jilid I, hlm.112; al-Lubab, Jilid I, hlm.47; asy-Syarhush Shaghir, Jilid I, hlm.207; Mughnil Muhtaj, Jilid I, hlm. 113, Hasyiah al-Bajuri, Jilid I, hlm.112; Kasysyaful Qina’, Jilid I hlm.246; al-Bada’i’, Jilid I, hlm.39
[2]
Riwayat Imam Malik.
[3]
Riwayat Abu Dawud, al-Bukhari (al-Bukhari tidak menyebut kata selepas suci) dan juga al-Hakim.
[4]
Fathul Qadir, Jilid I, hlm. 111; ad-Durrul Mukhtar, Jilid I, hlm .262; al-Bada’i’, Jilid I, hlm .39; asy-Syarhush Shaghir, Jilid I, hlm. 208 dan sesudahnya; Bidayatul Mujtahid, Jilid I, hlm. 48 dan seterusnya; al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm. 39 dan seterusnya; Mughnil Muhtaj, Jilid I, hlm. 109; Hasyiah al-Bajuri, Jilid I, hlm. 114; al-Mughni, Jilid I, hlm. 308; Kasysyaful Qina’, Jilid I, hlm. 233.
[5]
Diriwayatkan dari Abu Umamah oleh Ath-Thabrani dan ad-Daruquthni dan dari Watsilah ibnul Asqa’ yang ada pada Daruquthni, juga dari hadiths Mu’adz bin Jabal dalam kitab Ibnu Adi, dari hadith Abu Sa’id al-Khudri dalam kitab Ibnul Jauzi, dari hadith Anas bin Malik dalam kitab Ibnu Adi, dari hadith Aisyah yang ada dalam kitab Ibnul Jauzi, tetapi semua hadith ini dha’if (Nashbur Rayah, Jilid I, hlm. 191)
[6]
Sambungan hadith itu ialah, “… hendaknya kamu lakukan seperti itu setiap bulan, sebagaimana kebiasaan wanita didatangi haid. Mereka hendaklah menentukan masa haid dan masa sucinya.” Hadith riwayat Abu Dawud, an-Nasa’i, Ahmad, at-Tirmidzi dan dia menghukuminya shahih. Al-Bukhari juga menganggapnya sebagai hadith hasan (Nailur Authar, Jilid I, hlm. 271)

Advertisements
This entry was posted in FIQIH ISLAM, Thaharah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s