Fiqih Islam wa Adillatuhu (thaharah)

HAID, NIFAS, DAN ISTIHADHAH

Darah yang keluar dari kemaluan wanita ada tiga jenis iaitu darah haid, darah istihadhah, dan darah nifas.

Darah haid ialah darah yang keluar ketika seorang wanita dalam keadaan sihat. Adapun darah istihadhah ialah darah yang keluar ketika seorang wanita itu dalam keadaan sakit, dan ia bukanlah darah haid kerana Rasulullah saw bersabda, “Itu adalah ‘irq (turun darah) bukan haid”.[1]

Sementara itu, darah nifas adalah darah yang keluar bersama keluarnya bayi. Setiap darah yang keluar dari kemaluan perempuan, ada hukumnya. Dalam fasal ini, kita bahagikan kepada empat perbahasan.

1.    DEFINISI HAID DAN MASANYA

a.    Definisi Haid
Kata haid menurut bahasa ertinya adalah (banjir/mengalir). Oleh sebab itu, apabila terjadi banjir pada suatu lembah, maka orang Arab menyebutnya sebagai haadha al-waadi.

Menurut istilah syara’, haid ialah darah yang keluar dari hujung rahim perempuan ketika dia dalam keadaan sihat, bukan semasa melahirkan bayi atau semasa sakit, dan darah tersebut keluar dalam masa yang tertentu. Kebiasaannya, warna darah haid adalah hitam, sangat panas, terasa sakit, dan berbau busuk.

Hukum berkenaan haid ini terdapat dalam Al-Quran, iaitu dalam firman Allah swt, “Dan mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang haid” (al-Baqarah: 222)

Terdapat sebuah hadith dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda tentang haid, “Ini adalah perkara yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada anak-anak Adam yang perempuan.”

b.    Waktunya
Haid mulai keluar ketika perempuan mulai masuk umur baligh, iaitu ketika lebih kurang sembilan tahun qamariyah[2] hingga masa terputusnya haid yang disebut dengan sin al-ya’s (umur putus haid). Jika perempuan mendapati darah (keluar dari kemaluannya) sebelum umur sembilan tahun ataupun setelah dari “umur putus haid”, maka darah itu bukanlah darah haid, tetapi darah penyakit atau turun darah.

Perempuan yang sudah mengalami haid, maka dia menjadi baligh dan mukallaf. Oleh sebab itu, dia dituntut menjalankan seluruh kewajipan syara’ seperti solat, puasa, haji, dan sebagainya. Adapun anak lelaki, ia menjadi baligh apabila ia bermimpi dan keluar mani, ataupun jika dia telah mencapai umur lima belas tahun.

Para ahli fiqih berbeza pendapat mengenai penentuan “umur putus haid”, kerana tidak ada nash yang jelas. Mereka hanya berpandu kepada kajian mengenai keadaan perempuan.[3]

Ulama Hanafi, menurut pendapat yang difatwakan atau pendapat yang terpilih (al-mukhtaar), mengatakan bahawa “umur putus haid” ialah 55 tahun. Jika setelah umur itu perempuan masih melihat darah yang kuat, hitam, atau merah pekat, maka darah itu dianggap haid. Jadi berdasarkan pendapat ini, maka pendapat madzhab yang zahir menganggap jika darah itu tidak hitam dan tidak merah pekat, maka darah itu adalah darah istihadhah.

Menurut ulama Maliki, “umur putus haid” ialah 70 tahun. Perempuan yang berumur antara 50 hingga 70 hendaklah ditanya, apabila mereka mengatakan darah yang keluar dari kelaminnya adalah darah haid atau mereka meraguinya, maka darah itu dihukumi sebagai darah haid. Begitu juga anak perempuan murahiqah (yang berumur antara 7 hingga 13 tahun), hendaklah ditanya juga.

Menurut ulama madzhab Syafi’i, tidak ada batasan akhir bagi “umur putus haid.” Selama dia hidup, maka selama itulah dia mungkin mengalami haid. Tetapi menurut kebiasaan, umur putus haid ialah pada usia 62 tahun.

Ulama madzhab Hambali menetapkan “umur putus haid” adalah usia 52 tahun. Mereka berpegang pada kata-kata Aisyah, “Apabila perempuan mencapai umur 50 tahun, maka dia telah keluar dari batasan haid.”[4] Aisyah juga mengatakan, “Dia tidak mengandung lagi setelah mencapai umur 50 tahun.”[5]

Apakah Perempuan yang Mengandungi Bisa Mengalami Haid?

Dalam masalah ini, para ahli fiqih berbeza pendapat.

Ulama madzhab Maliki dan Syafi’i – menurut pendapat madzhab Jadid yang azhhar[6] mengatakan bahawa perempuan yang mengandung kadang-kadang boleh didatangi haid, dan adakalanya didatangi darah hingga akhir masa mengandung. Namun biasanya, orang yang mengandung tidak didatangi haid. Dalil mereka ialah ayat yang disebut di atas yang bersifat mutlak dan juga hadith-hadith yang menunjukkan bahawa haid itu merupakan tabiat wanita. Apalagi, haid adalah darah yang biasanya keluar secara tiba-tiba. Oleh kerana itu, orang hamil (mengandung) pun boleh kedatangan haid sama seperti orang yang tidak hamil.

Ulama madzhab Hanafi dan Hambali[7] mengatakan bahawa perempuan yang mengandung tidak akan didatangi haid, meskipun darah itu keluar sebelum keluar sebahagian besar bayi yang lahir. Ini menurut madzhab Hanafi. Dan menurut ulama madzhab Hambali, mereka mengatakan bahawa darah yang keluar pada dua atau tiga hari sebelum bersalin ialah darah nifas.

Dalil mereka adalah sabda Nabi Muhammad saw, mengenai tawanan (wanita) Awtas, “Janganlah disetubuhi wanita yang mengandung sehingga dia melahirkan anak dan janganlah pula disetubuhi wanita yang tidak mengandung sehingga dia telah datang haid.”[8]

Jadi, hadith ini menyatakan bahawa keluarnya darah haid merupakan tanda bersihnya rahim. Hal ini menunjukkan bahawa haid tidak akan dapat bersatu dengan kehamilan. Rasulullah saw menegur Ibnu Umar, ketika dia menceraikan isterinya dalam keadaan hadi, “Hendaklah dia menceraikannya dalam keadaan suci atau hamil”[9]

Jadi, hadith ini menjelaskan bahawa hamil adalah tanda ketiadaan haid, sebagaimana hadith ini juga menjadikan suci sebagai tanda tiadanya haid. Lagipula, masa mengandung merupakan masa di mana pada kebiasaannya wanita tidak didatangi hadi. Oleh kerana itu, darah yang didapatinya semasa mengandung bukanlah darah haid. Dalam kes ini, kedudukannya sama seperti orang yang sudah “putus” dari haid.

Berdasarkan pendapat ini, maka seseorang yang mengandung apabila keluar darah, maka dia tidak boleh meninggalkan solat, kerana ia adalah darah penyakit (fasad) bukan darah haid. Demikian juga dia tidak boleh meninggalkan puasa, i’tikaf, thawaf, dan ibadah lainnya. Dia juga tidak boleh melarang suaminya menyetubuhinya kerana ia tidak sedang haid. Wanita yang mengandung dan melihat darah keluar dari kemaluannya, maka ia disunnahkan mandi apabila darah itu berhenti. Ini adalah langkah untuk menghindar dari perbezaan pendapat, utamanya ulama yang mengatakan wajib mandi.

insyaAllah bersambung…

[1] Riwayat Bukhari dan Muslim. Nash yang lengkap akan diterangkan nanti.
[2]
Satu tahun Qamariyah ialah 354 1/5, 1/6 hari
[3]
Muraqi al-Falah, hlm. 23; Hasyiah ash-Shawi, Jilid I, hlm. 208; Tuhfatuth Thullab, hlm 33; al-Hadhramiyyah, hlm. 27; al-Mughni, Jilid I, hlm.363; ad-Durrul Mukhtar, Jilid I, hlm. 279 dan seterusnya.
[4]
Disebutkan oleh Imam Ahmad
[5]
Riwayat Abu Ishaq asy-Syalanji.
[6]
Bidayatul Mujtahid, Jilid I, hlm. 15; asy-Syarhush Shaghir, Jilid I, hlm. 211; Mughnil Muhtaj, Jilid I, hlm. 118
[7]
Ad-Durrul Mukhtar, Jilid I, hlm. 253; al-Mughni, Jilid I, hlm.361 dan seterusnya; Kasysyaful Qina’, Jilid I, hlm.232
[8]
Riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud dari Syuraik al-Qadhi
[9]
Riwayat al-Jama’ah, kecuali Imam al-Bukhari dari Ibnu Umar (Nailul Authar, Jilid IV, hlm.221)

Advertisements
This entry was posted in FIQIH ISLAM, Thaharah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s